Pandang pencapaian, bukan kisah sensasi – Cliff Umar - Utusan Malaysia

Pandang pencapaian, bukan kisah sensasi – Cliff Umar

CLIFF Umar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CLIFF Umar bukan nama asing dalam industri seni tempatan. Sejak menyertai kumpulan Projek Pistol pada 2010, penyanyi berusia 39 tahun ini membina populariti dengan mecipta kelompok peminat tersendiri.

Namun, selepas dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza ke-7 pada 2020, populariti empunya nama sebenar, Umar Joseph Abdullah ini dilihat seperti merosot.

Ada pihak berpandangan, program tersebut gagal melonjakkan semula namanya di persada seni. Cliff yang ditemui pada sidang media Konsert Kolaboraci Three To Rock, baru-baru ini, berkata populariti bukan segala-galanya.

Sejak menapak dalam industri seni lebih 20 tahun lalu, Cliff menegaskan, populariti bukan perkara pertama yang menjadi keutamaan.

“Sejak dalam GV7 lagi, saya sudah tekankan, saya tidak kejar populariti. Saya bermula dengan minat dan matlamat untuk menaikkan kelompok pemuzik era saya ke tahap sepatutnya. Itu misi sebenar saya.

“Disebabkan itu, saya jarang muncul dalam acara besar seperti Anugerah Industri Muzik, Anugerah Juara Lagu dan sebagainya. Peminat tidak akan nampak saya pada acara itu.

“Namun, saya masih berkarya dan selalu menghantar lagu untuk dipertandingkan dalam acara tersebut,” katanya.

Menjawab persoalan tentang isu dipulaukan industri, Cliff menjelaskan, dia tidak mengambil pusing perkara itu. Dia bagaimanapun, sedikit terkilan apabila industri seni lebih memandang populariti, berbanding pencapaian seseorang penyanyi.

“Sejujurnya, saya tidak ambil tahu hal yang tidak menyumbang kepada perkembangan kerjaya. Selama ini, apa yang saya dapat hanya perhatian tentang hal peribadi.

“Bukan senang untuk bermain muzik di negara ini. Ada fasa naik dan turun, malah jika keluar televisyen pun hanya sekejap. Hakikatnya, saya sudah berada dalam industri lebih 20 tahun, namun tidak ramai yang kenal.

“Saya tidak kejar perhatian, sebaliknya lebih utamakan kerja seni. Saya tidak perlukan orang yang melebih-lebihkan cerita hal dalam kain, berbanding kerjaya.

“Cabaran itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk bekerja dan tampil dengan lagu sendiri. Saya sudah lepasi pelbagai episod yang menguji dalam perjalanan kerjaya,” luahnya.

Bagaimanapun kata Cliff, dia gembira kerana bukan sahaja berpeluang mengembangkan kerjaya di Indonesia, malah diterima baik pengamal seni di negara tersebut.

“Penerimaan orang Indonesia terhadap saya sangat positif. Semua band tempatan menyimpan impian untuk berkarya di sana. Gila kalau saya tidak rebut peluang bermain muzik di negara itu.

“Saya teruja dengan penerimaan mereka. Saya bukan bintang rock dan tidak pernah bercerita tentang pencapaian sebagai penyanyi, termasuk menjuarai GV7. Saya bermula dari bawah dan itu cara saya raih sokongan mereka,” jelasnya.

Projek Pistol tidak mati
Diajak berborak tentang Projek Pistol, Cliff memaklumkan, band tersebut masih bernafas dan aktif berkarya.

Cuma, buat masa ini mereka memberikan ruang kepada gitaris kumpulan tersebut, Edrie Hashim untuk menumpukan komitmen terhadap kumpulan rock legenda, Wings.

“Buat masa ini Edrie lebih banyak bersama kumpulan Wings. Bagaimanapun, Projek Pistol tidak akan mati.

“Kami bermula sebagai sebuah project band. Kami akan masuk studio pada masa yang sesuai apabila Edrie bersedia nanti.

“Buat masa sekarang, Edrie perlu diberi ruang kerana terikat dengan Wings,” katanya.

Cliff bagaimanapun, akur kumpulan tersebut tidak memiliki peminat ramai. Namun katanya, itu tidak bermaksud band yang ditubuhkan pada 2009 itu sudah terkubur.

“Kami tidak memiliki peminat yang ramai kerana memperjuangkan muzik yang hanya sesuai untuk kelompok pendengar tertentu.

“Daripada 100, mungkin hanya 10 orang peminat yang benar-benar tahu lagu kami. Banyak faktor Project Pistol tidak ramai peminat, tetapi perkara itu tidak menjejaskan perjuangan kami,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×