PETALING JAYA: Bekas jurulatih kebangsaan, Mohd. Azraai Khor Abdullah membayangkan 26 pemain yang dipanggil untuk menjalani latihan pemilihan ke Sukan Asia 2024 merupakan skuad Harimau Malaya paling kuat yang pernah dimiliki negara.
Meskipun terdapat percanggahan mengenai penyenaraian beberapa pemain seperti Natxo Insa dan Mohamadou Sumareh yang langsung tidak beraksi dalam kancah Liga Super musim ini, Azraai tetap merasakan mereka berkualiti dan mampu membantu skuad kebangsaan.
Sebaliknya bagi Azraai, sekiranya pemain yang tidak mendapat minit permainan itu hadir dari pasukan lain, barulah peminat wajar mempertikaikan keputusan kerana pasukan lain tidak mempunyai latihan yang berintensiti tinggi seperti diharungi di kem di Johor Darul Takzim (JDT).
“Bagi saya walaupun Natxo dan Sumareh tidak banyak membarisi skuad JDT pada musim ini, tetapi kita harus ingat corak latihan di sana adalah berlainan dengan pasukan-pasukan lain.
‘Saya ambil contoh Akhyar Rashid, dia tidak banyak beraksi di JDT tetapi apabila dia dipanggil beraksi bersama skuad kebangsaan, dia berjaya menunjukkan prestasi yang amat bagus sekali,” jelas Azraai yang dihubungi Utusan Malaysia.
Azraai juga menyambut kehadiran penyerang Kuala Lumpur (KL) City, Romel Morales, pemain kelahiran Colombia yang mendapat status naturalisasi setelah enam tahun berkelana di Malaysia dan dilihat sebagai nilai tambah buat skuad Kim Pan Gon di bahagian serangan.
“Morales bukanlah penyerang tulen di kem KL City, tetapi saya tahu dia berkemampuan untuk membantu Darren Lok di jentera serangan.
“Berkemungkinan dia mungkin akan menjadi ‘false No. 9’, dan saya melihat dia mungkin menjadi penyelesaian kepada ketumpulan jentera serangan Harimau Malaya,” tambah Azraai. – UTUSAN










