Cari rezeki hasil titik peluh sendiri - Utusan Malaysia

Cari rezeki hasil titik peluh sendiri

Sunshine Aileen Devi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak mudah putus asa dalam hidup, Miss Global Malaysia 2023, Sunshine Aileen Devi, 34, mahu terus bersinar dan menjadi wanita yang berkaliber.

Wanita berdarah kacukan ini diberi nama Sunshine oleh ibu tercinta, Marjorie Pickering, 64, berbangsa British kerana percaya suatu hari nanti anaknya dapat menyinari dunia dan mengharumkan nama keluarga.

Namun kita tidak pernah menyangka apa yang terjadi dalam hidup. Begitu juga Sunshine. Seperti wanita lain yang senasib, Sunshine juga pernah berada dalam satu fasa kegelapan dalam hidupnya apabila mengalami penderaan domestik atau keganasan rumah tangga akibat didera dan dipukul oleh bekas teman lelaki suatu ketika dahulu.

Disebabkan kuat semangat dan tidak pernah putus asa, Sunshine bangkit demi membuktikan beliau tidak lemah di tangan lelaki yang hanya ingin memusnahkan hidupnya.

Ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini, perkara yang lepas jangan dikenang dan belajarlah daripada pengalaman. Beliau mahu golongan wanita tidak berharap pada sesiapa terutama lelaki.

“Kita perlu berdikari dan rajin untuk menjana rezeki tersendiri serta utamakan keluarga. Barulah kita dapat kepuasan dengan hasil titik peluh yang sendiri.

“Jadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran hidup dan tidak mudah untuk ditindas. Jangan fikir apabila sudah didera kita perlu jadi lemah selamanya dan kehidupan akan musnah selama-lamanya. Itu salah. Kita perlu ubah diri kita dan sentiasa berfikiran positif,” katanya yang sentiasa bersyukur dengan apa yang terjadi dan perlu percaya kepada Tuhan.

Sunshinedinobatkan Miss Global Malaysia 2023 kerana beliau seorang yang sangat lantang bersuara, berkeyakinan dan berfikiran luas.

Seperti ibunya, bekas Juara Kickboxer Asia Tenggara, Sunshine juga seorang yang lasak dan aktif bersukan serti berkemahiran dalam seni pertahanan diri sejak kecil.

“Sunshine agak tomboy ketika kecil dan remaja kerana mewarisi darah dan bakat ibu. Sebab itu Sunshine sangat independent dan tidak mudah dipijak oleh sesiapa,” katanya yang begitu mengidolakan ibunya yang tidak putus-putus menyokong karier Sunshine sehingga kini.

BERDIKARI SEJAK 14 TAHUN

Ujar Sunshine, kebolehan bertutur empat bahasa dengan fasih dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis memberi peluang beliau mencuba menjadi guru tuisyen seawal 14 tahun.

“Saya pilih untuk mengajar pada umur 14 tahun sebab ingin ada duit poket sendiri dan bantu keluarga. Saya boleh bertutur empat bahasa jadi saya gunakan kebolehan saya itu untuk mengajar subjek-subjek yang mereka lemah.

“Walaupun masih muda ketika itu, namun saya seorang yang sangat matang dan bersungguh-sungguh dalam mengajar seperti guru di sekolah. Saya hanya fikir cari duit untuk keluarga sahaja ketika itu. Dalam masa sama, saya juga sudah berjinak-jinak dalam bidang modelling.

“Kemudian pada usia saya 18 tahun, saya bekerja sebagai pelayan restoran dan beautician sambil sambung pengajian. Kemudian bekerja sebagai project manager dan event organiser seterusnya serius menceburi bidang modelling, hos, pelakon dan penyanyi.

“Saya seronok berdikari awal, dapat kenal dunia. Daripada situlah saya mula lompat mencuba satu kerja kepada kerja lain. Apabila kita ada pengalaman yang banyak, orang tidak akan mudah menjatuhkan kita,” katanya pada awalnya bercita-cita ingin menjadi pegawai polis untuk melindungi ramai orang selain mengikut jejak bapanya, Eric Devaraj, 60, yang menjadi bodyguard kepada mendiang Tan Sri Teh Hong Piow selama 25 tahun.

BELAJAR PERBAIKI DIRI

Ujar anak sulung daripada tiga beradik ini, untuk berada pada tahap ‘selesa’ adalah perlu rajin mencari ilmu dan beranikan diri sertai kelas untuk lebih berdaya saing dan perbaiki diri agar tidak syok sendiri.

