Qazaf: Semoga Abdul Hadi insaf

Qazaf: Semoga Abdul Hadi insaf

APA logiknya Abdul Hadi memanggil Anwar dengan gelaran banduan atau bekas banduan jika sebelum ini mengakui secara terbuka bahawa hukuman-hukuman dikenakan ke atas Anwar adalah fitnah semata-mata?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUAT kesekian kalinya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-69 membangkitkan soal Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan untuk menunjukkan kononnya Kerajaan Perpaduan bermasalah, tidak boleh diikuti dan tidak boleh disucikan.

Jika Abdul Hadi seorang ulama jujur, beliau mesti ingat sewaktu Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO serta dihadapkan ke mahkamah kemudiannya atas dakwaan masalah moral, beliau terkedepan mempertahankan Anwar.

Tercatat rekod dalam Penyata Rasmi Mesyuarat Khas Parlimen pada 29 September 1998, Abdul Hadi berucap tegas mempertahankan Anwar dan menyerang Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu yang membuat pelbagai tuduhan ke atas Anwar.

Abdul Hadi menyebut, Islam telah mengenakan peraturan yang tegas, apa lagi tuduhan berhubung dengan masalah moral mestilah dengan cara yang bermoral, tetapi apa yang berlaku ke atas Anwar waktu itu memalukan negara, memalukan rakyat dan menjejaskan institusi keadilan.

Abdul Hadi memetik ayat Al-Quran, “Dan orang-orang yang menuduh seorang lain dengan zina, begitu juga dalam perkara liwat, hendaklah mengadakan empat orang saksi kalau dia tidak boleh mengadakan empat orang saksi, maka yang menuduh hendaklah disebat sebanyak 80 kali”.

Tidak cukup dengan itu, Abdul Hadi kemudiannya menulis sebuah buku bertajuk “Qazaf: Mangsa Fitnah” pada November 2001 bagi melahirkan bantahan ke atas fitnah yang ditimpakan ke atas Anwar bagi menyelamatkan negara dan rakyat daripada bala bencana ekoran kezaliman ini.

Tegas Abdul Hadi, walau apa pun tujuan penyingkiran Anwar, namun mengikut hukum Islam adalah haram melemparkan tuduhan tersebut dengan begitu mudah membelakangi hukum Allah dan mereka yang melakukan qazaf yang menjadi salah satu dosa besar hendaklah bertaubat.

Selain bertaubat, ujar Abdul Hadi, pelaku qazaf hendaklah memohon ampun dan maaf daripada orang yang menjadi mangsa tuduhan dengan membatalkan segala tuduhan yang dilemparkan kepadanya seperti cara yang telah dilakukan untuk menyebarkannya dahulu.

Dalam buku itu, Abdul Hadi menyenaraikan sembilan syarat bagi melayakkan keempat-empat orang saksi diterima kesaksian mereka dalam tuduhan itu. Lima daripada syarat-syarat ini adalah baligh lagi berakal, Islam, mempunyai pancaindera yang sihat, adil dan lelaki.

Empat syarat seterusnya ialah tiada tohmahan, berkepentingan dan prejudis, mempunyai bilangan yang cukup, iaitu empat orang, keempat-empat saksi itu melihat perlakuan itu bersama-sama dan mereka hendaklah memberi keterangan dalam majlis (persidangan) yang sama.

FATWA
Dalam buku ini juga dilampirkan sama fatwa Dr. Yusuf al-Qardhawi berkenaan dengan fitnah yang dihadapi oleh Anwar adalah perbuatan yang diharamkan secara tegas oleh Islam dan pelakunya wajib dikenakan tiga hukuman.
Tiga hukuman ini ialah hukuman fizikal, iaitu disebat sebanyak 80 kali sebatan, hukuman moral dan sosial dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosialnya, dengan kesaksiannya tidak boleh diterima pakai, serta hukuman agama dengan menggelarinya sebagai fasiq.

Jelas melalui huraian Abdul Hadi ini bahawa Dr. Mahathir dalam kes pertama telah melakukan qazaf, Dr. Mahathir hendaklah bertaubat dan bekas Perdana Menteri itu hendaklah memohon ampun dan maaf daripada Anwar, tetapi dengan Dr. Mahathir inilah Abdul Hadi berpeluk cium sekarang.

Dalam kes kedua pula, setelah Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Anwar pada 7 Mac 2014, Abdul Hadi segera mengeluarkan kenyataan yang menyebut Pas sungguh terkejut dan merakamkan kekesalan yang tidak terhingga terhadap keputusan ini.

Abdul Hadi juga berkata, prinsip keadilan mestilah dapat dilihat ditegakkan dengan prosesnya yang begitu teliti, cermat dan berlaku adil tetapi ia tidak dapat dilihat dalam kes yang menimpa Anwar yang dengan sendirinya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan.

Seterusnya, Abdul Hadi menyebut Pas akan terus memberikan segala bentuk sokongan kepada Anwar dan ahli-ahli PKR serta seluruh penyokong Pakatan Rakyat dalam meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat diruntuhkan.

Setelah Mahkamah Persekutuan pada 11 Februari 2015 menolak rayuan Anwar menyebabkan beliau dibawa ke penjara, Abdul Hadi sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang menyebut Pas merakamkan takziah dan simpati terhadap Anwar atas ujian hukuman yang dijatuhkan ini.

Abdul Hadi menegaskan betapa hari itu menjadi satu lagi sejarah hitam negara, mengulangi tragedi sama pernah ditanggung beliau sebelum ini. Beliau sekali lagi menyifatkan kes ini sebagai fitnah sambil menyebut ia bertujuan memasung Anwar dari terus menjadi pejuang rakyat.

BERUBAH
Bagaimanapun, pada 30 April 2017, Muktamar Tahunan Pas ke-63 meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR yang dibawa bersama oleh 21 Pas kawasan serta Dewan Ulama dan Dewan Pemuda Pas Pusat kerana PKR dituduh melanggar syarat tahaluf siyasi.

Sejak tempoh inilah hukum asal Pas terhadap kes-kes Anwar berubah dengan Abdul Hadi dan pemimpin lain mula menggelarkan Anwar sebagai banduan atau bekas banduan yang didakwa mempunyai masalah moral dan tidak layak diangkat sebagai Perdana Menteri.

Jelas daripada kronologi ini bahawa gelaran dan dakwaan Pas ini adalah tindakan politik yang tidak berlandaskan kepada hukum agama, sebaliknya didasarkan kepada hasad dengki dan dendam politik atas kegagalan menghalang Anwar dari menjadi Perdana Menteri semata-mata.

Apa logiknya Abdul Hadi dan pemimpin Pas lain memanggil Anwar dengan gelaran banduan atau bekas banduan jika mereka sendiri sebelum ini mengakui secara terbuka bahawa hukuman-hukuman yang dikenakan ke atas Anwar adalah fitnah semata-mata?

Abdul Hadi selaku orang tua juga perlu berwaspada dengan agenda daripada penasihat berkepentingan yang mengelilingi beliau dalam Pas sekarang sehingga mungkin beliau dan agenda perjuangan Pas boleh tersasar daripada agenda perjuangan Islam sebenar.

Semoga Abdul Hadi dan pemimpin Pas lain dapat menginsafi segala apa yang telah mereka nyatakan untuk mempertahankan Anwar sebelum ini, segera kembali ke pangkal jalan dan memisahkan parti mereka dari Dr. Mahathir yang mereka mati-matian mengecam dahulu.-UTUSAN

DR. Rosli Alani Abdul Kadir ialah Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×