Pernah dengar tentang nasi lemuni atau legundi yang berwarna kelabu? Sajian tradisi yang mirip nasi lemak ini cukup sinonim dalam kalangan masyarakat di utara tanah air.
Namun, perubahan zaman menyebabkan nasi leguni makin dilupakan dan kurang dikenali ramai berbanding nasi kerabu, nasi dagang, nasi ambeng mahupun nasi minyak.
Selain aroma dan rasanya yang unik, menu ini turut mempunyai khasiat tersendiri terutama kepada wanita yang berpantang selepas melahirkan anak.
Cara penyediaannya sama seperti nasi lemak cuma ditambah dengan pucuk daun lemuni. Selamat mencuba. Terima kasih, Pensyarah UiTM Cawangan Terengganu, Arma Mohd. Faizal Abu Bakar.
Bahan-bahan
2 cawan beras (cuci dan toskan)
2 cawan santan pekat
2-3 genggam pucuk daun lamuni (dikisar dan tapis, ambil airnya sahaja)
4.5 sentimeter (cm) halia muda (dihiris)
1 sudu teh lada hitam
2 1/2 biji bawang besar (dikisar)
Garam secukup rasa
Cara penyediaan
Masukkan kesemua bahan dan beras ke dalam periuk nasi.
Tutup periuk dan biarkan hingga masak.
Setelah siap, hidangkan bersama sambal ikan bilis atau udang, sotong atau ayam goreng di samping telur rebus, hirisan timun, kacang goreng dan ikan bilis goreng.
Menarik tentang nasi lemuni
Disarankan ambil air (daun pucuk lemuni) yang pekat bagi mendapatkan hasil warna cantik dan lebih berkhasiat.
Penggunaan bahan ramuan seperti lada hitam dan halia berfungsi menyingkirkan angin dalam badan.









