Siapa sangka, pada mulanya bayi hanya mengalami masalah batuk dan selesema rupa-rupanya dijangkiti virus respiratory syncytial (RSV). RSV adalah virus yang menyebabkan jangkitan paru-paru dan saluran pernafasan.
Ia sering kali berlaku kepada kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Jangkitan RSV ini turut berisiko menjangkiti individu dewasa.
Menurut Pakar Kanak-kanak Pediatrik, Hospital Pakar KPJ Kluang, Dr. Tan Peng Ji, RSV adalah sejenis virus yang menyebabkan penyakit berkaitan dengan sistem pernafasan.
Biarpun penyakit ini sering ditemui dalam kalangan kanak-kanak, ia juga boleh menyerang semua lapisan umur, dari bayi hingga ke warga emas.
“Bayi dan warga emas tergolong dalam kategori berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan yang teruk dan mungkin boleh membawa maut,” katanya kepada Seri.
Tambah Dr. Peng Ji, RSV boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru dan salur pernafasan. Tanda-tanda jangkitan paru-paru atau saluran pernafasan adalah seperti demam, batuk, selesema dan pernafasan laju.
Situasi ini boleh mendatangkan komplikasi merbahaya kepada beberapa golongan berisiko tinggi terutamanya mereka yang menghidapi penyakit paru-paru yang kronik.
Contoh kanak-kanak yang berisiko tinggi adalah kanak-kanak yang dilahirkan pra-matang (tak cukup bulan), bayi yang mengalami kecederaan barotrauma, memerlukan bantuan pernafasan melalui ventilator atau memerlukan bantuan oksigen melebihi 28 hari.
“Bayi-bayi yang mengalami masalah jantung kongenital juga menghadapi risiko komplikasi akibat jangkitan RSV. Jangkitan RSV sendiri boleh menyebabkan kerosakan pada paru-paru dan seterusnya menyebabkan bronchiolitis obliterans di mana pesakit memerlukan bantuan oxygen secara beterusan,” jelasnya.
Tambah beliau, tiada ubat atau vaksin yang spesifik untuk merawat penyakit berkaitan pernafasan ini.
Sebaliknya, rawatan adalah lebih kepada meringankan tanda-tanda jangkitan seperti ubat untuk demam, batuk dan cairkan kahak.
Bantuan oksigen pula hanya akan diberi kepada pesakit yang berdepan kesukaran bernafas secara normal.
“Antara kaedah untuk mengelakkan jangkitan RSV ialah dengan memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan, mengelakkan diri dari berada di tempat yang ramai orang sekiranya tidak sihat.
“Mengamalkan etika batuk yang betul turut membantu mencegah penularan virus di dalam komuniti,” ujarnya.










