UMAT Islam khususnya alumni Al-Azhar di seluruh dunia akan mengadakan Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia, Jumaat ini. Al-Azhar Al-Syarif menerusi kenyataannya menyebut: “Hari Jumaat 7 Ramadan 361 Hijrah merupakan hari mengingati ulang tahun pembukaan Al-Azhar Al-Syarif semenjak 1,082 tahun lalu”.
Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Kaherah (WOAG) Malaysia adalah salah satu daripada cawangan WOAG yang beribu pejabat di Kaherah, Mesir.
Penubuhan WOAG ini ialah sebagai wadah kepada para lepasan Al-Azhar di seluruh dunia untuk terus berhubung di samping mengeratkan hubungan sesama mereka.
Selain itu, WOAG juga menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi faedah kepada ahli dan sekalian ummah terutama dalam membawa mesej wasatiyyah Islam, sekali gus menolak pemikiran ekstrem dan melampau.
Prinsip wasatiyyah Islam yang dipegang oleh Al-Azhar amat menepati dengan keperluan umat Islam di Malaysia. Ia amat selari dengan seruan al-Quran untuk melahirkan masyarakat yang terbuka dan bertoleransi antara satu sama lain, menerima kepelbagaian untuk hidup secara harmoni dalam sebuah masyarakat majmuk.
Malah kelihatan selari dengan konsep Malaysia Madani yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan budaya.
Ternyata Al-Azhar adalah sebuah institusi agama dan pendidikan Islam begitu penting bagi negara kita dan seluruh umat Islam kerana telah melahirkan sejumlah besar alumni daripada kalangan anak watan sejak akhir 1950-an.
Generasi awal lepasan Al-Azhar telah memberi sumbangan yang amat signifikan khususnya dalam kemajuan Islam di Malaysia melalui pelbagai sektor termasuk pendidikan, politik dan pengurusan hal ehwal agama Islam.
Menariknya, Al-Azhar mempamerkan wajah Islam sebenar dan memperkenalkan hakikat turath Islam dan intipatinya dalam dua ruang lingkup, iaitu aqli dan naqli. Justeru, Al-Azhar menonjolkan wasatiyyah Islam yang merupakan ciri utama agama Islam dan memperlihatkan kesederhanaan dalam memahami kitab Allah SWT dan sunah nabi-Nya serta apa-apa yang terpancar daripada dua sumber suci ini sama ada dalam bentuk kaedah-kaedah ilmu mahupun pemikiran.
Institusi ternama sentiasa menanamkan prinsip dialog dan keharusan berkhilaf menurut syarak dalam minda pelajarnya sejak awal kemasukan.
Al-Azhar berhempas-pulas menyebarkan ilmu pengetahuan dan budaya Islam secara berhemah dan menyebarkan ilmu Islam ke seluruh pelosok dunia. Keistimewaan ini tidak didapati di universiti selain Al-Azhar yang menerima bilangan terbesar pelajar yang berdagang dan membiayai mereka tanpa apa-apa balasan.
Secara jelas, manhaj Al-Azhar terbukti dapat mempertahankan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah daripada beberapa fahaman seperti Khawarij, Muktazilah, Syiah, Salafi, Zahiriyyah, Batiniyyah, Takfiriyyah, liberalisme, pluralisme dan beberapa fahaman yang muncul pada zaman moden ini.
Malah kewujudan institusi keilmuan Islam di dunia khususnya di Malaysia adalah hasil kurikulum pendidikan diasaskan oleh manhaj Universiti Al-Azhar terdahulu yang jauh ke hadapan dalam arena pendidikan Islamiah.
Menurut Presiden WOAG Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, perkara yang ditekankan oleh Prof. Dr. Ahmed Mohamed al-Tayyeb, Syeikh al-Azhar kini dalam bukunya, al-Qaul al-Tayyib memperlihatkan pendirian Al-Azhar berlandaskan prinsip wasatiyyah yang mengarah kepada sikap toleransi, sederhana dan terbuka.
Pendirian ini menjadi pemangkin kepada penyuburan nilai-nilai kemanusiaan yang luhur dalam cita-cita menegakkan perdamaian, persaudaraan sekali gus menyebarkan kebaikan dan keamanan sejagat.
Menerusi prinsip wasatiyyah, Al-Azhar ingin menunjukkan Islam ialah agama praktikal yang benar-benar membawa rahmat kepada seluruh alam. Ajaran Islam dan fatwa-fatwa seharusnya memberikan kebaikan dan menyelesaikan masalah hukum-hakam yang dihadapi tanpa membelakangkan uruf masyarakat setempat dan tidak menepati kehendak zaman yang berubah-ubah.
Hukum-hakam yang digariskan dalam Islam seolah-olah memaparkan kepada dunia bahawa lebih banyak haram daripada halal di samping kecelaruan tentang lima hukum dengan status masing-masing. Keadaan sedemikian berkemungkinan berlaku kerana ia dilihat dari sudut pandang yang sempit.
Apa yang pasti haram tetap haram, yang sunat tidak boleh diwajibkan, manakala yang harus tidak boleh diharamkan. Pembaharuan atau tajdid serta ijtihad baharu perlu ditampilkan dalam memenuhi tuntutan hidup umat Islam yang memerlukan garis panduan agama yang jelas serta konsisten.
Al-Azhar amat menyedari masalah besar yang melanda ummah iaitu perpecahan, perselisihan dan persengketaan dalaman. Ia merupakan penyakit yang cukup kronik yang berjaya membuka laluan kepada kolonial untuk menjajah bumi Islam sejak dua kurun lalu.
Penyakit ini kembali menjadi pandemik sekali gus mengundang semula kedatangan penjajahan Barat dalam kurun ke-21. Mungkin kini penyakit ini menyerang dalam bentuk baharu dan negara tercinta ini tidak terkecuali daripada serangan yang amat menyedihkan itu.
Betapa mendukacitakan apabila musuh-musuh Islam mengambil perpecahan umat Islam dan pergaduhan sesama sendiri ini sebagai alat dan senjata. Musuh sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk membawa kelengkapan perang, senjata dan tentera ke negara yang bergolak itu.
Umat Islam dimomokkan dengan ideologi songsang yang bertuhankan kebendaan sehingga hilang jati diri dan maruah demi memenuhi kehendak hawa nafsu serakah. Musuh Islam menyimbah minyak ke dalam api yang sedang membakar krisis dalaman ummah sekali gus menyemarakkan lagi perang saudara yang meletus itu.
Sambutan Hari Al-Azhar Sedunia memberi erti besar kepada umat Islam di Malaysia yang banyak terhutang budi di atas sumbangan pendidikan dan pemikiran Islam universiti tersohor ini. Sambutan itu juga mengukuhkan lagi hubungan peringkat kerajaan antara Malaysia dan Mesir dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan.
Malah lepasan Universiti Al-Azhar, Mesir di Malaysia telah membentuk suatu jaringan berterusan antara universiti dan alumninya, serta diamanahkan membawa risalah Al-Azhar, Ummatan Wasata atau Wasatiyyah dalam melaksanakan tugas mulia selaku ulama. Semoga Allah S.W.T memelihara Al-Azhar Al-Sharif dan para pendukung manhajnya.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Mustaffa Abdullah ialah Setiausaha Agung Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Kaherah (WOAG) Malaysia.











