Dahulu setiap kali upacara ritual dilakukan, Tantagas akan dipanggil mengetuai pelbagai ritual yang diamalkan oleh suku kaum Dusun Lotud, Sabah.
Namun, perubahan zaman menyebabkan tantagas atau bomoh wanita dalam kalangan masyarakat Dusun Lotud atau Suang Lotud ini semakin pupus. Di daerah lain, tantagas turut dikenali sebagai bobolian atau bobohizan.
Semasa masyarakat Suang Lotud masih mengamalkan adat tradisi nenek moyang mereka, tantagas sering kali diamanahkan untuk mengetuai upacara pemujaan semangat padi mahupun ‘mamahui pogun’ iaitu upacara bagi menghukum individu yang melakukan perbuatan sumbang bagi pasangan yang belum berkahwin.
Ketika mengetuai upacara ritual, tantagas akan memakai pakaian tradisi Suang Lotud berwarna hitam, dihiasi sulaman linangkit sambil menggunakan alat dilengkapi dengan loceng, dipanggil ‘pilamong’.
Menyedari hakikat tantagas serta budaya masyarakat Suang Lotud yang kian pupus, Pediman Jabau tampil dengan idea menubuhkan Muzium Lotud Borneo.
Muzium dibangunkan pada 2018 itu bertujuan memastikan budaya dan tradisi masyarakat Suang Lotud tidak hilang ditelan zaman.
Pengasas dan juga Pengerusi Muzium Lotud Borneo itu berkata, beliau mahu budaya tradisi Suang Lotud didedahkan kepada orang ramai, agar ia tidak lenyap begitu sahaja.
Katanya, suatu waktu dahulu, orang ramai amat rapat dengan tantagas.
“Bermula daripada melahirkan bayi, ketika sakit mahupun semasa meninggal dunia, masyarakat Suang Lotud akan melalui pelbagai acara ritual diketuai tantagas, untuk memberkati bayi mahupun berhubung dengan roh yang berada di alam lain.
“Semasa bayi baru lahir, tantagas akan mengetuai acara ‘ginayatan todok’ atau pemberkatan bayi. Semasa upacara dilakukan, jantung pisang akan diikat pada kaki bayi sebagai simbolik menghindarkan bayi baharu lahir daripada semangat jahat.
“Di samping itu, tantagas juga mengetuai upacara libabou iaitu ritual untuk menghubungkan roh antara dunia nyata dan dunia roh ketika mengubati orang yang sedang sakit. Malah, tantagas juga boleh menjadi pengiring semasa pencarian roh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
‘Dokumentasi secepat mungkin’
Pediman berkata, nenek dan ibunya juga salah seorang tantagas yang aktif menjalankan upacara ritual termasuk memanggil semangat padi semasa perayaan Kaamatan.
Susulan peredaran zaman, semakin ramai masyarakat Suang Lotud mula menganut pelbagai agama jadi, kepercayaan tradisi ini berada dipenghujung usia dan semakin pupus.
“Sekiranya budaya tradisi suku kaum Suang Lotud ini tidak didokumentasikan, kami bimbang ia akan pupus. Justeru, selagi ada tantagas yang masih hidup, adat tradisi ini perlu didokumentasi secepat mungkin.
“Kami tidak mahu pihak luar yang menghasilkan buku mengenai adat tradisi ini kerana dikhuatiri faktanya tidak tepat.
“Itu sebabnya saya bersama komuniti Suang Lotud sedang mengumpulkan data berkaitan untuk menerbitkan buku mengenai suku kaum Suang Lotud,” katanya.
Menurut Pediman, pengumpulan data dan kajian akan mengambil masa selama dua tahun dan mereka akan bekerjasama dengan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) untuk menerbitkan buku berkenaan.
Bercerita lanjut katanya, banyak buku mengenai tradisi Suang Lotud diterbitkan namun, fakta ditulis kurang tepat kerana kebanyakan penulis bukan daripada kaum Suang Lotud.
Dalam perkembangan lain, beliau kini dalam perancangan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi menyatukan 37 kaum etnik di Sabah menerusi Simposium Perdamaian Etnik Sabah.
Pediman, yang juga Naib Presiden Kongres Momogun Kebangsaan berkata, simposium itu perlu diadakan untuk menghapuskan budaya ‘sogit’ atau denda khususnya bagi acara perkahwinan antara pelbagai etnik di Sabah.
Amalan sogit bagi perlu dihentikan menerusi perdamaian antara etnik ini agar tiada lagi kisah lama yang diungkit semasa ingin mengadakan menyatukan pasangan yang ingin berkahwin.










