‘Suami biarkan saya digigit anjing sambil tertawa’ - Utusan Malaysia

‘Suami biarkan saya digigit anjing sambil tertawa’

Tuntutan cerai difailkan Bano tidak mudah seperti yang dijangkakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS beberapa tahun menjadi mangsa penderaan domestik, seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Bano, 32, akhirnya mempunyai kekuatan menuntut cerai daripada suaminya di timur laut Afghanistan.

“Selama empat tahun, suami memukul saya setiap hari dan merogol saya setiap malam. Jika saya menolak, saya akan lebih teruk dipukul.

“Dia juga akan memalukan saya, menghina saya hanya kerana belum mengandung, sedangkan doktor sudah maklumkan suami yang perlu menjalani rawatan kesuburan,” kata Bano dalam suara bergetar menahan tangisan.

Namun, prosedur tuntutan cerai difailkan Bano tidak mudah seperti yang dijangkakan, terutamanya selepas kerajaan Afghanistan dikuasai Taliban pada Ogos tahun lalu, menyaksikan sistem mahkamah seolah-olah tidak lagi berfungsi.

Bano memberitahu, banyak peguam dan hakim ‘tidak dapat uruskan kes tuntutan cerainya’.

“Dengan bantuan Taliban, suami saya paksa saya pulang semula ke rumah dan jika saya enggan, dia ugut mahu bunuh keluarga saya.

“Selagi belum jatuh talak, saya masih isterinya yang sah, namun seksaan dan penderaan yang berlaku sebelum ini akan bersambung semula,” ujarnya.

Selepas Taliban ambil alih, kumpulan itu memansuhkan sistem kehakiman sedia ada, melantik hakim dalam kalangan mereka dan menetapkan undang-undang baharu.

‘BIAR ANJING GIGIT SAYA’
Tidak dapat digambarkan, namun itulah peristiwa paling pahit yang pernah dihadapi Bano apabila suaminya membawa pulang seekor anjing liar, kemudian mengikatnya dan biarkan haiwan itu menggigitnya berulang kali.

Akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan itu, Bano mengalami kecederaan parah di seluruh badan dengan wajahnya koyak, matanya bengkak.

“Tidak cukup dengan itu, pernah suami saya pulang ke rumah dalam keadaan khayal akibat mengambil dadah, dia kemudiannya menampar saya beberapa kali.

“Selepas itu dia pergi ke dapur dan memanaskan sebilah pisau sebelum meletakkan pisau itu pada badan saya. Saya hanya mampu menjerit kesakitan dan suami hanya mentertawakan saya,” jelasnya.

Tidak lama kemudian, Bano memujuk suaminya supaya membenarkan dia ke klinik untuk merawat lukanya dan peluang itu diambil oleh wanita tersebut untuk melarikan diri.

MINTA TOLONG
Bano menceritakan, dia ada berjumpa dengan hakim Taliban dan menunjukkan semua kesan kecederaan dialaminya akibat didera suami, namun mereka menyifatkannya sebagai wanita tidak baik dan suaminya perlu ‘memberikan pengajaran’.

“Apabila saya dan abang memaklumkan kami sudah buat tuntutan cerai, anggota Taliban pukul kami dan menyatakan suami saya mempunyai hak sepenuhnya terhadap saya, walaupun saya mati di tangannya.

“Bila semua ini berlaku, di mana keadilan untuk wanita? Cerai memang tidak disukai Tuhan, tapi jika wanita membiarkan diri mereka disakiti tanpa cuba mempertahankan diri bagaimana pula?,” soalnya.

HAKIM WANITA DIMANSUHKAN
Sebelum pengambilalihan kerajaan oleh Taliban, Afghanistan mempunyai lebih 300 hakim wanita yang berperanan dalam pelbagai kes melibatkan golongan tersebut.

Namun, sejak Taliban berkuasa, ratusan hakim wanita meninggalkan negara ini dengan kira-kira 70 lagi bersembunyi dan tidak dapat kembali bertugas kerana bimbang jika mereka menjadi sasaran Taliban.

Seorang hakim wanita yang dikenali sebagai Mazia berkata, Taliban tidak percaya dengan golongan tersebut, selain menyifatkan mereka tidak mempunyai kefahaman yang jelas dalam undang-undang Islam.

“Tanpa hakim wanita, golongan kami tidak boleh mendapatkan bantuan atau perlindungan yang sewajarnya.

“Untuk membuat tuntutan cerai juga bermasalah, sedangkan seseorang wanita itu mungkin hampir mati di tangan suami mereka akibat didera dan melihat perceraian merupakan satu-satunya langkah penyelesaian yang ada,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×