“Saya mula sertai modeling dan catwalk show sejak umur 14 tahun. Semua kerana sokongan ibu saya dan sering ingatkan saya untuk berani mencuba. Saya ingat lagi, saya menang untuk best catwalk dan juri masa itu adalah Amber Chia.

“Kemudian perjalanan modelling saya terus bersinar selepas diintai oleh Talent Firm Scout dan saya ambil kelas modeling, catwalk serta solekan dari Carmen Soo. Bagi saya, perlu ambil kelas untuk lebih memajukan diri. Jangan malu atau bodoh sombong untuk terus belajar dan perbaiki diri.

“Kemudian, saya aktif sebagai seorang commercial talent. Iklan komersial yang ramai akan ingat muka Sunshine antaranya adalah Maybank, TM Net Unifi, Pizza Hut, KFC Hot Box, Appeton, Toyota Fortuner, Nona Tv3, Aura White dan lain-lain,” katanya peluang yang diberi menjadikan beliau berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang modelling dan iklan komersial.

KEBOLEHAN HOS DICUNGKIL ALLAHYARHAM DATUK MAHADZIR LOKMAN

Kongsi Sunshine, pembabitannya dalam bidang pengacaraan adalah kepercayaan daripada figura hebat negara yang tidak asing lagi iaitu pengacara televisyen dan penyampai berita Malaysia, Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman.

“Beliau yang melihat Sunshine ketika menjadi model untuk I-Kartini Tourism Malaysia Fashion Show dan menggalakkan saya untuk mencuba bidang hos.

“Saya sangat mengagumi Datuk Mahadzir Lokman. Daripada situlah, saya belajar bagaimana menjadi seorang pengacara. Pada asalnya saya memang suka bercakap dan banyak berceloteh, kalau bercakap susah nak berhenti.

“Jadi atas usaha dan kepercayaan serta dengan adanya kemahiran public speaking sejak di bangku sekolah, saya dipilih menjadi Main Host dan Mentor untuk Miss Pink Lady Top Model Search 2018/2019 serta Miss Pink Lady Asean 2020/2021. Kemudian hos untuk rancangan Kampung Life, Be Your Best Self, Rasa Asli Tradisi bersama Chef Naem dan juga My Sassy Woman di TV Okey RTM 2,” katanya.

PERJALANAN MISS GLOBAL MALAYSIA 2023

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Begitu juga pencapaian Sunshine. Walaupun pernah dinobatkan menjadi Miss Malaysia Kebaya 2013 atau Ratu Kebaya Malaysia 2013, namun 10 tahun yang berlalu pasti tidak mudah untuk beliau menggapai kemenangan sebagai Miss Global Malaysia 2023.

“Saya pada awalnya tidak mahu mencuba namun diasak oleh ibu dan kenalan. Apa yang saya fikir ketika itu adalah umur yang semakin meningkat. Tidak mudah untuk bersaing dengan finalis yang lebih muda.

“Malah tidak mudah untuk kembali selepas 10 tahun tidak menyertai apa-apa pertandingan untuk merebut title. Namun saya bersyukur, tuah berpihak kepada saya untuk memenangi Miss Global Malaysia 2023 yang dinobatkan pada tahun lalu,” katanya.

Ujar Sunshine, sebut tentang persaingan, pasti kesemua finalis adalah bagus dan mempunyai aura tersendiri.

“Bagi Sunshine, tiada satu pageant yang tidak ada cabaran. Sunshine mengambil masa tiga bulan untuk persiapan daripada segi mental, fizikal, rohani dan jiwa serta kewangan. Semua memerlukan komitmen yang rapi.

“Mahu berjaya dalam hidup pasti perlu banyak berkorban masa dan tenaga. Itu yang Sunshine lakukan. Sebelum ini, pada 2012, saya digelar Miss Wilayah Kebaya sebelum memenangi Miss Malaysia Kebaya 2013,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai persiapan sambutan Tahun Baharu Cina, Sunshine sememangnya tidak terlepas menyambutnya setiap tahun bersama keluarga.

“Biasanya keluarga Sunshine akan menyambut dengan makan malam bersama-sama. Inilah salah satu cara untuk mengeratkan silaturrahim dalam keluarga. Selainnya, Sunshine suka dapat ang pow,” katanya yang menyambut semua perayaan kerana dilahirkan dalam keluarga berbilang bangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN