USAH bimbang kerana tulisan ini bukan bersifat menghentam. Malah, ada sebab mengapa rasa ‘sakit hati’ ini menjadi fokus cerita untuk dikongsikan.
Mewakili ribuan peminat yang lain, kehadiran penyanyi dari tanah seberang ini, sebenarnya antara yang ditunggu-tunggu ramai.
Terutama, mereka yang mula menaruh minat sejak penyanyi ini tampil dengan album pertamanya, Tulus. Ya, album yang meletakkan namanya sendiri sebagai judul.
Jika ada yang masih ingat, kunjungan perdananya ke Kuala Lumpur pada September 2018 menerusi penganjuran Konsert Tulus Live di Istana Budaya.
Tahun seterusnya, beliau kembali lagi ke negara ini bagi menghiburkan peminat dengan Konsert Jelajah Sewindu di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Ternyata, dua persembahan itu belum dapat mengubat kerinduan peminat untuk terus menyaksikan kemunculannya. Apatah lagi, apabila dunia dilanda pandemik, banyak perancangan turut terjejas.
Maka, apabila Shiraz Projects mengumumkan penganjuran Fabulous Friday Present Tulus pada Khamis dan Jumaat lalu, ia disambut dengan gembira oleh peminat setianya di sini.
Ramai yang memberi sokongan dan menyatakan sudah tidak sabar menyaksikan persembahan penyanyi kesayangan mereka itu.
Namun, kehadiran Tulus tempoh hari dirasakan begitu singkat hingga ada yang mengakui, tidak puas dengan persembahannya.
Benar bagai dikata orang, momen bahagia atau menggembirakan, memang terasa seakan cepat dimakan waktu. Barangkali, begitu juga yang terjadi pada konsert terbaru, Tulus tempoh hari.
Dari satu sudut, ia menyaksikan betapa besarnya sayang dan kerinduan peminat terhadap Tulus yang cukup kuat dengan aura dan muzik yang tersendiri.
Malah, menerusi konsert terbarunya itu juga, ia dilihat sebagai ruang terbaik untuk Tulus memperkenalkan dan membawa seleksi lagu daripada album terbaharunya, Manusia secara live.
Jangan tidak tahu, album yang dilancarkan pada 3 Mac 2022 itu turut memiliki magis yang tersendiri.
Ia adalah antara bingkisan karya yang telah menyaksikan penyanyi berusia 36 tahun itu diangkat sebagai pemenang Anugerah Muzik Indonesia (AMI) 2022.
Tidak cuma itu, menerusi produksi itu juga, Tulus telah membawa pulang trofi Album Terbaik AMI 2022, selain menerima enam lagi trofi utama.
Ternyata, ada sesuatu yang istimewa dalam album tersebut yang menjadikan peminat ‘penasaran’ untuk mendengar sendiri bagaimana Tulus membawakan lagu-lagu hitsnya di pentas Dewan Plenary, KLCC, tempoh hari.
Persembahan sempurna
Rasanya, untuk mencari cela Tulus sepanjang dia berada di pentas, amat tipis. Ramai pasti bersetuju, penyanyi kelahiran Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia ini tergolong dalam kelompok penyanyi yang memiliki vokal ampuh sehinggakan hampir tiada kelemahan dipamerkan.
Sedari awal persembahan pada 8.30 malam sehingga tamat sekitar 10.15 malam, Tulus begitu bersahaja menghiburkan penonton dengan nyanyian merdunya, membawa peminat menyelami dari satu lagu ke satu lagu lain.
Memilih untuk membawakan seleksi lagu daripada album Manusia (2022), Gajah (2014), Monokrom (2016), dan Tulus (2011), penyanyi ini kelihatan ‘pancit’, meskipun agak banyak lagu yang dibawakan sepanjang dua malam konsert.
Antara lagu hits yang dibawakan termasuk Gajah, Satu Kali, Ruang Sendiri, Sepatu, Kelana, 1,000 Tahun Lamanya, Labirin, Teman Hidup, Nala, Diri, Monokrom, Sewindu dan Hati-Hati Di Jalan.
Sesekali, dia bercanda dengan penonton walaupun mengakui, dirinya bukan seorang penyanyi yang pandai berjenaka lucu.
Dalam selingan waktu, Tulus mengejutkan ramai dengan tindakan spontannya menawarkan peluang buat peminat membawakan album Manusia untuk ditandatangani.
Semuanya berlaku di pentas yang sama. Walhal, itu adalah momen untuk dia membuai penonton dengan lagu-lagu popularnya.
Pun begitu, peminat tentu tidak melepaskan momen tersebut, apatah lagi, cuma itu ruang dan peluang yang ada untuk dibawa pulang sebagai kenang-kenangan.
Melewati penghujung waktu, Tulus sempat berceloteh mengakui, dia sedaya upaya mahu peminat dan penonton yang hadir ke konsert tersebut pulang dengan senyuman bahagia.
Satu yang diingati tentang penyanyi ini, selain vokalnya yang mantap, lirik lagunya meskipun ringkas berpuitis, bait-baitnya menusuk ke dalam jiwa.
Mungkin tidak keterlaluan jika diandaikan, Tulus antara penyanyi yang bijak bermain dengan karya-karyanya.
Tentang cinta, hidup, semangat, motivasi dan memanusiakan. Demikian ikhlasnya Tulus dalam berkarya. Semoga ada kesempatan lagi untuk ke sini.










