Sempena tayangan filem Barbie The Movie, jenama tudung dUCk kembali dengan koleksi sempena kerjasama ketiga dengan watak ikonik dan gaya hidup merah jambu itu.
Menerapkan semangat anak patung Barbie dalam menempuh liku-liku hidup sebagai manusia biasa menerusi koleksi tudung terbaharunya, koleksi itu berinspirasikan Filem Barbie yang muncul dalam dunia sebenar dengan pengembaraan penuh semangat dan keyakinan.
Pengasas bersama Kumpulan The dUCk, Vivy Yusof berkata, dua kerjasama sebelum ini mendapat sambutan hangat tetapi kali ini lebih mengujakan.
“Kisah Barbie yang muncul dalam dunia sebenar, menggegarkan peminat dan pengikut kami.
“Pengembaraan mengatasi ketakutan, mencari kekuatan dalam kepayahan dan terus bergerak dengan bersemangat serta keyakinan bercakap mengenai nilai yang dipegang dUCk, kami berharap untuk berkongsi rasa positif dan sokongan bersama pelanggan,” katanya.
EDISI TERHAD
Koleksi terhad ini menawarkan skaf sehingga beg membeli-belah selain baju siap dipakai (RTW).
Cetakan rumit bagi mentafsirkan dunia Barbie pada koleksi ini mengambil masa sehingga 400 jam (atau 50 hari) untuk disiapkan.
Pasukan reka bentuk jenama, membayangkan ruang berbentuk hati dipenuhi perkara indah seperti pelangi, trak ais krim dan payung pantai.
Dari biru ke fuchsia dan merah jambu, selendangnya mempunyai nama seperti Barbie Dreams, Best Day Ever, Hey Blondie, Let’s Beach, The President and I’m Hanya Ken.
Didatangkan dalam 10 rekaan berbentuk selendang dan tudung empat segi.
Ia diperbuat daripada sutera satin kegemaran dUCk yang memberikan gaya eksklusifeksklusif berkilau.
Selain tudung, jenama ini juga turut mengeluarkan beg membeli-belah mini.










