Ada T20 perlukan subsidi bersasar - Utusan Malaysia

Ada T20 perlukan subsidi bersasar

PELBAGAI program dan bantuan disediakan oleh kerajaan untuk kesejahteraan rakyat dalam Belanjawan 2023. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU subsidi bersasar masih lagi diperkatakan dalam kalangan rakyat. Ada suara yang mengatakan adil, tidak adil serta sesetengah pihak pula berpendapat perlu kajian menyeluruh sebelum dilaksanakan.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengumumkan, pendekatan berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah bakal dilaksanakan Januari tahun depan sebagai langkah penstrukturan ekonomi untuk pengagihan subsidi bersasar yang lebih fokus.

Beliau berkata, pendekatan ketika ini yang lebih tertumpu kepada pendapatan rendah (B40), sederhana (M40) dan tinggi (T20) tidak menggambarkan sepenuhnya dari segi perbandingan kemampuan satu isi rumah ke isi rumah lain, meliputi bilangan tanggungan anak dan lokasi individu.

Rafizi berkata pendekatan baharu itu akan diintegrasikan dengan inisiatif Pangkalan Data Utama (Padu) yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai usaha penggabungan maklumat sosioekonomi bagi setiap isi rumah dalam negara bagi memperkemaskan pelaksanaan subsidi bersasar.

Walaupun telah ada pengumuman penambahbaikan daripada kerajaan, rakyat masih resah dan tertanya-tanya adakah subsidi bersasar ini akan mengurangkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat miskin, sederhana dan kaya? Tambahan pula, definisi dan takrifan B40, M40 dan T20 terlalu longgar.

Adakah pendapatan isi rumah melebihi RM10,000 itu kaya? Begitu juga dengan takrifan sederhana dan miskin. Dengan adanya subsidi bersasar, masalah kemiskinan dapat dikurangkan atau harga barang dapat dikurangkan dan distabilkan di pasaran dalam jangka masa pendek dan panjang?

Banyak risiko dan kesan akan berlaku sekiranya ia tetap dilaksanakan. Antaranya harga barangan tidak stabil, agihan subsidi tidak seimbang, emosi dan stres kepada pengkelasan pendapatan isi rumah yang masih diragui dan dihantui dengan 1,000 macam kegelisahan.

Kita melihat dari skop mudah. Kebanyakan cukai dibayar oleh golongan T20. Golongan ini terdiri daripada profesional dan peniaga. Kebanyakannya menyumbang kepada pendapatan negara. Jika kerajaan meminggirkan subsidi bersasar kepada T20, maka mereka akan membayar pada harga barang dengan lebih tinggi. Mungkin kenaikan hingga 100 peratus. Ini amat membebankan.

GAJI

Jika ini berlaku, golongan peniaga yang terkesan ini akan menaikkan harga barang bagi menampung ketiadaan subsidi. Tindakan ini akan memberi kesan kenaikan harga barang secara langsung pada golongan B40 dan M40.

Oleh itu, subsidi perlu diberikan kepada semua golongan pengkelasan pendapatan B40, M40 dan T20 tanpa mengira gaji. Ini kerana ia adalah soal rakyat, soal kehidupan dan soal kos sara hidup.

Bantuan subsidi berterusan kepada semua golongan boleh mengurangkan kadar inflasi secara sihat. Kenapa kerajaan masih mengukur pendapatan dari sudut pengkelasan pendapatan isi rumah dan gred gaji? Pada pandangan saya, ukuran ini tidak sesuai dalam konteks pengagihan subsidi. Ia perlu diukur dengan cara lebih terperinci.

Pada masa kini, kaedah diguna pakai untuk menentukan garis kemiskinan adalah bersandarkan jumlah pendapatan isi rumah semata-mata tanpa melihat komitmen ditanggung rakyat.

Ukuran ini perlu diubah. Mungkin dengan pengukuran gaji bersih pendapatan isi rumah tanpa mengikut gred gaji, tiada lagi istilah B40, M40 dan T40 seperti diperkatakan Rafizi.

Dalam satu kajian baru dijalankan, 93 peratus atau 10,958 daripada keseluruhan 11,855 responden bersetuju kategori pendapatan B40, M40 dan T20 diganti pendapatan boleh belanja bersih. Oleh itu, kerajaan perlu menilai dan mempertimbangkan semula isu subsidi bersasar kepada semua golongan rakyat tanpa mengira status dan gaji.

Antara langkah kerajaan ketika ini adalah memastikan sistem Padu disediakan terlebih dahulu kerana ia akan menghimpunkan data pendapatan boleh belanja bersih isi rumah bagi menggantikan pengkelasan pendapatan isi rumah.

Kuasa beli rakyat bergantung pada pendapatan bersih dari setiap pengkelasan pendapatan gaji. Ini bermaksud mungkin T20 boleh menjadi B40 atau M40 setelah tolak semua komitmen hutang dan pelbagai perbelanjaan.

Pengkelasan selain T20 mempunyai pelbagai peluang perniagaan daripada kerajaan bagi menambahkan pendapatan. Kemungkinan, pendapatan bersih dan kuasa beli mereka melebihi T20. Kumpulan T20 merupakan penyumbang terbesar kepada cukai dan pendapatan negara.

Kumpulan isi rumah miskin iaitu berpendapatan bulanan kurang daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) di mana nilai PGK nasional sekarang adalah RM2,208 sebulan. Pelbagai program dan bantuan disediakan oleh kerajaan (rujuk ringkasan inti pati Belanjawan 2023).

Oleh itu, berdasarkan kenyataan di atas, kerajaan disaran melakukan kajian terperinci sebelum melaksanakan pemberian subsidi bersasar dan seboleh-bolehnya memberi subsidi dan bantuan kepada semua golongan rakyat dengan mewujudkan pengiraan berdasarkan pendapatan bersih isi rumah seperti telah dijanjikan. – UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×