GANDINGAN pereka duo, Rizman Nordin dan Wan Mohd. Ruzaini Wan Jamil tidak asing lagi dalam industri fesyen tempatan apabila berjaya memberi inspirasi kepada ramai pereka baharu.
Berkecimpung selama 17 tahun dalam dunia fesyen, menjadikan dua sahabat itu berada dalam kelas tersendiri dalam menerpa jenama mereka seiring pasaran antarabangsa.
Ujar Rizman, apabila sudah mempunyai nama yang kuat dalam industri fesyen, berpecah atau bergerak solo tidak mungkin akan terjadi kerana mereka mempunyai masa depan yang cerah membawa ‘Rizman Ruzaini’ sebagai jenama besar.
“Sebenarnya legasi Rizman Ruzaini bukanlah hanya kami berdua sahaja. Mungkin orang nampak nama itu hanya dua orang sahaja tetapi legasi atau batalion ini lebih luas sebenarnya.
“Di bawah bumbung Rizman Ruzaini terdapat hampir 80 staf dengan beberapa jabatan yang mempunyai skop tugas masing-masing. Ada yang bersama kami daripada hari pertama sehingga ke hari ini.
Jadi, kami anggap ia satu ‘harta’ yang harus dikekalkan. Kami sebagai tunjang utama harus pastikan yang periuk nasi mereka juga kekal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
JADI IKON PEREKA DUO
Mendapat gelaran pereka duo berjaya adalah satu penghargaan yang besar buat kedua-dua pereka Rizman dan Ruzaini.
“Ia suatu yang membanggakan kerana pembabitan awal dalam industri fesyen ketika itu tiada lagi jenama atau label yang mempunyai dua pereka. Kita boleh lihat hari ini ramai pereka di Malaysia ada dua nama dalam satu label.
“Saya anggap ia adalah satu persaingan yang sihat dan menjadi panduan berguna untuk kami hasilkan idea yang lebih segar. Kalau boleh kami mahu jadi ikon, contoh dan panduan kepada pereka duo baharu.
“Kemudian apabila kami membuat konsep sama iaitu perkenalkan ‘dua label’ yang diketengahkan jenama Dolce & Gabbana, ramai juga pereka melakukan perkara sama. Ini merupakan perkembangan yang positif dalam industri fesyen,” katanya.
Kembang jenama ke peringkat antarabangsa
Menjadikan jenama antarabangsa, Dolce & Gabbana sebagai inspirasi, Rizman Ruzaini turut mengetengahkan konsep mewah dan mampu milik dalam label mereka sendiri.
Suatu ketika dahulu, identiti Rizman Ruzaini yang eksklusif dan harga yang mahal menjadikan ramai pengikutnya tidak mampu untuk memiliki jenama itu.
“Sebelum ini, mungkin di Malaysia belum ada mana-mana pereka yang mengetengahkan konsep seperti ini, mewah dan mampu milik. Kalau kita lihat, kebanyakan pereka yang mengekalkan segmen couture itu sahaja.
“Tetapi di Rizman Ruzaini, ini adalah masa untuk kami kembangkan label Rizman Ruzaini dan mengorak langkah seperti jenama antarabangsa. Sepertimana yang telah diketengahkan oleh jenama-jenama besar antarabangsa seperti Dolce & Gabbana mempunyai D&G di bawah satu label yang sama, kami juga mengetengahkan Rizman Ruzaini dan RR,” katanya.
Tambah Rizman, beliau dan Ruzaini mempunyai matlamat besar untuk meluaskan cabang perniagaan dan berkembang maju ke peringkat antarabangsa seiring dengan permintaan pelanggan.
“Kita sudah ada Rizman Ruzaini Couture dan RR serta akan ada lebih banyak lagi bisnes plan di bawah jenama ini antaranya, RR Kids, RR Beauty dan RR Living,” katanya yang lebih gemar mulakan sesuatu dengan kemas dan tersusun supaya dapat dijadikan sebagai satu template kepada jenama-jenama baharu mengambil idea untuk membuat perniagaan fesyen.
Kata Rizman, bukan semua orang mampu memiliki sesuatu yang mewah dan mampu milik, sebab itu di Rizman Ruzaini terdapat dua segmen iaitu Rizman Ruzaini dan RR.
“Di Rizman Ruzaini kami hanya mengambil tempahan khusus di Hotel Shangri La, bersifat lebih eksklusif, personal dan mempunyai luxury treatment yang berbeza serta akan dilayan terus oleh kami berdua di hotel ini.
“Manakala di RR pula, kami memperkenalkan tiga segmen iaitu RR, Luxe dan Basic yang mampu milik. Luxe lebih mahal manakala RR pula adalah koleksi tudung dan beg tangan serta Basic pula seperti baju T dan barangan essential untuk RR. Di RR, pelanggan masih merasai ‘kemewahan’ jenama ini tetapi dalam konteks yang lebih mudah iaitu boleh dibeli di laman sesawang, boleh memilih design dan membuat penghantaran terus di rumah,” katanya.
Tambah beliau, Rizman Ruzaini juga menyediakan konsep ready-to-wear (RTW) dengan harga bermula RM4,000 hingga RM25,000 khas untuk pasaran antarabangsa.










