Mungkinkah Selangor jatuh ke tangan PN?

Mungkinkah Selangor jatuh ke tangan PN?

ADAKAH Amirudin Shari akan kembali ke kerusi Menteri Besar Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) ini atau dirampas Perikatan Nasional (PN)? – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARIPADA enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini, Selangor adalah negeri yang menjadi tumpuan.

Laporan Sosioekonomi Negeri 2022 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kelmarin menunjukkan Selangor antara negeri termaju di Malaysia dengan pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah (median) RM9,983, tertinggi antara semua negeri dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 11.9 peratus, kedua tertinggi selepas Pulau Pinang. Rizab Kerajaan Selangor pada 31 Oktober tahun lalu juga sangat tinggi, iaitu sebanyak RM3,354.45 juta.

Pemimpin Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH/BN) cukup yakin akan mempertahankan Selangor. Andaian yang dibuat ialah apabila PH dan BN bergabung maka akan berlaku pemindahan undi secara penuh (full vote transferability) antara pengundi kedua-dua parti itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, kajian bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad dan penyelidik di Institut Masa Depan Malaysia, Khairul Syakirin Zulkifli ke atas 1,200 orang responden di 39 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu di Selangor pada 1 Mac hingga 20 April lalu menunjukkan perkara itu tidak berlaku kerana elemen penolakan kepada kerjasama PH/BN.

Secara khususnya, dalam kalangan pengundi Melayu BN, 39 peratus menyatakan akan mengundi Perikatan Nasional (PN) dan hanya 15 peratus akan mengundi PH manakala baki 49 peratus lagi masih tidak pasti.

Dengan kira-kira 60 peratus pengundi tidak pasti ini akan mengundi PN, dijangkakan kira-kira 67 peratus pengundi Melayu BN akan mengundi PN dalam PRN ini memungkinkan PN untuk menang di Selangor.

Menghadapi PRN Selangor, PN meletakkan negeri itu di bawah dominasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan 31 kerusi, diikuti oleh Pas (17 kerusi) dan Parti Gerakan (Gerakan) (8 kerusi). Walaupun begitu, PN tidak mengumumkan siapa calon Menteri Besar jika menang berbanding PH yang akan mengekalkan Datuk Seri Amirudin Shari.
Bagaimanapun, PN mempunyai beberapa nama besar yang boleh ditonjolkan. Di pihak Bersatu ada bekas Menteri Besar Selangor merangkap bekas Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; bekas Exco Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Jamil Salleh.

Pas juga mempunyai beberapa nama besar seperti bekas Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan bekas Profesor di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri dan tiga bekas Ecxo Selangor, iaitu Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi, Sallehen Mukhyi dan Zaidy Abdul Talib.

MASALAH
Ada tanda-tanda PN menghadapi masalah dari sudut sesetengah calon yang dinamakan, khasnya dari Bersatu yang menyebabkan Dr. Muhammad Faiz Na’aman keluar dari parti itu kelmarin tetapi PH/BN juga mempunyai masalahnya yang tersendiri dalam hal ini.

Di Selangor, elemen penolakan terhadap UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masih kuat. Tan Sri Noh Omar walaupun tidak bertanding tetapi berkempen untuk memenangkan anaknya yang menjadi calon Bersatu. Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, walaupun tidak menyertai PN tetapi berkempen menyokong calon PN yang juga merupakan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh, Datuk Harrison Hassan.

Satu kelemahan ketara PN ialah mereka hanya kuat dalam kalangan penyokong Melayu dan dalam masa sama calon bukan Melayu dari Gerakan atau Bersatu tidak dikenali ramai. Walaupun begitu, ada kecenderungan untuk PN mendapat undi bukan Melayu dari kalangan penyokong MCA dan MIC yang tidak berpuas hati kerana parti mereka tidak diberi layanan yang adil dalam Kerajaan Perpaduan serta tidak diberi kerusi untuk bertanding dalam PRN.

Begitu juga ada tanda menunjukkan ramai pengundi bukan Melayu tidak berpuas hati dengan kerjasama PH dan BN serta dengan prestasi Kerajaan Perpaduan selain menyatakan mereka sama ada akan memboikot PRN ini atau mengundi protes.

Tular dalam media sosial kenyataan pengundi bukan Melayu seperti Michael Sah dan Priscilla Chan yang meluahkan kemarahan dengan berkata mereka tidak lagi akan mengundi PH dalam PRN sebagai pengajaran kerana memanipulasi undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan janji PH, berpakat dengan UMNO, tidak melakukan reformasi dan sebagainya.

Penularan ancaman ini dipandang berat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang menyeru pengundi bukan Melayu di Selangor supaya tidak menghukum PH kerana mereka sebenarnya menghukum diri dan anak cucu mereka jika akibat daripada perbuatan itu menyebabkan pertukaran Menteri Besar dari PKR kepada Pas.

Bagi penyokong PN, ini menunjukkan PH terdesak untuk mempertahankan Selangor dengan menakut-nakutkan kaum bukan Melayu sedangkan, kata mereka, wakil-wakil rakyat Pas mempunyai pengalaman memerintah Selangor dari 2008 sehingga 2018. Tiada apa-apa dasar ekstrem yang diperkenalkan waktu itu, tambahan pula sekarang ini kewujudan Bersatu dan Gerakan dalam PN sebagai pengimbang kepada Pas.

Dalam PRU15, PN tanpa disangka menunjukkan prestasi baik dengan merampas enam daripada 22 kerusi Parlimen yang memiliki majoriti pengundi Melayu. Tanda-tanda menunjukkan gelombang hijau masih berterusan, dibantu oleh kekuatan media sosial PN.

Ini ditambah pula oleh kekuatan manifesto yang ditawarkan oleh PN untuk Selangor yang menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai RM2 bilion untuk merancakkan ekonomi Selangor dan memberi pelbagai manfaat bantuan kepada rakyatnya.

Dengan kelicinan jentera PN, jika PH/BN tidak berjaga-jaga mungkin boleh kehilangan Selangor di saat pemimpin tertingginya lebih tertumpu kepada merebut negeri PN. Dan jika Selangor tumbang kesannya besar kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.-UTUSAN

DR. Mohd Fuad Mohd Salleh adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Strategik Lestari, Cyberjaya dan mantan Dekan Fakulti Perniagaan & Perakaunan, Universiti Selangor (UNISEL)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×