KISAH sebuah gerai di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak diberi julukan gerai bunian kerana beroperasi mulai 12 tengah malam sejak sedekad lalu seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 14 November 2023.
Di Kampung Sungai Merab, Kajang, Selangor pula terdapat warung makanan digelar Warung Bunian kerana kedudukannya tersorok dari jalan utama.
Sekitar 300 meter dari kaki bukit Bukit Broga, Semenyih pula, sejak akhir 2018, tiga beradik membuka Gerai Bunian. Nama itu dipilih bukan hanya kerana kedengaran unik tetapi juga pernah berlaku kes orang hilang di sana.
Kehadiran orang bunian atau makhluk halus bukan baharu dalam budaya Melayu di Nusantara. Rujukan di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 13 Oktober 2018 menunjukkan hakikat jin dikenali dengan pelbagai nama seperti hantu, bunian, penunggu, jembalang, khadam, iblis, syaitan dan saka.
Penduduk sekitar Puchong, Selangor pasti kenal Warung Puteri Bunian di Kampung Tengah. Warung itu dibuka pada 2015 dan diberi nama sempena tapak warung dipercayai pernah dihuni bunian.
Walaupun negara dan pemikiran semakin maju, hakikat kewujudan makhluk halus tetap diakui, apatah lagi apabila ada kaitan dengan agama. Akhbar Kosmo! pada 10 September 2023 melaporkan pengakuan penyanyi, Raja Farah Afzal Raja Ikram atau dikenali sebagai Tom pernah hilang beberapa hari, dipercayai disorok bunian ketika berumur tiga tahun di Kuala Kangsar, Perak.
Pada Oktober 2019, tular di media sosial pendedahan kisah Zainab Ibrahim yang pernah hilang selama dua hari dari Kampung Machang, Hulu Terengganu, sekitar sepuluh tahun dahulu pada usia 15 tahun. Kisah disorok bunian itu tersebar susulan kejadian Mohammad Ashraf Hassan, 29, hilang penuh misteri ketika menyertai Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac 2019.
Juruteknologi Makmal Klinik Kesihatan Muar itu dikatakan mungkin disembunyikan bunian. Malah, sukarelawan dalam misi pencarian melaporkan seolah-olah diganggu makhluk halus.
Pada 23 November 2020, seorang pemuda, Mohd. Shahddan Shuhaimi, 33, yang baru dua bulan bernikah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Rawang, Selangor. Menurut ibunya dan beberapa pengamal perubatan tradisional yang ditemui menyatakan dia terperangkap di alam bunian.
Walaupun orang Islam wajib mempercayai kewujudan jin dan bunian, tetapi jangan sampai membawa kepada amalan meragukan dan mengundang syirik.
Misalnya, pada Mac 2019, seorang lelaki berumur 34 tahun dari Dungun, Terengganu ditahan kerana mendakwa dirinya ‘raja bunian’ yang dilantik seluruh warga jin di alam ini.
Berita melibatkan bunian banyak dilaporkan akhbar arus perdana pada 1960-an. Hasil menyelongkar bahan arkib, saya menemui beberapa peristiwa menarik perhatian.
Pada Julai 1959, pemuda bernama Yusof dari Kampung Chepor, Lenggong, Perak dikatakan dilarikan bunian sewaktu pergi menoreh getah pada awal pagi.
Seorang lelaki dan dua wanita cantik berpakaian batik dan kebaya dilaporkan membawanya ke sebuah gua.
Dalam kejadian pada Jun 1960 di Kampung Kuala Paya, Segamat, Johor, Chik Mohd Akil, 43, pergi mandi di perigi pada waktu petang. Kehilangannya yang penuh misteri dikaitkan dengan bunian oleh penduduk.
Pada Februari 1961, penduduk Kampung Baru Sungai Jenaleh Jambu Rias, Temerloh, Pahang digemparkan berita seorang juruukur bernama A. Rashid Shuhaimi, 21, ghaib dilarikan bunian.
Selepas ditemui, dia mengaku didatangi seorang lelaki tua yang membawanya ke dalam hutan bertemu dua wanita cantik.
Dalam kejadian di Kampung Tanjung Api, Kuantan pada Julai 1962, Mohamad Nor Ahmad, 21, pergi mandi di perigi. Abang mangsa memberitahu wartawan, dia nampak adiknya berbual dengan dua gadis cantik berkebaya putih sebelum ketiga-tiganya berlari ke dalam hutan.
Golongan wanita juga dilaporkan dilarikan bunian. Pada Januari 1962, Sebi Hassan, 52, dari Kampung Parit 1, Sungai Sumun, Hutan Melintang, Perak hilang selama enam hari. Mangsa mengaku dibawa terbang seorang lelaki berserban dan berjanggut panjang” ke Kampung Delek, Klang sebelum ditinggalkan di Langkap, Teluk Intan.
Berita dari Kampung Tanjung Baru, Kuala Berang, Terengganu pada Jun 1962 lebih mendebarkan. Fatimah, 70, tiba-tiba hilang dari rumah tetapi pulang tiga hari kemudian membawa cerita ganjil.
“Saya pergi menghadiri perkahwinan cucu saya dengan orang bunian,” katanya. Apa yang menarik, 21 tahun terdahulu, cucu itu dilaporkan hilang dari kandungan ibu. Fatimah berkata, dia diundang menghadiri dan merestui perkahwinan cucu itu dengan puteri bunian.
Dalam kejadian di Kampung Batu Satu, Temerloh, Pahang pada November 1962 pula, bomoh mengesahkan Bedah Saugi, 31, yang ada lima anak, dibawa bunian ke dalam hutan dan kemudian ditinggalkan di pangkal sebatang pokok kayu besar.
Johari Bachik, 13, pula dilaporkan hilang dari asrama Sekolah Menengah Rendah Alor Akar, Kuantan pada 10 Ogos 1969. Enam bomoh handal mengesahkan remaja itu dibawa bunian bernama Puteri Mayang Mengurai. Dia ditemui semula enam bulan kemudian di Kuala Terengganu dan mengaku telah mengikut seorang wanita bunian.
Misteri kandungan ghaib akibat perbuatan bunian juga sering dilaporkan di akhbar pada 1960-an dan 1970-an. Misalnya, pada Februari 1976, Harun Jusoh, 50, dari Kampung Kemasik, Kemaman, Terengganu mendakwa dua kali kandungan isterinya diambil orang bunian untuk dipelihara.
Dua tahun kemudian, Ramlah Mat, 48, dari Kampung Perlis, Balik Pulau, Pulau Pinang mendakwa bidan bunian membantunya melahirkan anak kedua dan terus dibawa ke alam bunian untuk dibesarkan.
Mungkin kaum bukan Melayu tidak mempercayai kewujudan alam bunian tetapi kepercayaan dan budaya kaum Melayu perlulah dihormati.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










