Hargai kemerdekaan, buat pilihan tepat untuk negara

Hargai kemerdekaan, buat pilihan tepat untuk negara

RAKYAT perlu tahu bahawa memulau untuk tidak mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) ini akan menyebabkan hal kuasa dan survival bangsa serta masa depan negara tergugat. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBETULAN pilihan raya negeri (PRN) jatuh pada Ogos, bulan memperingati kemerdekaan tanah air. Tentu banyak sudut boleh dihurai dan dikaitkan suasana politik semasa dengan semangat kemerdekaan yang menghampiri usia tujuh dekad. Barangkali pengundian pada 12 Ogos ini sedikit sebanyak akan terdorong dengan aspirasi dan jiwa kemerdekaan.

Amalan demokrasi berparlimen menjadi paksi pemerintahan negara. Sistem asas ini memandu arah negara ditadbir urus secara konsensus, sederhana, inklusif dan adil saksama. Hasilnya, pengisian kemerdekaan berjalan lancar, teratur dan banyak membawa kesan kebaikan terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Memperolehinya bukan suatu kerja yang mudah. Terpaksa melalui proses perjanjian dan pelbagai aturan ketetapan. Apa pun, semuanya sudah berlalu. Segala butiran sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang agama dan budaya dapat hidup aman bersatu-padu bersandarkan konsep saling menerima dan menghormati.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setelah 60 tahun merdeka, politik negara agak tergugat. Diganggu oleh hal-hal peribadi dan kepentingan puak atau kabilah yang keterlaluan. Banyak pendekatan negatif yang dibawa. Budaya budi dan peradaban langsung diketepikan. Yang ada, terbawa-bawa dengan unsur-unsur fitnah-memfitnah, mencaci memaki, mengecam dan menyerang peribadi, mengungkit perkara-perkara asas yang sudah dipersetujui dan melompat menukar parti. Kesannya, rakyat menjadi keliru dan celaru dalam memikirkan soal politik.

Namun, memulau atau mengambil alasan mudah untuk tidak keluar mengundi adalah sesuatu yang merugikan. Hak dan tanggungjawab perlu ditunaikan. Islam juga mengajar umatnya menghormati dan menunai amanah dan tanggungjawab. Bebaskan diri daripada kekeliruan dan kebosanan. Perlu ingat, politik dan proses mengundi mempunyai kaitan rapat dengan hal kuasa dan survival bangsa serta masa depan negara.

Cari pendekatan mudah dalam berfikir dan menentukan pilihan. Bercagarlah pada bukti, berpandulah pada ketepatan janji. Jika ada parti atau calon yang mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti efisien, kenapa tidak sahaja memilih mereka? Sebaliknya, mengulangi kesilapan dan terus-terusan terpesona dengan retorik janji, slogan agama dan terpangaruh dengan umpat keji terhadap lawan tidak mugkin membuahkan hasil yang berkesan.

Seseorang dikatakan tidak ‘merdeka’ pemikirannya kalau hanya mudah terpengaruh dengan hasutan dan cemuhan. Apatah lagi kalau terbelit dengan sikap tahu mengumpat mengata, tetapi mengulangi pilihan yang sama. Pilih secara tepat, jujur dan berpijak pada keyakinan sebenar. Elak daripada terdorong perasaan marah dan dendam. Jangan sampai ada yang berkata, “Aku akan memilih mana-mana saja parti atau calon, asal tidak yang itu.” Itu pilihan sia-sia namanya.

MANIS DI BIBIR
Sebaliknya, orang yang ‘merdeka’ dalam membuat penilaian dan pertimbangannya akan mengutamakan matlamat sebenar proses pengundian. Mereka tidak sekadar terikut-ikut atau bersikap taksub kepada sesiapa atau mana-mana pihak. Pemilihan mereka berasas rasional dan objektif. Dan, pilihan raya bukan masa untuk ‘menyelamatkan’ agenda politik mana-mana individu, apatah lagi kalangan yang pernah bermasalah dalam parti.

Rakyat atau pengundi perlu tahu bahawa proses pembangunan akan berjalan lancar dan mudah jika wujud keseragaman parti di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Politik negara akan lebih stabil. Kedudukan ini turut mempengaruhi tarikan pelabur untuk melabur di negeri-negeri yang selari dengan kerajaan Pusat. Juga, tidak lagi ada ruang untuk sengaja ditimbulkan alasan kononnya ‘menganaktirikan’ mana-mana negeri.

Jika berpijak pada bukti, tentu ramai menyedari negeri mana yang berjaya atau gagal dalam pemerintahannya. Janji hanya mungkin manis di bibir tetapi tidak mungkin menjernihkan air. Bekalan air tetap keruh dan terhad jika orang dan parti yang mengurusnya adalah sama. Demikian juga, jalan tetap berlubang jika pentadbir sama terus berulang.
Di Kelantan khususnya, ramai pengundi menyuarakan harapan agar isu ekonomi dan peluang pekerjaan ditangani dengan sebaiknya. Masa depan anak-anak muda tidak akan terjamin dengan hanya pemimpin atau calon datang menepuk bahu atau bercakap memainkan perasaan. Rakyat mahu punca pendapatan yang berpatutan selari dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Suasana kegiatan ekonomi yang segar berkisar kepada aspek penawaran dan kuasa beli mempengaruhi keharmonian kehidupan. Sementara projek-projek pembangunan dirancang dan dilaksana dengan baik sudah tentu membuka peluang kemajuan hiliran yang melegakan semua. Pendek kata, mana-mana parti yang mendapat mandat mentadbir negeri perlu serius melaksanakan pembangunan. Rakyat berhak menolak mana-mana kerajaan yang berprestasi lemah dan gagal.

Suara lantang asyik melaung keburukan lawan tidak semestinya melambangkan pentadbiran di bawahnya tersusun berkesan. Rakyat sering diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan taktik mengalih tumpuan semata-mata untuk menutup sesuatu isu yang tidak menyebelahi mana-mana pihak tertentu. Ini termasuk permasalahan yang melingkari peribadi individu atau membabitkan keberkesanan parti.

Berlapang dadalah dalam membuat pilihan. Kehidupan perlu terus maju ke hadapan. Bangsa yang mengabaikan kemajuan akan menjadi bangsa yang ketinggalan. Lumrah percaturan kehidupan dunia pula, pihak yang lemah akan terdedah kepada pelbagai risiko dan ancaman. Jadi, Malaysia perlukan kemajuan dan kestabilan. Taraf hidup rakyat perlu ditingkatkan. Kemudahan awam sentiasa menjadi permintaan rakyat. Justeru, hantarlah isyarat yang tepat. Riak cita rasa rakyat boleh dizahirkan melalui PRN.

Yang baik jadikan pedoman, yang gagal jadikan teladan. Pengalaman itu adalah pengajaran. Waspada dengan seribu janji hanya bayangan.-UTUSAN

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×