TIDAK lama lagi, kita akan bertemu dengan bulan Ramadan al-Mubarak. Ramadan ialah bulan yang amat dinanti-nanti. Bulan yang mulia ini penuh dengan ganjaran pahala buat umat Islam. Dalam mengejar pahala yang disediakan ini, adalah penting untuk memastikan kita tidak mensia-siakannya dengan perbuatan membazir yang turut memberi kesan kepada alam sekitar.
Sekiranya kita ingin meraih keberkatan dan ganjaran pada bulan mulia ini, maka kita bukan sahaja perlu menjaga hubungan kita dengan Allah SWT, malah memastikan hubungan sesama manusia dan juga alam sekitar. Ketiga-tiga dimensi hubungan ini perlu dipelihara kerana ia menjadi sebahagian daripada tanggungjawab kita kepada Allah SWT. Ramadan sebenarnya membuka peluang yang baik untuk meningkatkan kualiti hubungan tiga dimensi ini.
Satu perkara yang jelas ialah Ramadan menjadi bulan yang memberi penekanan kepada kehidupan bermasyarakat. Selepas matahari terbenam, umat Islam berbuka puasa bersama keluarga, rakan-rakan atau komuniti setempat. Iftar secara beramai-ramai mampu mempererat silaturahim dan ukhwah sesama ahli keluarga dan masyarakat. Bagaimanapun, kita perlu memastikan dalam menyediakan hidangan makanan, tidak melakukan perkara yang menyumbang kepada pencemaran alam.
Kelazimannya dalam penyediaan makanan untuk ramai orang, kutleri dan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik dan styrofoam digunakan bersama botol plastik dan minuman tin atau cawan pakai buang. Hal ini membawa kepada peningkatan pembuangan sisa. Sebagai tambahan kepada sisa ini, akan ada pula sisa makanan yang tidak habis dimakan yang turut dibuang.
Di Malaysia, statistik menunjukkan kira-kira 16,000 tan sisa makanan dihasilkan setiap hari. Pada hari-hari penting seperti Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina, sisa makanan dianggarkan meningkat sebanyak 25 peratus. Masalah ini sebenarnya tidak unik bagi Malaysia sahaja. Dalam tempoh 30 hari di Jerman misalnya, 2,750 masjid menghasilkan kira-kira 480 juta kilogram sisa plastik, iaitu kira-kira 3.5 peratus daripada sisa tahunan negara itu. Jadi, umat Islam menghasilkan lebih banyak sisa plastik di bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.
Walaupun data ini mungkin sukar diterima, hakikatnya pembaziran berlaku dengan berleluasa pada bulan Ramadan. Perkara ini bertentangan dengan hakikat Ramadan seharusnya menjadi bulan yang mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir. Apatah lagi terdapat larangan keras terhadap perbuatan boros dan membazir seperti firman Allah SWT menerusi ayat 27 Surah al-Isra’ bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Pada bulan Ramadan tahun ini, kita seharusnya membuat pilihan untuk berbuka puasa dan beribadah dengan cara yang lestari selaras dengan adab dan etika Islam. Antara perkara boleh dilakukan ialah penggunaan air secara berhemah. Air penting untuk kehidupan semua makhluk termasuk manusia. Dalam kehidupan seharian, kita menggunakan air dalam memasak dan mencuci termasuk berwuduk. Sehubungan itu, dalam kita memberi tumpuan kepada ibadah sepanjang Ramadan, pastikan pembaziran air tidak berlaku.
Apabila kita menyediakan makanan sama ada dengan memasak sendiri atau membeli, pastikan ia dilakukan secara bersederhana. Sediakan makanan mengikut keperluan diri dan keluarga, bukan mengikut nafsu. Perkara ini bukan sahaja lebih mesra kepada alam sekitar dan menjimatkan wang, malah merupakan satu cara mengelakkan pembaziran selaras ajaran Islam.
Pembaziran makanan merupakan satu realiti terutama di negara-negara maju dan membangun. Di seluruh dunia, dianggarkan 1.3 bilion tan makanan dibuang setiap tahun. Pembaziran ini sebenarnya boleh dielakkan sekiranya kita mempunyai kesedaran yang tinggi tentang nilai makanan, bukan sahaja dari sudut wang ringgit, malahan rohani dan alam sekitar.
Secara purata, keluarga di Malaysia membazirkan antara 500 hingga 800 gram makanan setiap hari. Pembaziran ini menyebabkan kerugian sebanyak RM210 sebulan bagi setiap isi rumah yang membawa kepada kira-kira RM2,600 setahun. Satu kajian mendapati pada bulan Ramadan, penyumbang terbesar sisa makanan ialah isi rumah (38%), pasar basah (25%), restoran (23%) dan hotel (7%).
Data SWCorp menunjukkan jumlah sisa makanan yang dibuang di Malaysia adalah sebanyak 5.48 juta tan setahun, dan jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding penghasilan beras negara iaitu 2.65 juta tan setahun. Hal ini menunjukkan sebenarnya kita membazirkan lebih banyak makanan berbanding jumlah beras yang dihasilkan.
Menjadi suatu perkara amat merugikan sekiranya sikap kita terhadap pembaziran makanan tidak selari dengan kehendak ajaran Islam. Bulan Ramadan sebenarnya menyediakan platform untuk kita meningkatkan kualiti takwa kepada Allah SWT. Memandangkan masih mempunyai sedikit masa lagi sebelum Ramadan bermula, maka seelok-eloknya kita mempersiapkan diri bukan sahaja untuk memberi tumpuan kepada pelbagai ibadah, malah membudayakan Ramadan tanpa pembaziran.
Usaha pembudayaan Ramadan tanpa pembaziran juga merupakan satu bentuk ibadah umum yang menzahirkan pemeliharaan hubungan kita dengan alam, seterusnya mampu mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dan meningkatkan ketakwaan kita.-UTUSAN
DR. Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh ialah Pengarah Penyelidikan di Unit Pengurusan Penyelidikan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










