ARAU: Kejayaan atlet pekak dan bisu Zaiman Megat Abu meraih pingat emas pada Kejohanan Olahraga Pekak Asia-Pasifik Pertama di Teheran, Iran baru-baru ini seharusnya membuka mata ramai pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan.
Lompatan sejauh 14.32 meter direkodkan menyaksikan Zaiman menduduki ranking kedua dunia bagi acara lompat kijang seterusnya menjadi prospek emas negara dalam Kejohanan Deaflympics Tokyo 2025 yang setaraf Olimpik dan Paralimpik.
Pengerusi Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak mencadangkan agar atlet terbabit diberi pertimbangan menerima imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam).
Katanya, Zaiman, 22, yang menjadi rakyat Malaysia pertama meraih pingat emas dalam acara lompat kijang dalam Kejohanan Olahraga Pekak Asia-Pasifik baru-baru ini, namun tidak mendapat imbuhan itu.
Ujarnya, menjelang Deaflympics 2025, kerajaan diharap dapat mempertimbangkan imbuhan berkenaan memandangkan Malaysia mempunyai prospek memenangi pingat emas.
“Saya harap kejayaan Zaiman ini akan menjadi pencetus untuk Kementerian Belia dan Sukan memberi lebih perhatian kepada sukan orang pekak dan bisu seperti atlet-atlet Olimpik dan Paralimpik yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengunjungi Zaiman di rumahnya di Padang Telela di sini, semalam.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan kepayahan hidup Zaiman yang menoreh getah pada sebelah pagi dan melakukan pelbagai kerja berat lain bagi menampung kehidupan keluarga yang serba kekurangan namun tidak menghalang anak muda tersebut bersinar di pentas antarabangsa sekali gus mengharumkan nama negara.
Kepayahan hidup Zaiman itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha sehingga berjaya mengharumkan nama Malaysia dan negeri ini di pentas antarabangsa.
Imbuhan Shakam turut diperkenalkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada 2013 kepada atlet Paralimpik sama seperti atlet normal Olimpik iaitu RM1 juta dan pencen bulanan RM5,000 bagi pingat emas, perak RM300,000 dan pencen bulanan RM3,000 manakala gangsa RM100,000 serta pencen bulanan RM2,000.
Berdasarkan skim Shakam, pemenang emas Sukan SEA menerima RM20,000, perak (RM3,000) dan gangsa (RM1,000). Pemenang emas Sukan Asia dan Sukan Komanwel menerima RM80,000, perak (RM40,000) dan gangsa (RM20,000).
Kata Wan Zikri, kerajaan juga perlu melihat semula keperluan sukan golongan pekak dan bisu itu disenaraikan bawah Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memudahkan urusan mereka termasuk daripada aspek peruntukan, kebajikan dan sebagainya.
“Di peringkat negeri, kita sentiasa memberi sokongan terhadap sukan golongan ini. MSN negeri juga bersedia menyediakan fasiliti untuk kemudahan atlet berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Azraai berkata, pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Belia dan Sukan untuk pembangunan dan kemajuan sukan tersebut. – UTUSAN









