KUALA LUMPUR: Jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berasa terkilan susulan cabutan undian tidak memihak kepada pemain beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selepas kedua-dua pasangan terbabit beraksi sesama sendiri seawal pusingan pertama All England, Mac ini.
Menurutnya, beliau sedih mengenangkan nasib yang menimpa kem beregu negara dan enggan memihak kepada sesiapa.
“Saya tidak terkata. 32 pasangan diundi boleh dapat saingan begitu. Saya tidak begitu faham kerana mereka pakai sistem tetapi tetap boleh dapat lawan sesama sendiri.
“Dari dulu nasib kami memang begitu. Saya pernah lihat mereka membuat undian menggunakan komputer semasa Sukan Asia tahun lalu,” katanya kepada pemberita semasa latihan di Akademi Badminton Malaysia di sini, semalam.
Pertemuan antara dua pasangan beregu negara ini menjadi angka yang ketujuh dalam kejohanan antarabangsa.
Satu-satunya kemenangan Sze Fei-Izzuddin ke atas beregu nombor lima dunia itu adalah pada Terbuka Jerman 2019.
Dalam pada itu, Bin Shen berkeras mahu melihat Aaron Chia-Soh Wooi Yik supaya berjaya mencapai tahap tertinggi prestasi mereka di Sukan Olimpik Paris, Julai ini.
Walau bagaimanapun, pasangan nombor lima dunia itu masih belum layak secara rasmi berikutan dua kejohanan yang belum berlangsung iaitu Terbuka Perancis dan All England, Mac ini.
“Bagi saya paling peak (tahap tertinggi) adalah kat sana (Olimpik) tapi maksud saya kita tidak boleh tidak nampak ada penambahbaikan mereka semasa di Paris nanti.
“Setiap pemain mahu rasa kemenangan. Jadi saya rasa kalau terlalu lebih nakkan kejuaraan dalam gelanggang itu sukar untuk mengawal.
“Lebih baik mereka berfikir berlatih dan bersedia sebelum kejohanan untuk mencapai kemenangan,” katanya kepada pemberita semasa latihan di Akademi Badminton Malaysia di sini, semalam.
Berdasarkan ranking kelayakan ke Paris 2024, Aaron-Wooi Yik kini selesa dan bakal membuat penampilan kedua temasya sukan itu dengan menghuni di tangga kelima dengan mengumpul 87,064 mata.
Sebuah negara boleh menghantar dua beregu lelaki dengan syarat pasangan tersebut berada dalam kelompok lapan terbaik ranking kelayakan Sukan Olimpik. – UTUSAN










