Pusat koleksi germplasma sawit bangunkan tanaman elit - Utusan Malaysia

Pusat koleksi germplasma sawit bangunkan tanaman elit

Koleksi germplasma turut menjadi sumber bagi penghasilan klon sawit yang unggul. AHMAD PARVEEZ GHULAM KADIR. (Gambar kanan atas).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Koleksi germplasma sawit mempunyai peranan penting dalam penambahbaikan tanaman komoditi itu pada masa hadapan.

Malaysia kini memiliki pusat koleksi germplasma sawit terbesar di dunia bagi tujuan konservasi melalui Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) di bawah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pusat koleksi berkenaan akan memfokuskan kepada pemuliharaan dan penyelidikan berasaskan biakbaka dan bioteknologi sawit.

Usaha berkenaan dapat dilaksanakan memandangkan bank gen asid deoksiribonukleik (DNA) ABBC mempunyai koleksi germplasma yang membolehkan penambahbaikan tanaman dengan penemuan gen yang mengawal sifat agronomi penting sawit.

Elemen itu juga, katanya, seterusnya dapat membawa kepada kejayaan besar dalam dapatan penyelidikan dan peningkatan nilai komersial.

“Koleksi germplasma sawit tersebut telah menjadi sumber utama dalam penyelidikan MPOB untuk menghasilkan bahan tanaman elit melalui sama ada biakbaka atau kultur tisu.

“Kejayaan besar penyelidikan MPOB dalam bioteknologi bagi koleksi germplasma sawit yang terbesar di dunia, merupakan penyumbang penting kepada pembangunan bahan tanaman generasi baharu,” katanya.

Untuk rekod, penilaian berterusan selama 50 tahun terhadap koleksi germplasma tersebut telah menghasilkan 14 bahan tanaman PS (PS1 hingga PS14) dengan ciri agronomi yang unik dan unggul.

Bahan tanaman itu kemudiannya telah digunakan dengan meluas dalam menghasilkan anak pokok sawit yang lebih berkualiti berbanding tanaman semasa.

Tingkat produktiviti
Tambah Ahmad Parveez, baka PS1.1 merupakan contoh bahan tanaman berpotensi yang telah dihasilkan daripada koleksi germplasma.

Baka berkenaan berupaya memberikan penghasilan yang tinggi dan bersaiz renak serta mampu meningkatkan tempoh produktiviti sawit.

Baka itu juga berketinggian 25 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding tanaman komersial sedia ada namun mampu menghasilkan kadar perahan minyak sekitar 27 peratus dengan dengan potensi hasil minyak sekitar lapan tan bagi setiap hektar setiap tahun.

Hasil yang diperoleh itu juga menunjukkan ia memberikan pulangan hasil yang lebih tinggi berbanding benih sedia ada.

Klon buah sawit
Selain itu, koleksi germplasma itu turut menjadi sumber bagi penghasilan klon sawit yang unggul seperti CPS3 dengan kadar perahan minyak dan potensi hasil minyak yang setaraf dengan baka komersial sedia ada.

“Koleksi itu juga menjadi pendorong kejayaan MPOB dalam membangunkan teknologi molekular berasaskan DNA, yang akan membolehkan MPOB dan industri sawit terus mengguna pakai germplasma secara efektif.

“Ini akan membantu industri dalam meningkatkan produktiviti dan memenuhi aspirasi negara kearah sektor perladangan yang mampan,” katanya.

Pembangunan pusat koleksi bagi tujuan inovasi itu juga telah melayakkan ABBC sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir 2022.

Anugerah yang dimenangi adalah dalam kategori Sumber Asli Tropika sebagai pengiktirafan terhadap program penyelidikan pandang ke hadapan dalam menggunakan germplasma sawit.

Ia telah menjadi sumber penting dalam memacu nilai sosio ekonomi industri sawit di peringkat nasional dan global.

Ahmad Parveez juga optimis, pengumpulan germplasma sawit ini akan memperjuangkan kemampanan daripada segi pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar.

“Jika koleksi ini adalah sebuah buku, pasti terdapat ratusan bab yang kebanyakannya adalah permata yang belum ditemui.

“Kami tidak sabar untuk memajukan lagi penyelidikan kami dengan anugerah ini bagi meneruskan impaknya terhadap tropika dan dunia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×