KUALA LUMPUR: Situasi tampak tidak begitu memberangsangkan buat kem badminton negara yang dihimpit dengan isu kecederaan dan prestasi tatkala tempoh kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 akan berakhir pada 28 April ini.
Status ayam tambatan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Tze Yong kini masih dalam keadaan samar-samar untuk menyertai siri Jelajah Eropah yang akan bermula Mac ini biarpun sedang dipantau rapi unit perubatan badan induk itu.
Kecederaan belakang yang dialami pemain berusia 23 tahun bukan sahaja telah meragut impiannya untuk beraksi dengan cemerlang ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) minggu lalu, namun berpotensi menjadi penghalang buat Tze Yong untuk beraksi di Kejohanan Terbuka Perancis dan All England.
Sekiranya dia tidak dapat beraksi di dua kejohanan tersebut, impian Tze Yong untuk beraksi buat julung kali di pentas Sukan Olimpik bakal musnah kerana kedudukannya dalam ranking ke Paris tidak begitu selamat apabila menghuni tangga ke-16 dengan 61,015 mata.
Tidak seperti rakan senegaranya, Lee Zii Jia yang turut dihimpit masalah pernafasan berada dalam keadaan selesa untuk ke Paris apabila menghuni di tangga ke-10 ranking dengan 70,096 mata.
Berdasarkan format dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sebuah negara boleh menghantar dua pemain perseorangan dengan syarat kedua-dua pemain tersebut berada dalam kelompok 16 terbaik ranking kelayakan Sukan Olimpik, manakala bagi acara beregu, dua gandingan tersebut mestilah berada dalam kelompok lapan terbaik.
Atas kertas, sektor perseorangan lelaki sahaja dilihat berpeluang besar untuk mempunyai dua wakil di Sukan Paris pada Julai ini biarpun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada awalnya meletakkan sasaran untuk menghantar dua wakil dalam setiap acara.
Lain pula situasi membabitkan Aaron Chia-Soh Wooi (beregu lelaki), Pearly Tan-M.Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) apabila mereka kini perlu mencari sentuhan juara yang pernah dimiliki selepas mempamerkan aksi kurang memberangsangkan dalam beberapa kejohanan sebelum ini. – UTUSAN










