Inovasi robotik mudahkan rawatan kanser pankreas - Utusan Malaysia

Inovasi robotik mudahkan rawatan kanser pankreas

Pembedahan invasif minimum hanya sesuai bagi pesakit di peringkat awal kanser.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kanser pankreas merupakan antara kanser yang menyebabkan kadar kematian paling tinggi dilaporkan di Malaysia dengan anggaran dua daripada 100,000 individu menghidapnya sepanjang hidup mereka.

Ia mungkin tidak lazim seperti kanser kolon, payudara atau paru-paru, tetapi kanser pankreas memberi prognosis yang tidak baik kerana kebiasaannya ia lambat dikesan.

Perunding Pakar Bedah Hepatopankreatobiliari (HPB) di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), Prof. Dr. Yoong Boon Koon berkata, rawatan diisarankan adalah pembedahan pankreas untuk membuang sel-sel kanser apabila ia dikesan awal atau sebelum sel tersebut bertukar menjadi barah.

“Jika kanser terletak pada ekor dan badan pankreas, maka pembuangan ekor pankreas, limpa dan tisu limpa di kawasan sekelilingnya menjadi rawatan pilihan.

“Bagaimanapun, jika kanser ditemui di kepala pankreas, pembedahan kompleks yang dikenali sebagai pancreaticoduodenectomy (prosedur Whipple) perlu dilakukan bagi membuang kepala pankreas, duodenum, saluran hempedu dan pundi hempedu,” katanya. Kebiasaannya kaedah rawatan ini akan disusuli dengan kemoterapi.

Tambahnya, kebiasaannya prosedur Whipple yang kompleks dilakukan secara tradisional sebagai pembedahan terbuka.

Prosedur itu memakan masa antara lima hingga enam jam dan memerlukan kepakaran yang tinggi.

Namun kini, dengan kehadiran bantuan robot pembedahan, da Vinci Xi membantu memudahkan prosedur pembedahan rumit tersebut.

Ia membolehkan pembedahan dilakukan dengan pendekatan invasif minimum melalui beberapa potongan kecil bersaiz lubang kunci.

Untuk pesakit peringkat awal

Bagaimanapun, jelas Dr. Yoong, pilihan pembedahan invasif minimum itu hanya sesuai bagi pesakit di peringkat awal kanser atau keadaan prakanser.

“Kebanyakan pesakit, kecuali mereka yang mempunyai fungsi paru-paru atau jantung yang lemah, dan mengalami masalah kesihatan secara umum, adalah sesuai untuk menjalani prosedur Whipple secara robotik.

“Walau bagaimanapun, pesakit yang pernah melakukan beberapa pembedahan di bahagian abdomen boleh menyebabkan pembedahan ini menjadi lebih mencabar,” terangnya.

Mengulas lanjut, katanya bantuan robotik berkenaan memiliki beberapa kelebihan, misalnya potongan lebih kecil diperlukan berbanding pembedahan konvensional.

Selain itu, ketangkasan lengan robotik yang membolehkan ia berfungsi dengan lebih baik dalam ruang yang dalam dan sempit serta sukar diakses dengan tangan.

Di samping itu, kejelasan imej kamera yang dikawal robotik juga membuatkan anatomi badan dapat dilihat dengan lebih jelas, sekali gus mampu mengelakkan sebarang kecederaan berlaku semasa prosedur.

Secara tidak langsung, pemulihan pesakit menjadi lebih cepat dan mampu didiscaj lebih awal kerana luka yang lebih kecil dan gangguan fisiologi yang kurang.

Pesakit mengalami kurang kesakitan dan risiko jangkitan juga berkurangan dengan komplikasi yang lebih rendah, menyebabkan mereka boleh didiscaj lebih awal.

Konklusinya, penggunaan robot dalam pembedahan menawarkan kadar kejayaan yang lebih tinggi apabila pemilihan kes dilakukan dengan betul.

Sekiranya berlaku kesukaran untuk meneruskan pembedahan, pakar bedah mempunyai pilihan untuk menukarnya kepada pembedahan terbuka.

Pembedahan robotik telah mengubah landskap perubatan masa kini.

Untuk rekod, Dr Yoong menjalankan prosedur robotik Whipple menggunakan robot pembedahan generasi keempat, da Vinci Xi pada 17 Jun 2023.

Awasi gejala awal

Antara tanda kanser pankreas yang umum iaitu jaundis, suatu keadaan perubatan yang menyebabkan kulit dan bahagian mata putih menjadi kuning.

Gejala lain adalah usus tersumbat, hilang selera makan dan susut berat badan selain rasa tidak selesa atau sakit pada bahagian abdomen.

“Malangnya, simptom-simptom ini biasanya lewat dikesan dan rawatan kuratif tidak lagi dapat dijalankan pada diagnosis.

“Namun begitu, bagi penyakit yang dikesan pada peringkat awal melalui ujian saringan (apabila terdapat peningkatan antigen karbohidrat CA19-9 dalam ujian darah atau ketumbuhan pada pankreas yang dapat dilihat pada imbasan ultrabunyi), pembuangan tumor secara pembedahan adalah satu-satunya cara untuk merawatnya,” jelasnya lanjut.

Pesakit dikesan dengan tumor prakanser menunjukkan prognosis terbaik dan biasanya hanya dengan pembedahan mampu menyembuhkan penyakit berkenaan.

Pilihan rawatan bagi kanser yang masih berada di bahagian pankreas (tahap 1 hingga 3) adalah pembedahan diikuti rawatan kemoterapi. Bagi kanser yang telah merebak ke organ-organ lain (tahap 4) dirawat dengan cara kemoterapi paliatif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN