KUALA LUMPUR : Selepas terpalit dengan tuduhan mati dibunuh anak sendiri, pelakon veteran Bollywood, Veena Kapoor, tampil membuat pengakuan bahawa dia masih hidup sekali gus menepis dakwaan palsu tersebut.
Dalam satu temu bual bersama media antarabangsa, Veena mengaku telah membuat laporan di Balai Polis Dindoshi, Mumbai, India, baru-baru ini bagi menafikan perkara itu.
“Apa yang diberitakan itu tidak benar. Sebenarnya, terdapat seorang wanita yang bernama Veena Kapoor telah dibunuh dalam kejadian yang berlaku tetapi individu itu bulan saya meskipun nama kami serupa.
“Saya menetap di Goreagaon, bukan Juhu. Saya juga menetap bersama anak lelaki saya. Jadi mungkin orang ramai fikir sayalah Veena Kapoor yang dimaksudkan,” katanya.
Selain itu, akui Veena, sejak terpalit dengan dakwaan palsu itu, dia mengalami gangguan emosi kerana menerima banyak panggilan telefon.
Kata pelakon itu, anak lelakinya juga menerima banyak kecaman daripada netizen di media sosial.
“Kalau kami tak buat laporan sekarang, nanti perkara yang sama akan terus-menerus berlaku menimpa orang lain.
“Kami tertekan apabila kerap menerima panggilan telefon siang dan malam termasuk ketika sedang sibuk bekerja atau berada di set penggambaran. Hingga saya sendiri pun tak fokus untuk bekerja,” katanya.
Terdahulu, sekitar awal minggu lalu, berita mengenai kematian Veena bertebaran di media sosial dan menggemparkan industri seni Bollywood.
Kononnya, ‘Veena’ telah dibunuh oleh anak lelakinya yang memukul kepalanya dengan sebatang kayu besbol gara-gara perebutan harta.
Kes ini telah disiasat di bawah seksyen 500 Akta Penalti India atas tuduhan palsu.










