KUALA LUMPUR : Menjadi anak seni bukan tiket untuk menjadi kaya memandangkan industri seni hiburan tempatan tidak sama dengan gambaran yang ditonjolkan di dunia perfileman Hollywood.
Itu lontaran pandangan pelakon, Zalif Sidek, 37. Beliau mengakui tidak pernah berharap menjadi kaya dengan hanya berlakon, lantaran daripada segi bayaran diterima pun, sangat jauh berbeza daripada imbuhan diterima artis di negara barat.
“Sejak menceburi bidang seni ini pun, saya sudah tahu, tak akan jadi kaya hanya dengan berlakon. Ini realiti yang semua artis di negara ini hadapi, kita bukan di Hollywood. Saya memang semata-mata menjual bakat, bukannya kejar untuk menjadi kaya.
“Gaji atau bayaran tinggi, akan datang bila bakat kita berkembang dan ada permintaan. Masa saya mula-mula bernaung di bawah MIG dulu pun, bayaran saya terima memang sedikit.
“Produksi bayar murah. Kalau tidak percaya, boleh tanya mereka sendiri. Tetapi, MIG sangat membantu dalam mengangkat artis macam saya, menjadi bintang untuk kekal berada dalam industri. Itu yang membuatkan saya masih ada di sini hingga ke hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Zalif, disebabkan itu, dia juga sedar untuk tidak bertumpu pada satu cabang kerjaya sahaja dan mengambil contoh kebanyakan artis dan selebriti lain dengan meneroka bidang perniagaan.
“Memang kena usaha cara lain sebab dalam industri ini, susah kalau cuma tumpu pada bidang berlakon atau menyanyi saja. Sebab itulah ramai artis yang berniaga dan kebanyakannya dilihat menaik taraf kehidupan sendiri dengan cara ini.
“Sebab, dalam industri ini pun, artis masing-masing ada gred tersendiri dan dibayar mengikut harga yang berbeza. Kalau kebetulan tengah ‘In’ dan popular, memang bayarannya tinggi. Lagi pula, anak seni tiada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), jadi kena pandai simpan duit.
“Satu cara adalah dengan teroka bidang perniagaan. Itu sebab saya pun buat kerja-kerja lain dan melibatkan bisnes pengurusan acara dan sebagainya. Semua itu untuk tampung kehidupan dan kewangan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Papa I Love You dan Ajiboy ini juga bakal menimang cahaya mata pertamanya tidak lama lagi dan kerana itu, dia mahu memastikan mampu berusaha keras untuk menjamin masa depan keluarga.
Berkongsi mengenai fasa baharu bakal bergelar bapa, Zalif, mengakui gemuruh untuk melalui sebuah pengalaman baharu menimang cahaya mata.
“Tanggungjawab pun jadi makin besar, tentu sekali rasa gemuruh. Sebenarnya, sejak isteri mengandung, saya pun dah tak balik rumah lewat sebab bimbang akan keadaan dia. Kalau dulu, nak balik lambat pun tak apa lagi.
“Tapi memandangkan isteri pun sedang sarat hamil dan dalam masa yang sama, ibu saya pun tinggal bersama, tak berani dah nak balik lewat sangat. Saya kena jaga mereka betul-betul.
“Insya-Allah, saya cuba jadi seorang bapa yang terbaik. Saya harap semua orang dapat doakan saya dan keluarga ya,” katanya.
Zalif mendirikan rumah tangga dengan, Anis Marzuki, 29, 26 Februari lalu.











