Bersantai menjamu selera di Tali Kafe - Utusan Malaysia

Bersantai menjamu selera di Tali Kafe

Azirawaty bersama sebahagian daripada menu tersedia di Tali Kafe.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS sememangnya dikenali antara lokasi yang sering dianggap sebagai ‘syurga’ makanan buat mereka yang biasa berkunjung ke kawasan Seberang Perai Utara (SPU) di Pulau Pinang ini.

Justeru, tidak hairanlah pelbagai warung, kafe, kedai makan dan restoran ‘tumbuh bak cendawan’ di sana dengan menawarkan pelbagai menu yang boleh membangkitkan selera orang ramai.

Salah satu lokasi yang menjadi perhatian dan menggamit kehadiran pengunjung ialah Tali Kafe yang terletak di Jalan Bandar Putra Bertam.

Pemiliknya, Azirawaty Mohd. Noor, 48, berkata, meskipun restoran tersebut baru sahaja memulakan operasi beberapa bulan yang lalu, sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

Katanya, Tali Kafe berkonsepkan restoran santai yang menggabungkan menu tradisional dan moden menepati citarasa semua golongan.

“Antara menu pilihan pengunjung ialah Nasi Lemak Kangkung Sambal Sotong dan Sotong Kangkung Sejiwa yang dijual pada harga berpatutan.

“Saya memilih kangkung kerana ramai yang suka sayur ini,” katanya.

Dia yang pernah mengusahakan spa kecantikan sebelum ini memberitahu, selain dua menu itu, Tali Kafe turut menawarkan beberapa menu lain termasuk Rojak Tonggek Royal, Laksa Thai dan Laksa Idaman.

Turut tidak ketinggalan katanya ialah dua lagi menu menarik iaitu Set Bawal Goreng Merindu dan Set Ayam Goreng Beradu yang kesemuanya dijual pada harga yang berpatutan.

“Semua menu ini termasuk sambal atau kuah saya buat sendiri dengan resipi atau ramuan tersendiri kecuali laksa yang dibuat oleh ibu saya,” ujar ibu kepada dua orang anak itu.

Katanya, ketika ini, Tali Kafe dibuka setiap hari, kecuali Ahad, antara pukul 10 pagi hingga 10 malam.

“Kebiasaannya, ramai pelanggan datang ketika waktu tengah hari terutamanya golongan muda.

“Namun, ada juga pelanggan yang memilih untuk datang pada sebelah petang atau malam bergantung kepada kelapangan mereka,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan makanan lain seperti durian crepe dan sebagainya.

Jelas Azirawaty, buat masa ini juga, dia hanya ingin memberi tumpuan terhadap menu sedia ada di restoran berkenaan kerana permintaan yang tinggi hampir setiap hari ini.

“Kalau ada penambahan pun selepas ini mungkin saya akan tambah menu udang atau ikan untuk nasi lemak dan sebagainya bergantung kepada permintaan semasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×