HANYA mereka yang dilahirkan di atas dulang emas layak bercita-cita tinggi, mahu pun memiliki kerjaya hebat apabila dewasa.
Lantaran perspektif itu, maka Christina Ng Mei Mei, 36, atau lebih dikenali sebagai Christy Ng tidak berani untuk memasang apa-apa impian ketika zaman kecilnya.
Bagi anak kelahiran Kluang, Johor ini, tiada guna berangan-angan seperti Mat Jenin walhal ia sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan terutama bagi golongan yang dihimpit kesusahan sepertinya.
“Kemiskinan menghalang seseorang untuk ‘bermimpi’ dan ya, saya tidak pernah ada cita-cita.
“Lahir dalam keluarga yang ‘kais pagi, makan pagi’, matlamat hidup saya setiap hari ialah untuk melakukan perkara-perkara yang bermanfaat misalnya mencari duit,” katanya ketika ditemui Seri baru-baru ini.
Cari duit sejak kecil
Semangat berniaga dalam dirinya bermula sejak kecil, sewaktu usianya enam tahun.
“Keluarga kami berhijrah dari Kluang ke Petaling Jaya, Selangor bagi mengikut bapa mencari rezeki sebagai tukang cuci penyaman udara.
“Namun, nasib tidak menyebelahi bila hidup kami susah dan bertahun-tahun kami terpaksa menghuni bilik sewa di premis rumah kedai.
“Ada kalanya kami empat beranak terpaksa bergelap kerana bapa gagal membayar bil elektrik yang tertunggak,” katanya mengimbau kenangan.
Kesukaran hidup mendorong anak sulung daripada dua beradik ini berdikari dan bekerja bagi mendapatkan duit tambahan.
Cubaan pertamanya menjual bunga straw berharga RM15 yang dihasilkan ibu pada usianya sembilan tahun.
Ia menerima sambutan menggalakkan hingga pernah meraih pendapatan mencecah RM300 sehari.
“Macam-macam ilmu saya pelajari ketika menjaja bersendirian di stesen transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya. Ia termasuklah berani mendekati orang ramai dan waktu yang sesuai untuk berniaga bagi memastikan barangan laris,” katanya.
Minat mencari duit tetap diteruskan hingga ke sekolah menengah.
Beliau merebut segala peluang yang ada tanpa berfikir panjang.
Antaranya membantu menyiapkan kerja sekolah kawan dengan dibayar upah 50 sen.
Seingatnya, lebih 10 kerja sambilan dilakukan bagi mengumpul duit belanja malah wang berkenaan digunakan bagi menampung perbelanjaan sekolahnya.
Pemegang ijazah sarjana muda bioteknologi dan sains hayat ini merupakan epitome buat wanita yang mahu berjaya dalam perniagaan dan mencipta kejayaan dalam hidup.
Sekalipun tidak dididik dengan ilmu keusahawanan tetapi bukan penghalang untuknya menceburi bidang itu.
Selepas tamat tingkatan lima, timbul idea untuk menjual kasut-kasut dari Thailand dan berbekalkan wang simpanan RM3,000, Christy mula berniaga di pasar malam dan pasar lambak di sekitar Lembah Klang.
Aktiviti itu kemudian diteruskan hingga tamat pengajian di universiti.
Walaupun memiliki kerjaya sebagai jurujual di syarikat farmaseutikal pada waktu itu, tetapi ia tidak menghalang bekerja sambilan.
“Sampai satu tahap saya sudah letih berniaga di pasar malam dan terfikir untuk mengubah kaedah menjual di Facebook. Siapa sangka hantaran pertama yang dibuat pada 2011 mendapat perhatian satu Malaysia.
“Jualan terus melonjak dan pelanggan pun bertambah.
Setahun kemudian kawan-kawan mencadangkan agar saya berhenti kerja dan fokus kepada perniagaan dengan menghasilkan rekaan sendiri,” katanya.
Jiwa muda Christy menyahut cabaran itu dengan melaburkan RM10,000 sebagai modal awal bagi menghasilkan kasut tumit tinggi yang eksklusif.
Setiap rekaan dihasilkan mengikut cita rasanya dan dalam tempoh singkat jenama Christy Ng berjaya menguasai pasaran kasut kahwin di Malaysia.
Sambutan luar biasa itu mendorongnya mengeluarkan beg tangan pula pada 2018.
“Saya buat beg sekadar main-main sahaja tetapi tidak sangka jualan produk itu lebih laris berbanding kasut. Malah beg tangan turut menjadi teras utama pendapatan syarikat.
“Bila diimbau kembali, saya sendiri sukar percaya mampu sampai ke tahap ini, kerana semuanya tidak pernah dirancang atau diimpikan,” katanya.
Banyak kali hampir gulung tikar
Di sebalik kejayaan membesarkan ‘bayi sulungnya’, tiada siapa mengetahui perniagaan dibina, banyak kali mahu gulung tikar.
Tempoh 2014 hingga 2017 merupakan waktu paling getir kerana kehabisan wang untuk membayar gaji pekerja dan sewa kedai.
“Saya hilang punca dan putus asa untuk meneruskan perniagaan. Tipulah jika saya tidak sedih kerana sudah banyak yang dikorbankan selama ini.
“Saya sedar semua itu berlaku kerana tiada pengalaman dan gagal mengatur aliran tunai.
“Namun dengan duit yang dipinjamkan kawan-kawan, saya bangkit memulihkan kembali bisnes,” katanya.
Usahanya memerah keringat sejak kanak-kanak membentuk siapa dirinya hari ini dengan berjaya memiliki empayar perniagaan pada usia semuda 25 tahun.
Sepanjang sedekad bergelar usahawan, wanita cekal ini mampu membuka 10 kedai di pusat beli belah terkemuka antaranya MyTown, Mid Valley dan IOI Mall Putrajaya.
Kasut dan beg rekaannya bukan sekadar laris dalam negara, malah pasarannya meluas ke seluruh dunia termasuk Papua New Guinea, Amerika Syarikat (AS) dan Amerika Selatan.
Intai peluang
Sehingga kini hampir 2,000 rekaan kasut dan beg Christy Ng dikeluarkan termasuk berkolaborasi dengan selebriti terkenal dan jenama antarabangsa seperti DHL, Starbucks, Hello Kitty serta Oppo.
Ketika ini tumpuan adalah untuk membuka kedai baharu di Kuantan, Pahang diikuti Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Di samping itu, beliau turut mengintai peluang untuk bertapak di Filipina dalam masa terdekat selaras misi dan visi muncul jaguh dunia.
“Kami menerima jualan beg tertinggi daripada pelanggan di Filipina dan berhasrat untuk membuka cawangan sulung luar negara di situ.
“Sasaran dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini, saya mahu Christy Ng dikenali di seluruh dunia dan bukan sekadar jaguh kampung,” katanya.
Ujar Kristy, rekaan baharu akan dilancarkan pada bulan depan menerusi kerjasama dengan Krispy Kreme dan Uniqlo.
‘Jangan fikir keterlaluan’
Buat dahulu, fikir kemudian. Demikian nasihat ringkas Christy kepada wanita yang ingin terlibat dalam perniagaan.
Katanya, jika seseorang terlampau berfikir secara mendalam, sampai bila-bila pun usaha itu tidak akan bermula.
“Saya akui kejayaan bergantung 10 peratus kepada tuah manakala 90 peratus lagi kerja keras individu.
“Asalkan seseorang itu sanggup berusaha mengejar impian dan mengorbankan masa serta tenaga, pasti ada kejayaan menanti mereka,” katanya.










