KECENDERUNGAN segelintir pemuzik muda merakamkan semula karya lama menyerlahkan kreativiti dan idea mereka dalam mengekspresikan minat dengan cara tersendiri.
Bagi penyanyi dan komposer Indonesia, Melly Goeslaw, dia melihat perkara itu sebagai satu bentuk eksperimen yang menghidupkan semula karya lama untuk terus bernafas dan mendapat tempat di hati generasi muda.
“Setiap orang mempunyai pendapat tersendiri mengenai perkara ini. Mungkin ada komposer yang tidak suka karya mereka dirakamkan semula. Tetapi, secara peribadi saya tiada masalah apabila ada pengkarya muda ingin merakamkan semula lagu saya.
“Bagi saya, ia eksperimen yang menarik, terutama apabila melihat mereka menzahirkan idea dengan cara tersendiri. Kreativiti mereka sudah terbukti, malah lagu lama saya turut tular semula di media sosial seperti TikTok,” katanya.
Penyanyi yang mendapat julukan ratu runut bunyi itu berkata, dari satu sudut, ia sebenarnya mendatangkan keuntungan buat komposer, terutama apabila karya yang dirakamkan semula itu mendapat sambutan hebat.
“Ia membuka rezeki komposer, terutama apabila rakaman semula mengumpul jumlah pendengar atau tontonan lebih ramai berbanding lagu asal. Di YouTube misalnya, ia menjadi saluran terbaik untuk kita bersama-sama hasilkan muzik.
“Dalam hal ini, saya juga dapat meraih hasilnya. Jadi, kita tidak perlu khuatir kerana sama-sama dapat berbahagi hasil,” katanya.
Penampilan baharu
Sementara itu, ditanya mengenai perubahan fizikalnya yang lebih segar dan bertenaga, Melly berkata, dia selesa dengan penampilan baharunya setelah menjalani pembedahan bariatrik, September lalu.
Kongsi penyanyi berusia 48 tahun itu, dia tergerak untuk menjalani rawatan tersebut selepas berdepan kenaikan berat badan mendadak hingga terpaksa bertemu pakar diet bagi membantunya menangani masalah.
“Apabila usia semakin bertambah, lebih susah untuk turunkan berat badan. Berat saya pernah mencecah hampir 100 kilogram. Bila berat badan naik, saya mula alami sakit lutut, lantas doktor mencadangkan saya menjalani pembedahan bariatrik.
“Saya sudah penat ambil ubat diet. Jadi, saya putuskan untuk melakukan pembedahan itu. Alhamdulillah, saya rasa lebih sihat, malah rutin tidur semakin baik. Begitu juga pengambilan makanan saya, sekarang lebih terkawal sebab cepat kenyang,” katanya.
Melly bagaimanapun, menolak jika ada pihak berpendapat, dia hanya yakin untuk tampil dalam konsert Ada Apa Dengan Melly? (AADM) di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 3 Februari depan selepas mendapat berat badan ideal.
“Tidak ada istilah itu. Ketika berisi dulu, saya ada tampil dengan konsert di Jakarta. Saya anggap semua ini sebagai rezeki dan tawaran juga datang pada masa yang tepat.
“Sudah lama saya berhasrat untuk beraksi di sini dan cuma, baru kini impian menjayakan konsert di Kuala Lumpur tercapai,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai konsert tersebut, Melly mengakui, sudah tidak sabar menemui peminat yang menyokong kembara muziknya sepanjang 30 tahun mencipta nama.
Melly berkata, konsert itu akan membawa penonton mengimbau kenangan ketika di bangku sekolah menerusi himpunan lagu popular nyanyian dan ciptaannya.Lebih istimewa, konsert itu membawakan tema pakaian sekolah.
“Semoga kehadiran saya kali ini memberi warna baharu kepada industri muzik Malaysia. Sebagai manusia, saya sudah mencapai apa yang saya inginkan seperti menjadi isteri, ibu, penyanyi dan komposer.
“Namun, saya juga mahu perjalanan kerjaya saya nanti akan dikenang, terutama apabila saya sudah tiada,” katanya yang ditemani suami, Anto Hoed.
Jualan tiket bermula dari harga RM288 hingga RM1,588 dan boleh ditempah menerusi: www.ticket2u.com.my.










