KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) meminta pihak berkuasa yang mengeluarkan permit penganjuran sukan bermotor di negara ini agar merujuk badan induk itu terlebih dahulu bagi memastikan persekitaran yang selamat.
Presidennya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, pihak berkuasa yang mengeluarkan permit wajar mengarahkan penganjur mendapatkan nasihat kepakaran daripada pihak MAM dalam usaha memastikan isu keselamatan benar-benar dipatuhi.
“Saya rasa kompromi ini sangat diperlukan agar perlumbaan di Malaysia dapat dirujuk kepada MAM dan sekarang kita juga bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana ia membabitkan isu undang-undang.
“Kalau sesiapa yang hendak berlumba dan mereka ada cita-cita untuk pergi antarabangsa mesti mendapatkan kebenaran daripada MAM,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama media di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai isu keselamatan yang perlu diberi keutamaan oleh penganjur sukan pemotoran selepas beberapa insiden yang meragut nyawa pelumba berulang kali berlaku di negara ini.
Antaranya membabitkan pelumba drag profesional negara, Muhammad Hattem Rashdi, 22, yang maut dalam perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023 di Pekan, Pahang, September tahun lalu.
Insiden menimpa Hattem bukanlah kali pertama berlaku di negara ini kerana pada Oktober 2022, seorang pelumba drag terbunuh sewaktu menyertai Battle of The King (BOTK) 2022 di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak, Terengganu.
Dua bulan selepas kejadian itu, seorang pengusaha bengkel kenderaan pula maut selepas dirempuh sebuah kereta lumba ketika menyaksikan pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak.
Justeru, Mokhzani menegaskan, amat penting mana-mana penganjur di negara ini mendapatkan khidmat kepakaran MAM kerana bukan sahaja keselamatan pelumba perlu diambil kira, tetapi juga orang ramai yang menyaksikan perlumbaan.
Jelas beliau, peraturan yang diguna pakai MAM mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Sukan Bermotor Antarabangsa (FIM).
“Jadi saya minta kepada sesiapa yang nak berlumba silalah datang merujuk kepada MAM dan kita akan berkongsi pandangan serta kepakaran kita kepada pihak berkenaan yang ingin melibatkan diri dalam sukan pemotoran.
“Kita bukan setakat sasarkan orang yang minat, tetapi juga kepada ibu bapa dan juga penonton mesti yakin bila datang menyaksikan sukan pemotoran semua berada dalam keadaan selamat,” ujarnya. – UTUSAN










