MUKADIMAH
Ramai tidak sedar, penggunaan air setiap hari sebenarnya melebihi keperluan. 217 liter sehari sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding saranan 160 liter oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Malah, Singapura, menggunakan 158 liter sehari. Justeru, penjimatan air sangat penting untuk bekalan masa depan.
Lantaran itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, IR. ABAS ABDULLAH menjelaskan kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan jurufoto AHMAD FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR, bagaimana penjimatan memberi impak besar kepada perancangan bekalan air dan kemampanannya untuk berdepan krisis.
UTUSAN: Berapa liter air digunakan oleh penduduk di Lembah Klang?
ABAS: Statistik pengguna air kita adalah 9.1 juta. Berdasarkan kepada perangkaan dikeluarkan oleh Jabatan Statistik tahun lepas, kita dapati purata penggunaan air setiap orang dalam lingkungan 217 liter sehari.
Ini jauh lebih tinggi daripada disarankan oleh WHO, iaitu lingkungan 160 liter sehari. Kalau kita bandingkan dengan jiran kita di Singapura, 158 liter. Di United Kingdom, 152 liter sehari.
Dengan gaya penggunaan sedemikian, bagaimana air dapat dijimatkan?
Agak tinggi penggunaannya. Jadi, antara teknik ataupun inisiatif perlu kita laksanakan adalah memberi kesedaran kepada pengguna, mereka menggunakan air yang lebih daripada sepatutnya.
Penggunaan alat-alat yang menjimatkan, contohnya guna mesin basuh tiga atau empat bintang tanda penjimatan air.
Kalau air dapat dijimatkan, apakah manfaatnya dan impak masa hadapan?
Tentunya margin simpanan bekalan air akan lebih tinggi, maka kita boleh tangguhkan kerja-kerja pengeluaran modal membina loji baharu. Itu boleh dilewatkan sedikit.
Kalau dapat capai penggunaan 160 liter sehari?
(Bukan sahaja tingkatkan margin simpanan) kita dapat melewatkan pembinaan loji-loji kerana melibatkan pengeluaran modal yang besar.
Bagaimana perbandingan dengan domestik dan komersial?
Domestik lebih ramai berbanding komersial (31 peratus). Itu termasuk penggunaan dengan Air Selangor. Maknanya semua industri komersial sama ada kedai, pejabat dan kilang adalah 31 peratus daripada penggunaan kita sehari.
Di samping itu juga, dari sudut pemain industri atau komersial, mereka boleh memainkan peranan penting dari sudut kitar semula penggunaan air.
Satu lagiinisiatif adalah kita bersama-sama Indah Water Konsortium (IWK) tubuhkan satu syarikat bersama dipanggil sebagai penebusgunaan air berpusat untuk membangunkan loji mengambil semula air dari loji IWK untuk digunakan sebagai non-portable water. Maknanya bukan untuk minuman tetapi untuk industri.
Berapa jumlah loji Air Selangor uruskan?
Jumlah setakat ini 34 buah yang kita urus termasuk penyelenggaraan.
Semua loji pernah alami situasi henti tugas akibat pencemaran?
Tidak semua. Yang kita khuatir adalah loji-loji berskala besar seperti Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dan Sungai Langat, sekiranya berlaku penutupan akan memberi impak yang besar kepada pengguna.
Jadi, bagaimana pastikan kualiti air bila berlaku pencemaran?
Pencemaran sumber air merupakan cabaran besar. Berdasarkan statistik tahun lepas, kita ada lapan penutupan LRA menyebabkan gangguan bekalan air dan enam daripadanya melibatkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.
Pencemaran kebanyakan berlaku dari sumber-sumber kilang dan baru-baru ini kemalangan yang menyebabkan penutupan loji.
Ada satu kes yang pertama, sumber pencemaran itu tidak masuk ke loji, kita dapat sekat lebih awal. Maknanya, loji selamat dan tidak perlu kerja-kerja pembersihan.
Kes kedua, bahan pencemar itu masuk ke dalam loji. Jadi, kita perlu keluarkan air apabila air sungai normal. Loji yang tiada bahan pencemar akan lebih pantas untuk membekalkan air kepada pengguna.
Di sini saya hendak tekankan, pencemaran yang berlaku tiga, empat tahun lepas bukannya sama seperti 20 tahun lalu, air kotor, berbau dan sebagainya.
Tetapi, ini berpunca daripada volatile organic carbon (VOC), warnanya seperti biasa tetapi memberi indikator bau. Bau itu memberi isyarat berlaku pencemaran. Jadi, kita kena buat kajian apa bahan pencemar yang berlaku.
Berapa kekerapan henti tugas di LRA pada 2020, 2021 dan 2022 akibat pencemaran?
2020 kita ada tujuh kes henti tugas yang besar, 2021 (tiga) 2022 ada lapan. Terbaru pada Disember lepas (Sungai Selangor). Memang ada kekerapan berlaku di situ.
Di Sungai Selangor, kita ada LRA SSP 1, 2 dan 3, buat masa ini, skalanya besar, membekal 60 peratus air kepada keseluruhan pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.
Apa sasaran Air Selangor untuk atasi masalah ini?
Berdasarkan kepada statistik kekerapan dalam tempoh tiga tahun lepas, kerajaan Selangor melaksanakan inisiatif baharu, Skim Jaminan Air Mentah (SeJAM) di Sungai Selangor untuk SSP 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang, dan satu lagi di Sungai Semenyih.
Itu sebagai tindakan jangka sederhana dan jangka panjang, sekiranya berlaku kita boleh ada alternatif sumber air mentah yang tidak menyebabkan penutupan loji. Sedang diusahakan oleh kerajaan negeri. Projek ini dipantau oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor.
Apabila berlaku pencemaran, kita ada alternatif, contohnya dekat Sungai Selangor kita guna air dari kolam HORAS untuk membantu membekal dalam sementara waktu. Begitu juga di Semenyih.
Kosnya agak tinggi kerana untuk memastikan bekalan air tidak terganggu dan sering berlaku.
Pencemaran pasti menyebabkan kos pengurusan. Benarkah?
Mengikut rekod, setiap kali berlaku penutupan, kita akan gerakkan pelan tindakan kecemasan, kita akan menyewa lori tangki besar dan sebagainya. Kos puratanya adalah RM400,000 untuk setiap kes. Itu termasuklah penutupan loji, pembersihan.
Apakah perancangan Air Selangor untuk terus bekalkan air kepada pengguna?
Sebenarnya dalam pelan perancangan 30 tahun ada pelan strategik pertama kita, water forever iaitu membina loji-loji baharu bagi memenuhi permintaan pada masa akan datang.
Jadi, sekarang sedang membangunkan skim Rasau peringkat satu, dijangka siap pada 2025 yang berupaya membekalkan 700 juta liter sehari ke kawasan Klang menggunakan sumber air dari Sungai Klang.
Air dari Sungai Klang boleh digunakan?
Kita tidak ambil secara terus, sebaliknya ambil melalui kolam-kolam lombong sedia ada. Jadi, kita salurkan ke kolam, kemudian ambil dari situ baru rawat.
Jadi, kita ada masa untuk (memastikan bendasing) mendapan dan sebagainya. Bukan ambil secara terus dari sungai. Tetapi kita tidak kompromi dengan kualitinya.
Loji yang sedang dibina itu mengambil kira risiko sekiranya ada bahan-bahan pencemar.-UTUSAN










