Suria Selasih perjuang pendidikan Orang Asli - Utusan Malaysia

Suria Selasih perjuang pendidikan Orang Asli

Suria menumpukan waktu dengan kerja tambahan seperti mengajurkan program pendidikan untuk pelajar Orang Asli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dr. Suria Selasih Angit cukup memahami keperitan bergelar anak orang Asli menempatkan diri dalam pendidikan lebih tinggi.

Beliau sendiri pernah melalui keperitan itu di mana dibuli dan dipandang rendah oleh rakan sebaya di asrama semata-mata kerana dilahirkan sebagai anak Temiar. Kalau boleh beliau tidak mahu anak-anak orang Asli lain mengalami nasib sama, sebaliknya dilayan sama rata rakan sebaya dan masyarakat.

Justeru, pensyarah di Universiti Nottingham Malaysia, ini banyak terbabit dalam program pendidikan yang bertujuan untuk merapatkan jurang antara pelajar dan graduan Orang Asli serta masyarakat.

Selain aktiviti bersama pelajar Orang Asli, beliau juga aktif menganjurkan bengkel yang bertujuan menangani prejudis dan bias ke atas Orang Asli.

Ia dijalankan dengan kerjasama rakan-rakan Orang Asli yang lain, agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam program untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan Orang Asli.

Kerjasama juga diadakan bagi program kepimpinan muda Orang Asli, program kerjaya yang berbentuk tenikal dan vokasional bersama pelajar Orang Asli.

“Kerja sukarela ini, amanah kepada saya sebagai Orang Asli. Saya faham keperitan menghadapi stigma masyarakat sewaktu di zaman persekolahan yang memandang rendah akan anak-anak Orang Asli.

“Saya juga tahu ramai rakan-rakan dan anak-anak Orang Asli mengalami pengalaman lebih perit berbanding pengalaman saya. Jadi, saya cuba sebaik mungkin menyumbang kepakaran bagi membantu mereka mendapatkan peluang pendidikan dan kerjaya sebaik mungkin,” katanya kepada Seri.

Seindah namanya, Suria tampak ayu dalam persalinan gaun merah jambu dan selendang berlingkar di bahunya.

Wanita berdarah Temiar ini dilihat cukup berbangga mengangkat budaya etniknya dengan memperagakan hiasan kepala atau dipanggil tempok dan gelang tradisional dalam kebanyakan majlis rasmi yang dihadirinya terutama yang berkaitan budaya.

“Tempok ini diperbuat sama ada dari daun salak, daun bertama atau daun mengkuang,” katanya ketika ditanya mengenai seni hiasan kepala itu.
Azam mengembalikan kraftangan warisan nenek moyang tercetus ketika beliau menghadiri program kepimpinan Asia Pacifik di East-West Center, Hawaii baru-baru ini di mana peserta diajar cara-cara untuk mengembalikan tradisi dan menggalakan generasi muda belajar ilmu tradisi.

“Saya terpanggil untuk menerapkan pendekatan ini ke dalam kerja-kerja sukarela saya yang akan datang kerana ramai generasi baru termasuklah saya sendiri yang tidak arif tentang ilmu tradisi Orang Asli. Memang ini satu kerugian besar,” katanya.

Pengalaman negatif kekang persaingan
Pengalaman negatif dialami di sekolah memberikan gambaran alam pendidikan sebagai persekitaran tidak selamat bagi anak-anak orang Asli.
Pengalaman itu jugalah menghakis keyakinan diri ramai wanita Orang Asli bersaing dalam pendidikan, seterusnya mendapat pekerjaan lebih baik walapun mereka berkebolehan.

“Ramai pelajar terutama gadis mempunyai pengalaman negatif sewaktu zaman persekolahan dan ketika bercampur dengan masyarakat yang tidak memahami atau menghormati gaya hidup masyarakat kami.Malangnya, bila kita bangkitkan masalah ini, ramai menyarankan supaya kami kuatkan semangat.

