PERKATAAN ‘reformasi’ cukup sinonim dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi identiti perjuangannya sejak 1998. Jadi, tidak hairanlah laungan reformasi kembali bergema apabila beliau dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu. Sebagai permulaan, agenda reformasi dilihat berpaksikan kepada proses islah atau pembaharuan khususnya dalam aspek menangani soal ketirisan wang negara dengan memfokuskan usaha memantapkan tadbir urus pentadbiran kerajaan.
Justeru, penegasan Anwar supaya tata kelola pentadbiran kerajaan baharu tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender wajar disambut baik oleh semua pihak. Hakikatnya, proses reformasi dalam tadbir urus perolehan kerajaan membolehkan ia dilaksanakan dengan lebih telus dan berpaksikan nilai integriti yang tinggi.
Untuk rekod, isu ketirisan kewangan adalah masalah global yang menjejaskan semua negara. Statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan jumlah ketirisan dalam perolehan akibat rasuah di seluruh dunia mencecah kira-kira RM9 trilion setiap tahun. Jadi, ini adalah satu masalah yang cukup serius dan itulah sebabnya Perdana Menteri dilihat memberi penekanan khusus kepada isu ini sejurus dilantik sebagai ketua kerajaan.
Walaupun proses perolehan secara rundingan terus dibenarkan dalam tatacara kewangan negara, namun mempunyai banyak kelemahan yang ketara kerana amalan secara semberono dan tanpa kawalan boleh membuka ruang untuk pelbagai salah laku, penyelewengan, rasuah dan kronisme. Ironinya, segala tatacara dan urusan perolehan kerajaan telah pun termaktub dengan jelas dalam Arahan Perbendaharaan. Ia mengandungi arahan-arahan mengenai pengurusan belanjawan, hasil, perbelanjaan, perolehan dan aset awam.
Ironinya, Anwar adalah antara figura politik yang sentiasa konsisten apabila membincangkan soal mencegah dan menangani rasuah serta penyelewengan. Jadi, bila diangkat sebagai Perdana Menteri, ramai meletakkan harapan besar agar akan ada sinar baharu untuk inisiatif menangani salah laku moral ini sekali gus menyelamatkan kewangan negara.
Pendirian dan amanat Perdana Menteri juga sewajarnya melegakan penjawat awam yang selama ini sering kali tersepit dan menjadi mangsa keadaan apabila terpaksa berhadapan pelbagai kacau ganggu dan campur tangan politik sehingga mencabar nilai integriti mereka. Akhirnya, situasi tersebut boleh meletakkan diri mereka dalam tahap risiko yang tinggi kerana boleh dicaj dan dikenakan tindakan tatatertib.
Justeru, penjawat awam perlu mengambil peluang ini untuk melakukan reformasi dan terus menzahirkan tadbir urus dan tata kelola yang baik dan betul supaya dapat memperbaiki kelemahan yang ada demi mengawal sebarang bentuk kebocoran mahupun ketirisan sehingga merugikan rakyat dan negara. Secara prinsipnya, inilah masa untuk kita betulkan yang biasa dan biasakan yang betul supaya dapat memperkasa dan memulihkan imej perkhidmatan awam di mata masyarakat.
TAKUT
Dalam hal ini, penjawat awam juga perlu berani menegakkan kebenaran, berpegang teguh kepada prinsip integriti dan menjunjung amanah yang diletakkan di bahu masing-masing dengan menegur dan memberi nasihat kepada mana-mana ahli politik yang tidak mematuhi prosedur kewangan dan pentadbiran yang berkuat kuasa. Berpegang kepada amanat Perdana Menteri, jangan sesekali kita takut apatah lagi bersekongkol dengan individu yang cuba merosakkan sistem pentadbiran negara.
Selain itu, kita juga berharap anggota Kabinet kerajaan baharu dapat menghayati nasihat dan hasrat murni Perdana Menteri ini kerana proses kelulusan banyak terlibat di peringkat kementerian masing-masing dengan kerjasama dan kelulusan Kementerian Kewangan. Tuntasnya, para menteri yang diberikan kuasa perlu sentiasa patuh kepada arahan ini dan menterjemahkannya dalam proses kerja di kementerian. Ingat, segala tindak tanduk anggota pentadbiran akan memberi kesan langsung terhadap imej Perdana Menteri dan juga kerajaan secara keseluruhannya. Justeru, barisan Kabinet perlu menghormati proses kerjasama dengan penjawat awam sebagai tonggak dalam mencipta kejayaan negara dengan melakukan perubahan yang sewajarnya bagi memperkasa sistem peraturan dan tadbir urus yang cekap.
Hal ini penting untuk diberi perhatian kerana pengalaman sebelum ini menunjukkan banyak sangat ketidakpatuhan terhadap prosedur dan tatacara perolehan berlaku akibat campur tangan politik sehingga penjawat awam yang terpaksa menanggung kesannya sekali gus menjadi mangsa keadaan.
Senario seperti ini terbukti benar apabila Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah dan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dolah mendedahkan, campur tangan politik berlaku sehingga mahu pegawai tertentu membuat sesuatu perkara tidak mengikut lunas perundangan dan mereka berpotensi ditukarkan atau ditamatkan kontrak, jika enggan berbuat demikian. Kejadian seperti ini sewajarnya menjadi peringatan dan diambil iktibar oleh kerajaan perpaduan.
Hakikatnya, selama ini sudah ramai pemimpin politik yang menyuarakan hasrat sama iaitu mahu memperkasakan tadbir urus dan tata kelola terutamanya dalam soal perolehan kerajaan. Namun, persoalan utama ialah sejauh mana laungan dan janji tersebut dapat dilaksanakan ketika memerintah? Ini akan menjadi cabaran yang terbesar kepada kepimpinan Perdana Menteri baharu.
Tuntasnya, kita sokong dan menyambut baik pendirian Perdana Menteri ini dan semoga ia dapat disusuli dengan proses reformasi dan islah yang telus berpaksikan keazaman dan iltizam politik yang tinggi daripada seluruh anggota Kabinet dengan kerjasama penjawat awam agar dapat memperkasakan tadbir urus dan tata kelola pentadbiran kerajaan baharu.-UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.











