Pekan Rabu, Nasi Lemak Royale lokasi wajib singgah di Alor Setar - Utusan Malaysia

Pekan Rabu, Nasi Lemak Royale lokasi wajib singgah di Alor Setar

Pekan Rabu dibuka Putera Diraja Kedah, Tunku Yaakob Abdul Hamid Halim Shah di Tanjung Chali sekitar tahun 1930 bertujuan menggalakkan orang Melayu berniaga pelbagai barangan termasuk hasil tanaman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jadual ketat ketika menghadiri Minggu Fesyen Kedah 2022 baru-baru ini menyebabkan sukar untuk kami mencari masa sesuai menerokai bandar Alor Setar.

Tambahan pula pergerakan terhad hanya antara hotel penginapan yang terletak hanya 400 meter saja dengan Aman Central di mana persembahan fesyen dijalankan.

Hampir sedekad tidak menjejakkan kaki ke bandar Darul Aman ini, teringin juga melihat sebarang perubahan bandar ini dari dekat tetapi kekangan kerja yang habis sehingga 10 malam tidak mengizinkan untuk bersantai.

Menjelang malam, bandar ini pula semakin sunyi. Banayk kedai termasuk kedai makan sudah ditutup. Menurut orang tempatan, kalau hendak keluar ke mana-mana sebelah malam agak sukar mendapatkan khidmat teksi atau grab hendak pulang ke hotel nanti. Jadi, lebih baik jangan keluar jika tiada kenderaan.

Namun waktu terluang sebelah siang hari ketiga, membolehkan kami ‘meronda’ sekitar ibu negeri Kedah ini. termasuk makan Nasi Lemak Royale yang dikatakan berasal dari sini.

KEDAI ORIGINAL NASI LEMAK ROYAL

Kami bercadang ke Nasi Lemak Royale, Jalan Sultan Abdul Halim tetapi pemandu grab mencadangkan kami ke kedai Nasi Lemak Royale di Jalan Tunku Ibrahim kerana dia mendakwa ia adalah kedai original nasi lemak Royale. Tambahan pula kedai di Jalan Sultan Abdul Halim tutup pada hari itu.

Kami bersetuju dan percaya kerana menurutnya dia juga lebih suka makan di kedai berkenaan berbanding kedai lain. Jalan tidak begitu sibuk dan lokasi kedai juga tidak jauh daripada hotel kami menginap tetapi kalau berjalan kaki boleh berpeluh juga.

Kedai masih sunyi dan hanya ada satu atau dua orang saja pelanggan.

Di depan pintu masuk diletakkan periuk nasi yang diikat dengan kayu kandar.

Kabinet yang juga terletak di depan pintu masuk dipenuhi dengan pelbagai lauk pauk seperti kari ayam, kambing, udang dan ayam goreng.

Suasana dalam kedai biasa saja dan tiada yang menarik. Kami memilih duduk di bawah kipas berdekatan dinding dan memesan nasi berlauk kari banjir dengan ayam goreng dan bendi serta air limau ais. Rasa kari memang kaw dan berbeza dengan Nasi Lemak Royale yang pernah dicuba di sekitar bandaraya Kuala Lumpur sebelum ini.

Dari dalam kedai, baru kami perasan kedai ini terletak tidak jauh dari Kompleks Pekan Rabu yang tersergam indah dengan senibina Islam. Lepas makan, kami bercadang untuk ke sana pula. Oleh kerana semakin lama, semakin ramai pelanggan datang memenuhi kedai, kami pun segera meninggalkan kedai itu.

LEBIH MODEN DAN BERSIH
Kami menggunakan jejantas untuk ke Pekan Rabu yang terletak di seberang jalan.

Sebaik turun dari jejantas, kami sudah berada betul-betul di pintu masuk Pekan Rabu.

Masuk ke ruang bawah, sebelah kiri kami terpandang sebuah galeri sejarah yang dikenali sebagai Galeria Pekan Rabu. Kelihatan gambar-gambar lama hitam putih berkaitan sejarah Pekan Rabu.

Ada gambar mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melawat Pekan Rabu pada tahun 1978. Pekan Rabu dibuka Putera Diraja Kedah, Tunku Yaakob Abdul Hamid Halim Shah di Tanjung Chali sekitar tahun 1930 bertujuan menggalakkan orang Melayu berniaga pelbagai barangan termasuk hasil tanaman.

Ia kemudian berpindah ke Jalan Tunku Ibrahim pada tahun 1932 dan dipindahkan ke tapak sekarang iaitu kira-kira satu kilomter dari tapak asal. Pada 2014, kerajaan negeri membina bangunan baharu yang ada sekarang.

Berkeluasan 5,062 meter persegi, kompleks empat tingkat ini mempunyai 355 ruang niaga serta 24 kedai makan.

Tingkat bawah dan satu adalah ruang menjual pelbagai pakaian termasuk pakaian tradisional Kedah seperti Baju Kurung Kedah yang diperbuat daripada kain kapas, kain batik, baju Melayu dan sebagainya.

Pelbagai produk kraftangan tradisional seperti tikar mengkuang, tudung saji yang dianyam dengan daun mengkuang dalam pelbagai warna yang cukup menarik ada di sini.

Tarikan utama ke sini, sudah pastilah aneka produk makanan tradisional orang Kedah seperti ikan pekasam, ikan masin, kuih muih seperti kuih bahulu dan banyak lagi yang jarang kita jumpa hari ini.

Cabaran yang ada, anda perlu mendaki anak-anak tangga untuk ke tingkat paling atas kerana di sinilah terletak semua jenis makanan unik yang anda idamkan. Tapi kepenatan memanjat tangga ini memang berbaloi.

Tangga-tangga di sini terletak di tengah-tengah bangunan dan bersilang untuk ke setiap tingkat. Jadi memang agak ngeri bila memandang ke bawah. Dari atas, anda boleh lihat kedai-kedai makan yang menjual aneka makanan tempatan seperti laksa kedah, mi rebus, ABC dan sebagainya.

Aroma kuih bahulu yang baharu dibakar menusuk ke hidung sebaik kami tiba di tingkat empat. Di sini, kuih bahulu dimasak segar dan boleh dinikmati sebaik keluar daripada oven. Begitu juga dengan dodol yang masih panas walaupun sudah siap dibungkus.

Penggemar serunding juga boleh membeli aneka jenis serunding yang dijual di sini seperti serunding daging, ayam dan ikan bilis.

Suka makan ikan pekasam? Terdapat pelbagai jenis ikan pekasam di sini, daripada ikan sungai seperti ikan sepat, lampam dan haruan sehingga ke ikan laut.

Penat melangkah, kami tercium bau laksa yang semerbak. Kami diberitahu, di tingkat bawah ada orang menjual laksa dan laksa ikan sekoq. Patutlah aromanya sampai ke tingkat empat dan pastilah rasanya cukup sedap.

Tanpa membuang masa, kami segera turun ke bawah dan memesan laksa serta ABC dan cendol untuk dinikmati.

Pelbagai makanan lain seperti nasi lemak, mi rebus dan bihun sup ada di sini. Bak kata orang, sediakan duit sahaja untuk membeli.

Walaupun bandar ini tidak sepesat Sungai Petani dan Georgetown, Alor Setar memiliki keunikannya tersendiri yang boleh dinikmati pelancong luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN