Bersihkan PPR daripada ‘jolokan’ sarang jenayah

Bersihkan PPR daripada ‘jolokan’ sarang jenayah

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tindakan pembanterasan jenayah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak seharusnya diletakkan di bahu pihak polis sahaja, sebaliknya ia memerlukan perhatian semua agensi kerajaan.

Menegaskan perkara itu kepada Mingguan Malaysia, Ke­tua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ini kerana di kawasan PPR masih terdapat kelompok masyarakat yang memerlukan bantuan daripada semua pihak.

Kata beliau, kebanyakan peng­huni yang tinggal di perumahan tersebut terdiri daripada mereka yang tenat daripada segi ekonomi, seterusnya menjadi punca penglibatan mereka dalam masalah sosial.

IMPLIKASI

“Cadangan saya kepada semua Ketua Jabatan Jenayah (JSJ) di setiap daerah di Kuala Lumpur adalah mahu membersihkan kawasan-kawasan PPR ini daripada elemen jenayah. Ini baru perancangan saya dan tidak bermaksud saya akan lakukan perkara ini dalam masa terdekat ini ke­rana kita perlu melihat implikasi-implikasi sosioekonomi daripada tindakan ini.

“Kita akan buat operasi bersepadu dengan pelbagai agensi supaya bersama-sama melihat dan membantu masyarakat di lapangan. Sebagai contoh, mungkin kita boleh libatkan agensi yang jarang terlibat dengan pihak kami sebelum ini se­perti Jabatan Pendidikan.

“Mereka (Jabatan Pendidikan) boleh mengenal pasti anak-anak yang tercicir dan mendaftarkan semula mereka sekolah dan di sini, Jabatan Kerja Masyarakat (JKM) diperlukan untuk melihat bantuan apa yang layak diterima keluarga-keluarga ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

BEBAS

Mengulas lanjut, kata Mohd. Shuhaily, tekadnya sebagai Ke­tua Polis Kuala Lumpur adalah mahu membetulkan pandangan masyarakat mengenai jenayah di kawasan PPR ini sekali gus membebaskan kawasan ber­kenaan daripada dibelenggu masalah jenayah.

“Kita (polis) bersama-sama agensi lain perlu duduk di kawasan itu dalam tempoh munasabah bagi membersih masalah jenayah, dadah dan sosial. Bila sudah bersih, kita bagi balik tempat itu kepada penduduk setempat untuk ‘empower’ semula komuniti di situ sekali gus akan menyebabkan kumpulan-kumpulan penjenayah ini takut untuk mendekati masyarakat di PPR sekali gus melumpuhkan kegiatan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, sudah tiba masa­nya kepolisan komuniti perlu berubah 360 darjah dengan memberi penekanan kepada isu-isu sosial dan menguruskan masalah yang tersembunyi atau tersirat dalam masyarakat.

Tegas beliau, melihat pegawai penyiasat polis juga perlu mengubah corak kerja mereka dan jangan terlalu melihat kepada kertas siasatan yang dibuka sahaja sebaliknya perlu berfikir lebih daripada apa maklumat yang mereka ada dan terima.

Katanya, pendekatan ‘turun padang’ juga akan dipertingkatkan kerana ia antara cara terbaik bagi anggota penguat kuasa untuk berinteraksi dengan masyarakat.

“Pendekatan sedemikian juga boleh membantu menangani kebimbangan orang ramai terhadap ketelusan pihak polis dan secara tidak langsung me­ningkatkan kepercayaan mereka terhadap penguat kuasa undang-undang,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Shuhaily memaklumkan, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat bagi membentuk kerjasama efektif di antara masyarakat, polis serta jabatan-jabatan kerajaan yang lain.

“Apabila kerjasama erat wujud, maka isu yang tersembunyi ini akan dapat disalurkan melalui medium yang betul kepada jabatan atau agensi terlibat.

“Saya lebih suka mengadakan pertemuan dengan NGO-NGO yang tidak retorik dan tiada berkepentingan. Kerana ada NGO, kadang-kala mengambil tindakan hanya untuk mendapat perhatian umum sahaja,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN