Sebelum konsert ini dipentaskan pada 24 Disember lalu, penulis berkesempatan hadir menyaksikan sesi ‘buang karat’ mereka di studio jamming milik Jo Branko di Gombak Kuala Lumpur.
Ketika itu saya terfikir adakah konsert yang bakal berlangsung, mampu menarik minat penonton seperti beberapa kumpulan hebat yang pernah beraksi di situ sebelum ini.
Bukan niat membanding atau memperkecilkan keupayaan dan pengaruh Jo Branko dan Muss dalam industri hiburan tanah air. Jujurnya mereka berdua punya true fans, tetapi yang bermain di minda saya adalah keserasian pemuzik undangan yang bakal berkongsi pentas bersama mereka.
Kehadiran Rozaimie (gitar bass), Adi Yamin (keyboard/piano) dan Ainol (drum) adalah percaturan berani dilakukan oleh Jo Branko.
Tidak dinafikan kemampuan dan bakat mereka dalam beberapa siri showcase sebelum ini telah memberi impak yang diharapkan, namun berada di pentas Zepp bersama ribuan penonton yang rata-ratanya adalah ‘penganalisis dan pengkritik seni’, merupakan cabaran besar dan bukan tugas mudah!
Persiapan dan perancangan selama tiga bulan juga bukanlah jangka waktu panjang dan bukan juga satu waktu singkat. Tetapi homework dan eksperimen dilakukan nyata berbaloi.
Segalanya terjawab secara keseluruhan apabila diterjemahkan dalam perjalanan konsert pada malam itu.
Membuka tirai seawal 8.30 malam dengan gimik montaj dan overtue bersulamkan elemen klasik tersirat dilihat cukup bernyawa. Jiwa meronta ingin tahu, apakah kejutan selanjutnya yang ingin disampaikan?
Segalanya terjawab apabila Muss muncul membuka tirai persembahan dengan lima lagu tanpa henti iaitu Penunggu, Mayang Sulit, Julang Timur Tengah, Enigma dan Delailah.
Rasanya tidak perlu saya menilai keupayaan Muss dari segi nyanyiannya. Lontaran vokalnya, masih padu dan bertenaga.
Staminanya tetap ampuh walaupun sedikit terbatas dek usia yang mencecah lebih separuh abad. Tetapi, dia berjaya menguasai segenap ruang seraya membuktikan pentas keras ini adalah miliknya!
Bukan ingin menidak atau menafikan keberadaan anggota lain, tetapi melalui pemerhatian saya, rata-rata penonton, merindui aksi figura bernama Jo Branko di pentas.
LEPASKAN YANG TERPENDAM
Seakan melepaskan sesuatu yang sekian lama terpendam, dia lantas menghamburkan aksi mantap dan memukau.
Tidak sekadar trademark ‘bercumbu’ serta berlenggok bersama gitarnya tetapi dia berupaya membawa penonton mengembara jauh menyelami dasar jiwanya melalui irama yang dialunkan.
Jo Branko dilihat mampu mengisi ruang pentas dengan keaslian sound tersendiri, suatu kehebatan yang jarang dimiliki pemain gitar lain.
Aura dan teknik dimiliki sudah cukup membuktikan kehebatannya selaku pemain gitar terbaik yang ada di Malaysia ketika ini.
Bukan ingin memuji atau menjulangnya tinggi melangit, namun itulah hakikatnya. Segalanya terbukti pada persembahan dipamerkan.
Beraksi solo membawakan karya Samar Nan Terang membuatkan penonton terpaku dan terpukau. Segenap ruang dilihat senyap seakan hanyut bersama melayari irama yang dikongsikan.
Jo Branko membawa penonton terbang jauh, membuai rasa melalui sentuhan jiwanya. Dia seakan mencurah isi hati dan gelodak jiwanya melalui alunan yang diterjemahkan.
Momen tersebut dilihat cukup bernyawa apatah lagi sorotan lampu dipancarkan ke arahnya, sekali gus mengingatkan saya kepada pemain gitar tersohor, Lemmy Kilmister dari kumpulan Motorhead.
Kegusaran saya terhadap tiga figura sebelum ini iaitu, Ainol, Adi Yamin dan Rozaimie akhirnya terjawab. Mereka berjaya membuktikan dan melunaskan tanggungjawab sebaiknya pada malam itu, malah yang membanggakan mereka dilihat langsung tidak gugup dan kekok berhadapan dengan ribuan penonton yang hadir pada malam itu.
AURA BERBISA MAEL
Kemunculan Mael dari kumpulan XPDC seterusnya menggamatkan pentas apabila berduet dengan Muss melalui lagu Nasib Kita. Rocker sejati ini dilihat masih sempoi dan bersahaja seperti dahulu, namun auranya tetap berbisa. Kehadirannya masih dirindui peminat.
Sejarahnya terukir pada malam itu apabila dikhabarkan lagu tersebut didendangkan buat pertama kali bersama rakan duetnya Muss.Mael tetap Mael, tiada pengganti!
Giliran Asheed Def Gab C pula tampil di pentas berduet bersama Muss melalui lagu Singa Dan Harimau. Dengan gaya tersendiri persembahan mereka berjaya memukau penonton.
Walaupun lagu ini jarang diputarkan di corong radio namun bagi mereka yang memiliki rilisan Mr. Barbarik, karya ini bukanlah sesuatu yang asing. Tidak hairanlah penonton boleh menyanyi bersama mereka.
Menjemput Mel sebagai penyanyi undangan terakhir pada malam itu untuk menyampaikan lagu Sapu Tangan dan Semalam Yang Hangat merupakan langkah tepat.
Walaupun pernah berkolaborasi melalui rilisan Orang Asing, namun lagu-lagu dimuatkan dalam album tersebut merupakan antara yang hits sekaligus melonjakkan nama Mel serta penyambung sisa perjuangan Wings ketika itu.
Muncul dengan gaya dan imej tersendiri meletakkan Mel antara penghibur yang layak diberi penghormatan. Namun saya sedikit kecewa kerana lagu hits, Lena Diulit Intan tidak diperdengarkan.
Boleh ditafsirkan konsert Barbarik Pentas Keras adalah medium pengubat rindu buat Jo Branko bertemu peminatnya.
Memetik kata-kata Mael dalam sidang media seusai konsert berharap agar Konsert Barbarik ini perlu diteruskan dengan beberapa lokasi lain selepas ini.
Edisi pertama ini bukan sahaja dianggap berjaya namun sudah boleh dijadikan kayu pengukur untuk mereka bergerak lebih jauh ke hadapan.
“Terima kasih kepada anda yang datang. Membeli tiket, mengisi minyak, bayar tol dan tempat letak kereta semata-mata untuk menyokong kami,” ucap Muss di akhir konsert.
Dan saya adalah salah seorang daripadanya. Namun, wang ringgit bukanlah ukuran. Itu malam yang cukup berbaloi buat kami yang menonton. Malam pengubat rindu bagi menyaksikan sebuah karya yang jujur.