“Pada pandangan saya, tidak adil untuk hanya menyuruh wanita Orang Asli berubah atau menjadi lebih tabah sedangkan masyarakat harus memahami dan bersikap terbuka terhadap gaya hidup masyarakat Orang Asli. Adalah lebih baik dan produktif sekiranya kedua-dua pihak mempertingkatkan kerjasama untuk merapatkan jurang dan seterusnya lebih mengenali serta memahami budaya masing-masing,” katanya.

Bagi mewujudkan sistem pendidikan yang lebih inklusif, beliau menyarankan semua pihak lebih terbuka dan jujur dalam membincangkan faktor penghalang sebenar terutama kemampuan ekonomi, salah tanggapan dan prejudis, masalah buli mental dan emosi di sekolah tanpa cuba mengubah identiti mereka.

Beliau lega kerana kerana kini sudah ada usaha positif untuk menerapkan sedikit sebanyak elemen kebudayaan Orang Asli di dalam pembelajaran.

no-phone policy
Sibuk mengisi masa dengan pelbagai aktiviti sukarela, Suria tidak lupa tanggungjawab menguruskan anak dan pada masa sama menyempurnakan tugasan sebagai pensyarah.

Gelaran ibu tunggal, sedikit sebanyak menambahkan lagi cabaran yang dihadapinya.

“Kerjaya utama saya di universiti sekarang memerlukan saya menumpukan perhatian kepada projek-projek pendidikan di luar negara dan tidak melibatkan bidang pendidikan anak Orang Asli secara lansung. Oleh itu, saya perlu bijak mencari masa dan peluang untuk mengelakkan rasa tertekan.

“Saya bernasib baik kerana mendapat sokongan rakan-rakan yang lebih berpengalaman di universiti dan juga dalam kerja-kerja sukarela saya. Stigma masyarakat juga adakalanya menambahkan lagi cabaran sebagai seorang ibu tunggal. Namun, bekas suami saya sangat memahami keperluan kerjaya saya dan selalu bertolak ansur termasuklah ketika saya belajar dan membawa anak ke luar negara. Jodoh kami tidak panjang, tetapi kami masih mengekalkan hubungan yang sangat baik demi anak,” katanya.

Beliau yang mengagumi ikon wanita Orang Asli seperti Tijah Yok Chopil dan Jenita Engi berkata, sentiasa bersikap terbuka dengan anak tunggalnya itu.
Sesibuk manapun, Suria akan memastikan meluangkan masa berkualiti dengan anak setiap malam selepas waktu kerja dengan mengamalkan no-phone policy.
“Biasanya anak akan berada dengan saya pada hari persekolahan dan menghabiskan masa bersama bapanya pada hujung minggu.

Jadi pada hujung minggu, saya boleh buat kerja-kerja tambahan seperti program pendidikan untuk pelajar Orang Asli.

Sumbangannya dalam memperjuangkan pendidikan anak Orang Asli mendapat perhatian daripada Kelab Rotary Ara Damansara (RACD) yang menyampaikan Anugerah Rotary Paul Harris kepada beliau, baru-baru ini.

Turut menerima anugerah berkenaan, Hannah Yeoh atas sumbangan luar biasa kepada masyarakat dan mantan Presiden Organisasi Pertolongan Wanita (WAO), Meera Samanther yang memperjuangkan nasib wanita khususnya dalam keganasan rumahtangga dan hak asasi manusia. 

Mengenai perancangan masa depan, Suria bercadang untuk lebih aktif bekerjasama dengan pelbagai individu dan agensi, seterusnya menyumbang kepada pembentukan polisi pendidikan yang lebih inklusif dan adil kepada pelajar Orang Asli.

“Berdasarkan perkembangan semasa di mana sudah banyak pihak kini lebih bersedia dan terbuka untuk berkerjasama secara jujur dan ikhlas, saya juga positif yang masa hadapan anak-anak Orang Asli akan lebih cerah dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN