Masihkah kita berdebat isu Bahasa Melayu 10, 20 tahun lagi?

Masihkah kita berdebat isu Bahasa Melayu 10, 20 tahun lagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isnin lalu, saya dijemput merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) 2023, kesinambungan daripada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun lepas.

Simposium tersebut adalah sebahagian daripada perjuangan saya untuk memperkasa dan memartabatkan bahasa Melayu khususnya di peringkat global.

Platform SAABM ini harus diberi perhatian oleh semua pihak seperti kerajaan, agensi-agensi berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyemai semangat kecintaan kepada bahasa, budaya dan ketamadunan Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini kerana selepas 66 tahun negara merdeka, masih ada pemimpin negara berasa canggung atau ‘lekeh’ untuk menggunakan bahasa ibunda di pentas antarabangsa.

Pihak swasta dilihat lebih galak menggunakan bahasa Inggeris. Kebanyakan acara dianjurkan menggunakan bahasa Inggeris.

Adakah kita masih akan berbicara dan berdebat mengenai bahasa Melayu untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang?

Mungkin kita satu-satunya negara yang masih bergelut dan berjuang untuk memartabatkan bahasa sendiri sejak merdeka sehingga hari ini?

Ironinya, Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan sangat jelas menyatakan, “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen.”

Sewaktu saya masih menerajui kerajaan, pelbagai usaha digerakkan bagi menjulang bahasa Melayu ke satu peringkat lebih tinggi sekali gus mempromosi identiti Malaysia di pentas dunia.

Pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, saya menggunakan bahasa Melayu untuk berucap pada perhimpunan diplomatik terbesar dunia itu.

Dalam urusan hal ehwal luar negara, saya juga mengarahkan kesemua urusan surat menyurat daripada negara kita kepada pemimpin tertinggi negara luar menggunakan bahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris sebagai lampiran.

Ketika rundingan dua hala di peringkat antarabangsa, saya menggunakan bahasa Melayu dan saya tidak nampak cacat celanya rundingan itu apabila menggunakannya.

Saya mengakui peranan DBP dalam memperkasa dan menambah baik penggunaan ayat bahasa Melayu seiring perkembangan semasa. Bagaimanapun, hal ini memerlukan tindakan pengeyaan (affirmative action). Undang-undang mengenai bahasa perlu dilihat semula dan dipinda supaya penggunaan bahasa yang tepat dapat diperluaskan.

Semasa pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, kita memulakan langkah untuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberikan lebih kuasa kepada DBP untuk mengambil tindakan dari segi penyalahgunaan bahasa Melayu seperti b termaktub dalam Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

 

ISMAIL Sabri Yaakob (lapan dari kanan) menghadiri Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) 2023 di ibu negara, Isnin lalu. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

ANWAR IBRAHIM
Saya percaya kerajaan hari ini memberi perhatian kepada perkara ini malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin yang sentiasa berjuang untuk mengangkat martabat bahasa Melayu.

Ini dapat dilihat daripada bahasa percakapan dan ucapan-ucapan rasmi beliau sejak dahulu lagi menggunakan istilah-istilah ‘pelik’ seperti canggih, ketimbang, wewenang dan purbasangka.

Beliau membuktikan bahasa Melayu mempunyai kepelbagaian dan ragamnya yang tersendiri.

Hari ini, bahasa Melayu semakin dipinggirkan dan paling menyedihkan apabila orang Melayu sendiri tidak mempraktikkan penggunaannya, malah lebih selesa menggunakan bahasa asing.

Ada juga yang memperlekeh mengatakan bahasa Melayu tidak sesuai atau tidak mesra untuk dijadikan bahasa ekonomi kerana bahasa Inggeris lebih banyak digunakan dalam urusan dagang antarabangsa.

Negara-negara maju Eropah seperti Jerman dan Perancis, begitu juga China, Jepun serta Korea Selatan menggunakan bahasa ibunda masing-masing tetapi berupaya menguasai bidang ekonomi, perniagaan dan menghasilkan teknologi baharu yang lebih inovatif. Kenapa tidak kita menggunakan bahasa ibunda sendiri?

Ketika zaman sebelum kemerdekaan, bahasa Melayu dijadikan lingua franca atau bahasa perantaraan dalam urusan perdagangan terutama di Pelabuhan Melaka.

Seorang ahli akademik, Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman dalam kajiannya mendapati kebijaksanaan proses berfikir bangsa Melayu melalui bahasa Melayu telah mendahului bangsa dan bahasa Inggeris dengan lahirnya hikayat bahasa Melayu bertulisan Jawi, Hikayat Raja-Raja Pasai pada pertengahan abad ke-14.

Hikayat Raja-Raja Pasai terbit lebih awal daripada karya agung Inggeris pertama, yakni Canterbury Tales oleh Geoferry Chaucer.

Saya sedar ada yang menentang cadangan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN, namun perlu kita faham bahasa Melayu ini kebiasaannya diubah mengikut kesesuaian kenegaraan kerana dialek-dialek berbeza serta asimilasi bahasa kaum majoriti serta penjajah tetapi akarnya tetap sama, iaitu bahasa Melayu.

Bagaimanapun, kita tidak mahu penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rumpun Nusantara sahaja jika kita mahu mengangkat martabat bahasa itu menjadi bahasa antarabangsa. Agenda memartabatkan bahasa Melayu juga perlu diperluaskan dan tidak tertumpu kepada pejuang-pejuang bahasa sahaja.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga akan bahasa kita sendiri sama ada berada di dalam atau di luar negara.

Semoga harapan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia dapat dicapai dan permulaan itu harus bermula daripada kita sendiri. Ini tugas kita bersama.-UTUSAN

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Kesembilan dan kini Ahli Parlimen Bera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×