BERJIWA rakyat, adil dan lasak, itulah gambaran kepribadian Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjadi kebanggaan seluruh rakyat ‘Darul Iman’.
Baginda sejak dari kecil memiliki sifat sopan dan sering mencemar duli menyantuni rakyat serta mengurniakan sumbangan peribadi.
Nilai-nilai mulia Sultan Mizan itu diwarisi daripada ayahanda baginda, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang cukup sinonim dengan sikap mesra dengan rakyat.
Sultan Mizan yang menyambut ulang tahun keputeraan baginda yang ke-61, hari ini, diputerakan pada 22 Januari 1962 di Istana Al-Muktafi, Kuala Terengganu, Terengganu.
Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu Ke-18 pada 15 Mei 1998.
Baginda juga telah dipilih menduduki takhta Yang di-Pertuan Agong Ke-13 selama lima tahun bermula pada 13 Disember 2006 dan berakhir pada 13 Disember 2011.
Sejak ditabalkan sebagai pemerintah negeri Terengganu, baginda mengambil pendekatan turun ke akar umbi untuk merapatkan jurang antara rakyat dan istana dengan menemui khalayak rakyat.
Baginda sering mencemar duli untuk berdampingan dengan rakyat jelata termasuk di kawasan luar bandar, selain bersembahyang fardu Jumaat di masjid-masjid seluruh negeri Terengganu.
Malah sikap mulia, berhemah dan rendah diri baginda itu meninggalkan kesan di hati rakyat sebagai raja berjiwa rakyat.
Keakraban Sultan Mizan dengan seluruh rakyat negeri itu diibaratkan raja dan rakyat berpisah tiada.
Selain itu, baginda juga mengambil inisiatif mewujudkan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) sebagai landasan untuk membantu dengan melakukan aktiviti-aktiviti bersama rakyat.
Yayasan berkenaan dilancarkan bersempena sambutan hari ulang tahun keputeraan baginda ke-43 pada 19 Julai 2005.
Menerusi yayasan itu, baginda terlibat dalam kerja-kerja amal yang bertujuan menyumbang kepada usaha meningkatkan taraf sosioekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat Terengganu.
Pada Ramadan lalu, YDSM menyediakan memperuntukkan lebih RM700,000 untuk program mengimarahkan masjid dan surau serta memberi sumbangan kepada golongan fakir miskin di Terengganu.
Malah, Sultan Mizan mencemar duli mengurniakan bantuan kepada fakir miskin dan pelajar sekolah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Baginda berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh daerah berupa wang tunai dan hamper barangan keperluan harian yang bernilai keseluruhan RM255,000.
Bantuan juga turut disampaikan kepada 30 penggiat seni dan budaya serta 30 veteran polis.
Seramai 210 pelajar keluarga miskin dari tujuh buah sekolah dan 30 pelajar di tiga buah pusat pengajian Islam turut menerima kurniaan yang sama.
Pada majlis yang sama, seramai 500 fakir miskin wanita juga menerima kurniaan daripada Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) bagi persediaan menyambut Aidilfitri.
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah turut mengurniakan bantuan YTNZ itu.
Ternyata, seluruh penerima bantuan itu gembira dan terharu dengan bantuan yang dikurniakan Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah kerana dapat meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri.
Selain itu, Sultan Mizan juga menitikberatkan soal perpaduan dalam kalangan rakyat di Terengganu tanpa mengira bangsa, agama dan budaya bagi memelihara kesejahteraan bersama.
Dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disambut baru-baru ini, baginda menitahkan rakyat di negeri ini supaya meraikan kepelbagaian bangsa dan agama dengan mengekalkan toleransi antara kaum, serta saling menghormati antara satu sama lain.
Baginda bertitah, kepelbagaian bangsa dan agama yang terjalin di negara kita sejak dahulu lagi menunjukkan ia adalah sesuatu yang bukan mudah untuk dileraikan.
“Pupuklah semangat ini dalam kalangan anak-anak kita agar kedamaian ini kekal pada masa akan datang. Hari raya boleh dijadikan sebagai medium untuk kita bersama-sama menghormati kewujudan kepelbagaian di negara ini dengan membuka pintu rumah, menerima kunjungan tetamu daripada pelbagai agama, kaum dan budaya,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah lagi, kunjung-mengunjungi dan ziarah-menziarahi dapat mewujudkan kegembiraan sesama keluarga, sahabat handai dan jiran.
Malah antara kandungan Khutabah Khas Aidilfitri 2023 bertajuk ‘Memupuk Silaturahim’ yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) turut mengajak umat Islam mengambil peluang pada 1 Syawal dengan mengukuhkan persaudaraan sesama umat sebagai wadah hablum minannas.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Terengganu.










