PENGALAMAN konsep walk the talk dalam hal berkaitan politik, rasuah dan integriti dapat membangun negara yang lebih adil, berintegriti dan berdaya maju. Konsep walk the talk bermaksud mengamalkan apa yang diucapkan atau dipromosikan melalui tindakan yang nyata. Dalam konteks isu-isu politik, rasuah dan integriti dalam pentadbiran awam, konsep ini sangat relevan dan penting.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengalu-alukan komitmen dan tindakan Perdana Menteri yang sentiasa mengingatkan menteri dan pegawai mereka untuk menghindari rasuah. Hebahan agresif beliau adalah langkah positif dalam usaha memerangi rasuah dalam kalangan ahli politik. Ingatan demi ingatan mengenai amalan bebas rasuah adalah penting dalam usaha memastikan pentadbiran yang bersih dan berintegriti.
Seruan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meminta pihak yang terlibat dalam amalan rasuah berhenti serta-merta daripada meneruskan perkhidmatan dalam kerajaan menunjukkan komitmen untuk mewujudkan budaya integriti dan ketelusan. Kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyemak dan menyiasat kes jenayah melibatkan menteri dan pegawai kementerian adalah langkah penting untuk menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani kes rasuah dan menjaga kredibiliti.
SEJARAH POLITIK
Perlu diingat, sejarah politik Malaysia melibatkan pelbagai pemimpin politik dari pelbagai latar belakang dan era berbeza. Beberapa pemimpin mungkin telah menunjukkan teladan integriti dan tanggungjawab, manakala yang lain mungkin tidak. Kadang kala, mereka terlalu ‘beretorik.’ Politik di Malaysia sama seperti negara lain di dunia, iaitu lapangan kompleks dan cenderung melibatkan pelbagai pendekatan dan strategi yang hanya memenuhi keperluan kelompok mereka.
Penyalahgunaan kuasa pemimpin politik adalah isu serius yang sentiasa ditangani dengan tegas. Institusi penguatkuasaan seperti SPRM tanpa tolak ansur memainkan peranan penting dalam menyiasat dan mendakwa mereka yang terlibat tanpa sebarang halangan.
Penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin politik atau penjawat awam adalah amalan yang tidak dapat ditoleransi. Penyalahgunaan kuasa ini merosakkan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan institusi malah boleh mengakibatkan pembaziran sumber dan pelanggaran hak asasi manusia.
Hakikatnya, pelbagai tuntutan tidak sah atau penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin politik sentiasa berlaku apabila hal peribadi dan tugasan dicampuradukkan. Tindakan seperti ini adalah salah dan harus dikawal sewajarnya agar pemimpin politik bertanggungjawab terhadap tindakan mereka.
Pengumuman projek atau inisiatif oleh pemimpin politik sebelum pilihan raya atau di kawasan mengundi memang sentiasa menjadi perhatian. Praktik ini pasti memberi kelebihan politik kepada parti kerajaan dan boleh dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa untuk mendapatkan sokongan politik. Oleh itu, prinsip keadilan dalam pembangunan perlu diamalkan bagi mengelakkan pengumuman yang bertujuan politik semata-mata.
KETAKUTAN PENJAWAT AWAM
Ketakutan dalam kalangan penjawat awam adalah satu isu serius dan boleh menghalang keberkesanan sistem pentadbiran. Untuk mengekalkan integriti dan profesionalisme dalam perkhidmatan awam, perlindungan pemberi maklumat dan menggalakkan pelapor rasuah serta perlindungan terhadap sebarang ugutan atau tindakan balas terhadap mereka yang melaporkan penyalahgunaan kuasa atau rasuah adalah amat perlu.
INTEGRITI, KETELUSAN DALAM PENTADBIRAN
Pentadbiran awam harus mengamalkan budaya integriti berterusan. Ini melibatkan pendidikan dan kesedaran dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat tentang pentingnya integriti dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab.
Rakyat berhak mengetahui bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu keputusan diambil. Proses keputusan dan tindakan pemerintah haruslah telus dan boleh dipertanggungjawabkan.
MENGHAPUSKAN NEPOTISME, PILIH KASIH
Pemimpin politik harus memastikan proses pemilihan calon untuk jawatan awam atau pemberian sesuatu projek dilakukan secara telus dan berdasarkan kelayakan, bukan atas dasar pertalian keluarga atau politik.
Pentadbiran awam haruslah konsisten dalam amalan yang penuh beretika dan tidak berubah-ubah mengikut keadaan politik atau tekanan. Praktik seperti pilih kasih, pilih bulu, pilih parti, nepotisme dan pelbagai masalah lain boleh mengakibatkan ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran awam.
Kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam haruslah berdasarkan prestasi dan kebolehan individu, bukan atas dasar pilih kasih atau pertalian politik. Sistem penilaian prestasi yang jelas dan objektif harus dilaksanakan untuk memastikan kenaikan pangkat berlaku secara adil.
MENGUKUHKAN INSTITUSI PENGUATKUASAAN
Institusi seperti SPRM perlu diberi kebebasan untuk menjalankan tugas mereka tanpa campur tangan politik. Ini akan menguatkan lagi usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
SUARA HATI RAKYAT
Pemimpin politik harus mendengar suara rakyat dan mengambil kira aspirasi dan kebimbangan mereka. Keputusan yang diambil haruslah berlandaskan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, perlu ada keterlibatan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, institusi penguatkuasaan undang-undang dan rakyat secara amnya. Hanya dengan usaha bersama, kita dapat merangkul budaya keadilan, integriti dan ketelusan dalam semua aspek kehidupan kita.
Menangani budaya rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin politik adalah tugas yang kompleks dan memerlukan usaha berterusan daripada seluruh masyarakat. Pendidikan dan kesedaran tentang pentingnya integriti dan tanggungjawab dalam pentadbiran awam perlu ditanamkan dalam kalangan rakyat khususnya generasi muda.
Kesedaran dan pelaksanaan konsep walk the talk mestilah menjadi agenda utama semua pemimpin politik negara secara telus dan profesional tanpa mengira parti politik.-UTUSAN
PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).











