Peluang ada, yang penting tekun – Cakra Khan - Utusan Malaysia

Peluang ada, yang penting tekun – Cakra Khan

Cakra Khan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMBAKAN artis Indonesia memasuki Malaysia menerusi penganjuran konsert di lokasi berprestij membuktikan keberanian dan kesediaan penggiat muzik tempatan bersaing di pasaran terbuka.

Sejak September lalu, satu demi satu artis solo mahupun berkumpulan dari negara seberang mengadakan konsert di negara ini. Zepp Kuala Lumpur dan Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merupakan dua lokasi kerap menjadi pilihan dengan penjualan tiket mencecah ribuan ringgit.

Tidak terkecuali penyanyi yang sudah sedekad melayarkan bakatnya dalam dunia seni suara, Cakra Khan.

Pemilik nama lengkap, Cakra Konta Paryaman yang berasal dari Pangandaran, Jawa Barat ini dijadualkan mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada 20 Januari depan.

Peluang keemasan itu digunakan sehabis baik bagi mengukuhkan jenama penyanyi Harus Terpisah itu yang bergiat aktif sejak 2012.

Timbul persoalan kenapa situasi serupa tidak berlaku kepada artis Malaysia? Terbaharu, lagu Casablanca nyanyian pasangan duet Nuha Bahrin dan Naufal Azrin berjaya menembusi pasaran Indonesia, itupun kebetulan rezeki tular dalam media sosial.

Ditanya apakah masyarakat Indonesia begitu selektif, Cakra berkata, peluang artis dari negara ini untuk mencipta nama di sana sentiasa terbuka di depan mata.

“Menurut saya, setiap lagu dan genre ada peluang tersendiri kerana rakyat Indonesia sangat terbuka. Ada sahaja lagu bahasa Inggeris dan bahasa lain yang popular serta diterima baik di sana.

“Cuma tinggal soal ketekunan seseorang artis terhadap muzik. Apatah lagi, ketika ini, media sosial sangat membantu. Contohnya Casablanca yang sangat hits dan kuasa tular juga mendorong lagu tersebut diterima di Indonesia,” katanya.

KELUARGA NOMBOR SATU
Penyanyi berusia 30 tahun itu pernah melalui titik terendah dalam hidup saat berdepan kematian bapa dan sahabat karibnya, dua tahun lalu.

Katanya, kehilangan dua insan penting itu nyaris membunuh semangat dan merenggut emosinya.

Namun, peristiwa itu menyedarkan dirinya untuk kembali dan sentiasa meletakkan keluarga di carta teratas hidupnya.

“Banyak kejadian yang benar-benar tidak terduga terjadi dalam hidup saya. Bapa meninggal dunia akibat angin ahmar di hospital. Saya terpaksa meninggalkan bapa kerana perlu menjayakan sebuah konsert.

“Dalam perjalanan ke lokasi konsert, saya dimaklumkan tentang kondisi bapa. Saya segera berpatah balik ke hospital dan membatalkan konsert. Ketika sampai, arwah sudah menghembuskan nafas terakhir.

“Arwah pergi sebelum saya sempat bertemunya buat kali terakhir. Itu detik terburuk pernah dilalui,” luahnya.

ARTIS DAN POLITIK
Walaupun Indonesia kian rancak memulakan fasa awal Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024, bermula 14 Jun tahun depan, penglibatan golongan selebriti dalam dunia politik turut menjadi perhatian.

Dengan populariti dan pengaruh besar dimiliki, pembabitan mereka mampu mempengaruhi khalayak untuk mengundi calon parti tertentu. Namun, Cakra mengambil pendekatan berbeza.

“Mungkin ada artis yang sudah tidak aktif dalam dunia hiburan menyertai politik. Cuma, saya tidak suka menyertai politik,” jawabnya ringkas.

KONSERT SEDEKAD
Konsert Cakra Khan A Decade Live in Kuala Lumpur akan menggunakan khidmat Datuk Ramli MS sebagai pengarah muzik.

Berpeluang mengadakan konsert sulung di negara ini adalah rahmat besar buat penyanyi yang pernah berduet bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Seluruh Cinta.

Bagaimanapun, Cakra memaklumkan, Siti tidak dapat bersama menjayakan persembahan pada malam tersebut kerana mempunyai komitmen lain.

“Konsert perlu tetap berjalan dan lagu Seluruh Cinta akan tetap dinyanyikan dengan rakan duet lain,” katanya.

Konsert anjuran Seven Skies Motion yang menawarkan tiket berharga antara RM222 hingga RM1,292 itu turut menampilkan artis jemputan seperti Aina Abdul, Ade Govinda dan Khai Bahar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×