Marziah yakin jadi usahawan makanan muslimah berjaya - Utusan Malaysia

Marziah yakin jadi usahawan makanan muslimah berjaya

Marziah bercita-cita menjadi usahawan muslim makanan berjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAP membantu arwah ibu di dapur sedikit sebanyak menimbulkan minat Marziah Mohamed, 39, terhadap dunia masakan.

Meningkat usia remaja, minatnya terarah ke kulinari membabitkan penyediaan makanan seperti kek, roti, pizza dan pastri.

Selepas memperoleh keputusan membanggakan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Marziah meneruskan pelajaran dalam bidang Pengajian Perniagaan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak.

“Kalau diikutkan saya sebenarnya membuat permohonan kursus kulinari tetapi tiada rezeki. Kebetulan saya mempunyai seorang rakan sebilik yang mengikuti kursus kulinari. Boleh dikatakan hampir setiap hari rakan membawa pulang makanan seperti roti, kek, pizza dan pastri untuk saya nikmati.

“Paling kelakar rakan minta saya beri ulasan atau komen jujur dalam masakannya. Saya pula memujuk beliau untuk memberikan resipi. Nasib baik dia tidak lokek,” katanya mengimbau kenangan.
Bertitik tolak daripada itu dia mulai mengumpul resipi.

Sewaktu berkhidmat sebagai penjawat awam di Shah Alam, Marziah sering membawa bekalan sampel makanan terdiri daripada pelbagai jenis kek, roti dan pastri untuk rakan sepejabat untuk mencubanya.

“Saya menerima banyak tempahan. Situasi berkenaan mendorong saya memberanikan diri untuk mencuba berniaga.

“Saya masih ingat lagi kek keju leleh, tat keju dan brownies antara produk pertama saya jual,” katanya.

KUMPUL MODAL BUKA MAR BAKERY
Bermula secara sambilan sebagai home bakers dan produk yang dihasilkan hanya tertumpu kepada masyarakat setempat ketika itu.

Marziah mengambil keputusan berhenti kerja pada 2016 bagi menumpukan sepenuh perhatian dalam perniagaan bakeri dan katering yang baru diusahakannya.

Marziah mengorak langkah menubuhkan syarikat sendiri Mar Bakery sebagai pelaburan jangka masa panjang.

Wanita berjiwa kental ini gemar bereksperimen mencuba idea inovasi pelbagai resipi untuk memantapkan dan memajukan produk jenama keluaran syarikatnya.

Antara laris ialah kek coklat, kek Mangga Keju Leleh, Brownies dan Cream Puff.

Perniagaanya berkembang lantaran Marziah rajin mempromosi produknya di media sosial.

Malah turut menjawab segala pertanyaan dan aduan pelanggan yang diterima di platform berkenaan.

Mengulas mengenai cabaran katanya, jatuh bangun dalam dunia perniagaan adalah lumrah dan sebagai peniaga beliau perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengikuti perkembangan semasa.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 akibat penularan pandemik Covid-19 duhulu ia sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perniagaan tetapi saya cepat bangkit,” katanya yang turut memanfaatkan ilmu memasak dengan menjadi tenaga pengajar menerusi kelas dan bengkel kek serta pastri anjuran pertubuhan bukan kerajaan.

“Saya berniaga sambil beramal kerana inginkan semua golongan dapat merasai setiap keluaran produk saya. Saya mengimpikan bergelar seorang usahawan muslim makanan yang berjaya dalam peringkat globalisasi.

“Paling penting saya mampu memberi impak dan sumbangan dengan mewujudkan peluang pekerjaan menambah pendapatan terutamanya surirumah, ibu tunggal dan asnaf,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata lelaki Putera Marwan Irfan 14, Putera Marwan irham 12 dan Putera Marwan Irsyad 11, ini turut memanfatkan masa terluang dengan menimba ilmu masakan.

“Saya banyak mengikuti kelas secara dalam talian (Pembelajaran Jarak Jauh) bagi mendapatkan serta mencari produk-produk terkini yang boleh dipasarkan,” katanya yang menjadikan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai tokoh perniagaan yang di kagumi.

Marziah turut menasihati individu yang ingin menceburi bidang masakan untuk memiliki minat mendalam, ilmu dan kesungguhan. Malah memiliki hubungan dengan dengan Allah SWT kerana di situlah ada barakah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×