Penglibatan remaja Malaysia terutamanya remaja lelaki dengan aktiviti pornografi di internet semakin membimbangkan dan mengundang kepada kegiatan tidak bermoral dalamkalangan remaja.
Kajian dijalankan pensyarah di Jabatan Perubatan Keluarga Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Noor Azimah Muhammad mendapati 75 peratus remaja Malaysia pernah menonton video atau melihat gambar pornografi.
Kajian dijalankan pada tahun 2021 itu menunjukkan majoriti yang terlibat adalah remaja lelaki.
Katanya, lebih membimbangkan, golongan tersebut telah terjebak ke dalam kancah tidak bermoral itu sejak menuntut di sekolah menengah serta kerap menggunakan internet di rumah secara bersendirian.
“Terdapat kes seorang pelajar lelaki mengakui menonton lebih 200 video pornografi sehari semata-mata untuk memuaskan keinginan seksualnya.
“Seterusnya pelajar ini terdedah kepada masturbasi dan akhirnya mengamalkan aktiviti seks bebas semasa menuntut di kolej,” katanya.
Natijahnya, perbuatan menonton pornogarafi ini mendorong sebahagian remaja mengalami ketagihan yang boleh menyebabkan mereka berisiko melakukan seks bebas dan mengalami jangkitan penyakit kelamin seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan siflis.
Beliau menegaskan, perkara ini berlaku kerana tiada pemantauan dari ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja dan tiada di rumah.
SEKS TIDAK SELAMAT
Dalam satu kajian lain yang dijalankan pada 2013 terhadap 988 pelajar kolej, data menunjukkan 10 peratus pelajar kolej pernah melakukan aktiviti seksual manakala lima peratus pula sangat aktif melakukannya.
“Umumnya, aktiviti seksual yang dilakukan oleh remaja adalah berisiko tinggi, di mana mereka cenderung untuk bertukar-tukar pasangan dan mengamalkan homoseksual iaitu seks sesama jantina.
“Ada juga biseksual iaitu seks sesama sendiri atau berlainan jantina, tidak menggunakan kondom atau pencegah kehamilan dan di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” tambahnya.
Dapatan yang hampir sama dapat dilihat dalam Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2017 iaitu 7.3 peratus remaja berumur 13 hingga 17 tahun pernah melakukan seks seawal usia kurang dari 14 tahun dan lima peratus aktif melakukan seks.
Hampir semua remaja ini mengamalkan seks tidak selamat, tanpa kondom atau pencegah kehamilan dan 40 peratus dari kes HIV baharu adalah melibatkan remaja.
Tambah Noor Azimah, ketagihan seksual bermula sejurus aktiviti seksual berlaku.
“Setelah berasa seronok melakukan aktiviti seksual, mereka ingin melakukannya sekali lagi. Keinginan ini akan berterusan dan berulang-ulang,” katanya.
PERANAN KELUARGA
Menurutnya, di zaman dunia tanpa sempadan, penggunaan internet dan media sosial memudahkan lagi remaja untuk mendapatkan video atau gambar pornografi tanpa dapat dikesan oleh ibu bapa.
“Perbuatan ini disokong dengan adanya kemudahan wifi sama ada di rumah sendiri atau sesetengah premis dimana remaja tidak perlu mengeluarkan duit sendiri.
“Hubungan antara media sosial, pornografi dan aktiviti seksual adalah bersifat linear. Jiwa remaja yang sentiasa ingin mencuba menyebabkan mereka memilih untuk melakukan amalan terlarang tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meletakkan tanggungjawab di bahu ibu bapa bagi mengekang aktiviti seksual dalam kalangan remaja.
Ibu bapa katanya, perlu memainkan peranan utama dalam melindungi remaja dari terlibat dalam aktiviti seksual berisiko sebelum berkahwin.
“Perkara pertama perlu dilakukan lakukan adalah memberikan pendidikan seksual kepada anak mereka di rumah. Antara topik perlu dijelaskan adalah apakah itu seks, seks berisiko, komplikasi seks bebas, jangkitan penyakit kelamin dan kehamilan tanpa di rancang.
“Perasaan malu yang wujud dalam diri ibu bapa dan anak-anak menjadi faktor utama yang menyebabkan komunikasi mengenai seksual remaja dalam sebuah institusi kekeluargaan gagal,” katanya.
Ujarnya, istilah seks seringkali dianggap tabu dan lucah sehingga menyebabkan ibu bapa menghadapi kesukaran menggunakan istilah tersebut apabila berbicara mengenainya.
Sebagai ganti, penggunaan istilah hubungan kelamin digunakan, sedangkan remaja mungkin keliru dengan definisi berkenaan.
Jurang generasi turut memainkan peranan apabila generasi teknologi maklumat, lebih terdedah kepada aktiviti seksual berbanding generasi lama.
Tegas Noor Azimah, peranan ini perlu dipikul oleh ibu bapa dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Ibu bapa perlu mencari informasi berkenaan dengan pendidikan seksual remaja atau tambah ilmu melalui pembacaan dan majlis-majlis ilmu.
“Maklumat diperolehi dapat membantu guru-guru di sekolah. Tiada orang lain yang boleh melakukannya melainkan ibu bapa itu sendiri,” akhirinya.
Mudah marah, jadikan wanita objek seksual
Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani beerkata, ketagihan terhadap video lucah adalah sama seperti ketagihan dadah sehingga menyebabkan emosi tidak stabil.
Hal ini kerana disaat menonton video lucah, otak individu akan menghasilkan hormon dopamine yang tinggi sama seperti penagih dadah.
“Sebab itu mereka hanya akan berasa puas selepas mereka melakukan perbuatan tersebut, kerana dopamine tersebut terhasil dengan banyak.
“Dopamine ini adalah tidak sihat. Mereka akan menjadi cepat marah jika mereka tidak dapat apa yang mereka mahukan seperti menonton video lucah,” katanya.
Pada tahap yang lebih teruk, ketagihan itu akan mengakibatkan urusan harian terganggu kerana hilang fokus dan terdesak untuk menonton tanpa kawalan selagi punya masa dan keseorangan.
Wanita juga sering dijadikan sebagai objek seksual dan pada tahap yang lebih serius, mereka melihat wanita sebagai objek seksual semata-mata.
Oleh itu, Siti Fatimah mencadangkan agar Kempen Gaya Hidup Sihat serta Minda Sihat di sekolah diperluaskan dari semasa ke semasa.
Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam langkah pencegahan menyekat akses internet terhadap laman web tidak bermoral selain membantu anak untuk berhenti daripada perbuatan berkenaan secara ansur-ansur dan bukannya mendesak.










