PERNAH dilabel ‘kayu’ ketika mula-mula berjinak dalam industri lakonan, Sharifah Rose, tidak mudah patah semangat sebaliknya cuba membuktikan gelaran yang membawa maksud tumpul mampu diasah menjadi ‘tajam’.
Masakan tidak ketika baru berusia 23 tahun, dia sudah menerima tawaran sebagai heroin bergandingan dengan pelakon, Redza Rosli menerusi drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard ditayangkan di TV3.
Semasa teaser drama tersebut baru disiarkan, bertubi-tubi kecaman dan sindiran diterima sehingga melabelkan dirinya tidak layak berada di dalam industri seni.
“Masa itu penonton cap ‘kayu’ sebab belum selesa hendak bawa watak heroin lagi. Namun, saya cuba buktikan bakat boleh diasah dan digilap.
“Alhamdulillah drama itu dapat rating tontonan tinggi di platform Disney+ Hotstar. Ia merupakan satu kepuasan buat diri saya sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pemilik nama lengkap Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd. Mazfira berkata, dia sedar bukan semua orang dikurniakan bakat semula jadi dalam bidang seni.
Namun, sebagai pelakon baharu, penonton perlu memberikan dirinya peluang kerana lakonan juga adalah satu proses pembelajaran.
“Berlakon adalah proses pembelajaran tanpa henti dan setiap kali mendapat tawaran saya akan pastikan dapat melakukan lebih baik daripada sebelum ini.
“Sekarang, saya rasa lakonan lebih bertambah baik berbanding semasa mula-mula menceburi bidang seni dahulu,” katanya.
DAPAT TUNJUK AJAR
Beliau bersyukur dikelilingi rakan artis dan kru produksi yang banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar dalam lakonan.
“Masa berlakon Kekasih Hati Mr. Bodyguard, Redza banyak bantu saya dan cuba melembutkan ‘kayu’ yang keras pada diri Rose. Malah, Datuk Jalaluddin Hassan dan Aznah Hamid juga pernah bimbing saya berlakon,” katanya.
Ditanya lakonan masih menjadi kerjaya pilihan atau sudah berbelah-bahagi dengan bidang itu, Sharifah memberitahu pada mulanya dia tidak pernah terfikir masuk dalam industri.
Bahkan, katanya, masa mula-mula menceburi bidang seni dia mendapat panggilan menghadiri sesi ujibakat sehingga tidak menyangka terpilih sebagai pelakon.
Namun, dia bersyukur dari benda yang tidak pernah disangka akhirnya banyak membantu kehidupan sehariannya.
“Lakonan ini banyak membantu saya, sebelum ini saya pemalu dan susah hendak bercakap dengan orang lain.
“Kini ia meningkatkan tahap keyakinan dalam kehidupan seharian. Kalau ada rezeki saya akan terus berlakon,” katanya.
Sedar kekurangan ilmu dalam lakonan, Sharifah berusaha menuntut ilmu dengan menyertai kelas lakonan sebagai panduan dalam kerjaya.
“Sekarang saya fokus dengan perniagaan terlebih dahulu. Kalau ada masuk set penggambaran baharu, saya akan sambung semula kelas lakonan,” katanya.
Walaupun masih terlalu awal untuk meletakkan sebarang sasaran dalam bidang seni, Sharifah berkata, semua anak seni termasuk pelakon muda sepertinya pasti mempunyai hasrat pengiktirafan.
Bagaimanapun, tegasnya ia bukanlah satu ukuran kerana yang penting baginya adalah menjanjikan kepuasan terhadap setiap karakter yang dibawa sehingga mendapat respons baik dari khalayak penonton.










