Penyelamat perangkap kewangan rakyat

Penyelamat perangkap kewangan rakyat

ISU utama si bankrap terperangkap dalam kebankrapan adalah kegagalan untuk membayar jumlah terhutang kepada pihak pemiutang dan bukan semata-mata disebabkan persekitaran undang-undang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Belanjawan 2023 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu adalah sesuatu yang dinantikan. Ini kerana menjelang bulan ini, rakyat berada dalam keadaan ingin tahu apakah perancangan kerajaan bagi tahun ini. Lazimnya, bajet negara dibentang dan dibahas bagi tahun sebelumnya, namun Belanjawan 2023 menyaksikan kelainan.

Belanjawan 2023 pertama kali dibentangkan pada 7 Oktober 2022 oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU).

Setelah penelitian kembali keperluan dan kekuatan kewangan negara dalam mendepani 2023, Belanjawan 2023 bertemakan Membangun Malaysia Madani telah dibentangkan semula untuk kelulusan ahli Dewan Rakyat. Banyak inisiatif direncana dan dibentangkan dalam 12 ikhtiar utama belanjawan ini. Salah satu yang menjadi perhatian ialah ikhtiar kelima, Pembaharuan Sektor Awam merangkumi segmen menangani isu- isu rakyat.

Antara yang disentuh ialah iltizam kerajaan untuk meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) bagi pelepasan kes-kes bankrap secara automatik dalam masa lebih singkat.

Isu kebankrapan bukanlah suatu isu baharu. Ia sering menjadi perhatian kerajaan memandangkan status kebankrapan memberikan kesan kepada si bankrap dan juga negara.

Statistik direkodkan menunjukkan sehingga Disember 2022, sebanyak 269,654 kes kebankrapan ditadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM).

Daripada angka itu, sebanyak 49,133 kes kebankrapan bagi tempoh 2018 sehingga Disember 2022 direkodkan.

Bagaimanapun, perkara lebih membimbangkan apabila bilangan angka belia yang bankrap dilihat tinggi. Seramai 10,507 belia dalam lingkungan 25 hingga 34 tahun telah diisytiharkan bankrap sehingga November 2022.

Kebimbangan ini disuarakan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan. Isu belia bankrap ini hakikatnya juga bukanlah satu isu baharu. Isu ini sudah sering menjadi perhatian kerajaan untuk disantuni.

Sekiranya belia seawal 25 tahun sudah dihukum bankrap, mereka akan berhadapan banyak sekatan yang dikenakan menurut Seksyen 38 Akta 360. Antara sekatan yang dikenakan adalah larangan keluar negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Insolvensi (KPI). Si bankrap juga perlu melaporkan kepada KPI akaun dan harta miliknya dan terdapat sekatan untuk menjalankan perniagaan melainkan memperoleh kebenaran daripada KPI atau mahkamah. Sekatan-sekatan ini sungguh merenyahkan terutama kepada golongan belia atau muda yang mempunyai banyak potensi diri.

Oleh yang demikian, iltizam kerajaan untuk mengurangkan kehilangan potensi belia dengan meminda Akta 360 bagi pelepasan awal ini adalah semestinya suatu inisiatif tepat untuk merendahkan statistik mereka yang ditadbir oleh JIM. Ia juga dapat memanfaatkan penghutang-penghutang penghakiman yang telah lama dibankrapkan untuk memberikan hidup baharu kepada mereka.

Dengan kaedah pelepasan seperti ini, penghutang penghakiman yang dibankrapkan boleh bangkit kembali dan hidup seperti orang lain.

Kerajaan juga sebenarnya telah meminda Akta 360 dengan beberapa peruntukkan yang signifikan.

Misalnya, pindaan dilakukan untuk melindungi penjamin sosial daripada dikenakan tindakan kebankrapan dan meningkatkan jumlah minimum keberhutangan untuk kebankrapan. Untuk membantu si bankrap pula, dengan memudahkan pelepasan seseorang daripada bankrap dalam tempoh lima tahun selepas seseorang itu dihukum bankrap.

Namun untuk menangani isu kebankrapan dalam kalangan rakyat khususnya golongan belia, ia memerlukan satu usaha dan pendekatan yang berbeza. Ini memandangkan isu utama si bankrap terperangkap dalam hutang yang membawa kepada kebankrapan adalah kegagalan untuk membayar jumlah terhutang kepada pihak pemiutang dan bukan semata-mata disebabkan persekitaran undang-undang.

Kenaikan jumlah minimum keberhutangan ini telah melindungi sebilangan penghutang-penghutang daripada berhadapan dengan prosiding kebankrapan.

Namun, yang sewajarnya menjadi kerisauan masyarakat adalah bukan semata-mata kebankrapan tetapi tabiat dan literasi kewangan golongan belia. Misalnya, terdapat laporan yang menyatakan antara faktor utama yang menyebabkan belia bankrap berpunca daripada pinjaman kenderaan dan pinjaman peribadi yang diambil dan gagal dibayar oleh belia ini.

Justeru, intervensi kerajaan sebenarnya amat diperlukan dalam memastikan polisi memberikan pinjaman kepada golongan belia harus berdasarkan kemampuan peminjam untuk membayar kembali pinjaman. Isu yang timbul adalah apabila polisi memberi pinjam pembiayaan peribadi atau kereta yang diberikan tanpa meneliti kemampuan peminjam untuk membuat bayaran kembali berdasarkan gaji dan perbelanjaan semasa.

Dengan syarat yang ketat ini akan mengurangkan risiko pinjaman yang tidak mampu dibayar kembali oleh peminjam. Ini juga secara langsung memastikan institusi kewangan tidak terbeban dengan jumlah hutang yang tidak dibayar balik.

Selain itu, literasi kewangan di peringkat akar umbi perlu diberikan perhatian. Kerja-kerja advokasi kewangan kepada golongan belia perlu diperkasakan dalam masyarakat setempat.

Walaupun jumlah minimum keberhutangan bagi kebankrapan dinaikkan, penghutang penghakiman masih lagi berhadapan risiko pelaksanaan perintah mahkamah melalui Saman Penghutang Penghakiman atau pengeluaran writ sitaan dan jualan aset penghutang penghakiman oleh pemiutang-pemiutang.

Sehubungan itu, perkara pokok perlu disantuni ialah dasar kelulusan pinjaman yang tepat untuk mengelakkan lebih ramai belia terperangkap dalam kitaran hidup berhutang sebegini.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang; Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelaj

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN