MUKADIMAH
ASAS Pergerakan Puteri UMNO perlu diperkukuhkan semula, berfikir di luar kotak dan keluar daripada zon selesa sesuai dengan kehendak semasa namun dalam masa yang sama utuh mempertahankan naratif perjuangan.
Strategi perlu tepat pada sasaran. Dalam kata lain, Puteri UMNO harus mempunyai kelainan, berwajah baru dan berimpak tinggi, demikian ditegaskan oleh calon Ketua Puteri UMNO, FADWAH ANUWAR.
Ikuti temubualnya bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
UTUSAN: Kenapa tawar diri bertanding Ketua Puteri UMNO?
FADWAH: Dinamik politik negara pada hari ini bergerak dengan cepat dan keadaannya tidak sama seperti 10 hingga 15 tahun lalu.
Ledakan pendemokrasian dengan keterbukaan meluas pengundi kepada media sosial mengheret UMNO secara amnya dan Puteri UMNO khususnya untuk melakukan pengubahsuaian dari sudut pendekatan dan pembawaan ideologi untuk terus kekal relevan.
Cabaran politik saban hari kian meningkat dan fokus utama pengundi kini beralih kepada orang muda. Melihat kepada trend tersebut, sebagai Exco Pergerakan Puteri UMNO, saya merasakan itu adalah tanggungjawab saya kepada parti. Tugasnya tidak mudah, lebih-lebih lagi Puteri UMNO kini dilihat sebagai alternatif kepada pengundi muda tetapi ia tidak mustahil dilaksanakan.
Apa yang mahu Fadwah tawarkan?
Semestinya tawaran saya mahu meletakkan Puteri UMNO ke tempat yang lebih tinggi supaya mampu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita muda dan menjadi pilihan utama orang muda. Namun, kita harus berpijak berdasarkan realiti pada hari ini. Apakah sebenarnya punca kepada permasalahan ini?
Saya yakin dengan mengenalpasti dan merawat punca, barulah kita dapat mengatur strategi. Imej Puteri UMNO harus berwajah baru, segar dengan idea, versatil dan moden dari segi pendekatan. Bagi memastikan tawaran ini berjaya, Puteri UMNO harus melalui fasa-fasa awal kekuatan. Ini amat penting bagi memastikan kekukuhan Puteri UMNO yang mana ia secara tidak langsung menguatkan imej UMNO. Dengan kata yang lebih mudah, kuat Puteri, kuatlah parti. Barulah Puteri UMNO dan UMNO akan menjadi pilihan pengundi terutamanya pengundi muda.
Adakah ilmu politik penting?
Puteri UMNO perlu dibekalkan dengan ilmu politik. Skop ilmu politik ini luas dan pelbagai. Apabila Puteri UMNO mempunyai ilmu dan memahami peranan, maka perjalanan parti akan lebih berfokus dan mencapai sasaran. Satu perkara yang perlu diberi perhatian juga ialah etika. Diplomasi, integriti, amanah dan tanggungjawab kepada institusi parti itu harus menjadi pegangan.
Mendukung misi dan visi institusi parti wajib kepada semua ahli Puteri. Itu lumrah kita beroraganisasi.
Secara keseluruhan, agenda pembaharuan ini saya rangkum sebagai MOVE (moden, organisasi, versatil dan etika).
Sokongan pengundi muda khususnya kepada Puteri pada PRU15 lalu?
Politik adalah tentang nombor dan persepsi. Suka atau tidak, keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu mencerminkan trend sokongan. Ramai berpandangan, UMNO telah ditolak secara total namun hakikatnya sepanjang tempoh empat tahun dari 2018 hingga 2022, sokongan terhadap UMNO itu positif yang mana kami menang beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan menang dua pilihan raya negeri (PRN).
Kelemahan kami dari sudut mengawal dan menangkis persepsi. Persepsi negatif yang dilontarkan oleh lawan kepada kami menjadi penilaian utama pengundi. Kita tengok sebaliknya, vice versa, bagaimana jika persepsi positif parti ditonjolkan, peluang untuk menang itu ada.
Apa cabaran Puteri?
Puteri UMNO perlu mempunyai imej yang baik dan karakter yang kuat. Diplomasi juga penting. Kerana trend sekarang ini memerlukan pemimpin muda yang boleh duduk semeja dengan parti-parti lain. Apapun, kekuatan dalaman Puteri perlu dilakukan untuk menjadi senjata kepada terjemahan sokongan. Hendak meraih atau mendapatkan sokongan, logiknya kita perlulah mempunyai jenama yang baik. Sekiranya kita mampu berbuat demikian, tidak mustahil pengundi muda akan kembali menyokong kita.
Usaha menarik pengundi muda khususnya Puteri untuk kembali menyokong UMNO?
Politik di mata rakyat pada hari ini adalah suatu perkara yang membosankan dan memualkan. Kerana rakyat disajikan dengan isu-isu politik yang tidak memberi manfaat kepada mereka sedangkan rakyat sedang bergelut dengan isu ekonomi sara hidup yang lebih besar. Maka wajarlah politik itu ditukar pandangannya kepada suatu perkara yang baik dan membina. Untuk membetulkan keadaan ini, faktor dalaman dan luaran perlu diberikan perhatian serius. Saya percaya kepada konsep, jika dalaman Puteri itu kuat maka parti akan kuat.
UMNO adalah satu entiti politik yang memerlukan kerjasama semua unit di dalamnya. Justeru, Puteri UMNO harus kuat dalaman untuk memastikan kami kembali menjadi pilihan utama pengundi muda. Kuat Puteri, kuatlah parti.
Saingan pemilihan kali ini?
Bertanding lebih tiga penjuru ini semestinya satu cabaran besar buat saya lebih-lebih lagi ia dibarisi oleh mereka yang mempunyai jawatan yang lebih tinggi. Namun demikian ia tidak mematahkan semangat saya untuk kekal bertanding kerana saya juga mempunyai kekuatan tersendiri. Mesej yang paling penting dalam pemilihan kali ini bukanlah siapa lebih hebat tetapi bagaimana Puteri ini mahu dicorakkan, bagaimana Puteri ini mahu diwarnakan dengan warna-warna kepimpinan.
Siapapun yang menang, semestinya memikul amanah dan tanggungjawab yang cukup besar demi kelangsungan Puteri. Jalankanlah kewajipan dan amanah ini sebaliknya. Semuanya harus berkisar tentang usaha memantapkan Puteri UMNO kerana diakhirnya parti menjadi keutamaan.-UTUSAN










