Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu. Belanjawan 2023 memperuntukkan RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
Belanjawan 2023 adalah yang telah disemak semula dengan peruntukan meningkat dan menjadi jumlah terbesar dalam sejarah negara untuk membolehkan kerajaan terus memberikan sokongan kukuh kepada pertumbuhan ekonomi. Banyak pihak bakal menikmati agihan Belanjawan 2023 ini terutama mereka yang berpendapatan rendah dan golongan susah.
Antara intipati pengumuman Belanjawan 2023 adalah pengumuman kerajaan untuk menaikkan jumlah had maksimum pelaburan individu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) kepada RM300,000 berbanding RM200,000 sebelum ini. Usaha yang diambil oleh kerajaan ini dilihat sedikit sebanyak dapat membantu rakyat khususnya golongan bumiputera berpendapatan rendah untuk melabur di samping mendapat pulangan melalui pemberian dividen yang selamat dan stabil setiap tahun.
Namun, langkah untuk menaikkan had maksimum pelaburan ASB dan ASB2 ini dilihat tidak akan membawa makna kerana rakyat kita tidak memiliki wang yang cukup untuk melabur banyak. Persoalan harus dilontarkan kepada kerajaan, di manakah para pelabur ini ingin dapatkan wang untuk meningkatkan had pelaburan mereka dalam ASB dan ASB2 atau unit-unit amanah lain yang telah disediakan? Adakah kerajaan ingin menyarankan orang ramai khususnya para pelabur mengambil pinjaman untuk melakukan proses pelaburan di dalam unit-unit amanah ini?
Melakukan proses pinjaman untuk melabur adalah tidak sihat untuk dilakukan oleh mana-mana individu khususnya yang berpendapatan rendah kerana risiko yang dibawanya adalah tinggi. Kita juga tidak dapat pastikan sejauh mana pulangan melalui dividen yang diberikan setiap tahun dapat membantu pelabur membayar balik pinjaman yang telah mereka lakukan untuk melabur dalam ASB atau ASB2.
Oleh itu, daripada menaikkan had maksimum pelaburan ASB dan ASB2, adalah penting kerajaaan memberi tumpuan penuh bagi memastikan kadar pemberian dividen untuk ASB, ASB2 dan semua unit amanah yang ditawarkan adalah tinggi setiap tahun. Pemberian dividen tinggi secara konsisten setiap tahun dilihat lebih membawa makna kepada pelabur dalam mengharungi masalah inflasi dan kos sara hidup yang meningkat setiap tahun.
Persoalan juga harus ditanya, adakah rakyat benar-benar mampu untuk melaburkan dalam yang jumlah banyak dalam ASB, ASB2 atau atau dimana-mana unit amanah atau pelaburan sedia ada ketika ini?
Penularan virus Covid-19 semenjak awal 2020 telah menjejaskan punca pendapatan banyak pihak khususnya golongan B40 serta mereka yang berpendapatan rendah. Akibat daripada pengurangan punca pendapatan ini, ramai tidak memiliki jumlah wang yang banyak untuk lakukan proses pelaburan di mana-mana pun.
Jadi, apa guna kita naikkan had pelaburan maksimum ASB dan ASB2 ini jika orang ramai tidak mampu untuk melabur ke dalamnya? Adakah kita ingin meminta orang ramai meminjam wang daripada mana-mana pihak semata-mata untuk melakukan proses pelaburan? Adakah dasar pinjam-meminjam ini bijak dan sesuai untuk dilakukan untuk individu dalam melakukan proses pelaburan?
Kita pun tidak tahu keadaan ekonomi pada masa akan datang. Jika keadaan ekonomi bertambah buruk, bagaimana pelabur-pelabur yang telah lakukan proses pinjaman ini hendak membayar kembali segala pinjaman serta segala kadar faedah yang telah dikenakan terhadap pinjaman yang telah mereka lakukan semata-mata untuk melabur dalam ASB, ASB2 atau mana-mana unit amanah? Persoalan paling penting, apa gunanya juga jika had maksimum ASB dan ASB2 dinaikkan jika kadar pemberian dividen yang bakal diumumkan kelak terus menurun?
Oleh demikian, daripada menaikkan had maksimum pelaburan dalam ASB dan ASB2 ini, adalah lebih baik kerajaan memberi tumpuan untuk memastikan kadar pemberian dividen ASB, ASB2 dan semua unit amanah yang ditawarkan adalah tinggi untuk tahun-tahun akan datang. Kadar pemberian dividen ASB, ASB2 dan semua unit amanah yang ada setiap tahun pun dilihat makin lama makin menurun. Usaha harus dipertingkatkan bagi menaikkan semula kadar pemberian kadar dividen ASB, ASB2 dan semua unit amanah yang ada ini setiap tahun kepada semua pelabur unit amanah terlibat.
Kerajaan boleh duduk berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) terhadap langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan kadar pemberian dividen untuk semua unit amanah ini bagi tahun-tahun akan datang adalah tinggi serta memuaskan dan paling penting, tidak menurun.
Umum pun tahu masalah perkembangan ekonomi global yang sedang bergerak perlahan pada ketika ini akibat inflasi. Oleh itu, agak sukar untuk pihak-pihak berkaitan memastikan pulangan dividen untuk semua unit amanah ini tinggi serta memuaskan hati semua pelabur. Namun rakyat tetap berkeyakinan dengan tahap kemampuan kerajaan serta pengurus unit pelaburan berkaitan untuk memastikan pulangan dividen diberikan adalah tinggi dan memuaskan hati walaupun keadaan ekonomi semasa pada ketika ini tidak mengalakkan dan penuh mencabar.-UTUSAN
Dr. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).











