Majlis perkahwinan Dusun Tindal penuh adat

Majlis perkahwinan Dusun Tindal penuh adat

dusun
Noor Arleena Jamaludin (kanan) dan Mohammad Aliy Hanafiah bersanding atas pelamin direka khas mengikut adat Dusun Tindal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masih berpegang teguh kepada adat Dusun Tindal biarpun sudah berhijrah hampir 15 tahun ke Semenanjung bersama keluarga membuatkan Noor Arleena Jamaludin,30, memilih untuk mengabadikan ikatan perkahwinannya mengikut adat suku kaum berkenaan.

Arleena yang sememangnya berketurunan Dusun Tindal di Kota Belud, Sabah mengakui mengagumi adat etnik itu dan teruja untuk melangsungkan perkahwinan mengikut adat berkenaan walaupun berada di bumi Semenanjung.

“Saudara-mara yang tinggal di Sabah juga semuanya melangsungkan perkahwinan mengikut adat ini.

“Jadi saya fikir walaupun di Semenanjung, saya juga tetap mahu menjalankan perkahwinan mengikut adat kami kerana bagi saya ia unik,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas majlis berlangsung.

Tampil dengan busana tradisional yang ditempah khas dari negeri di bawah bayu itu, Arleena dan suami, Mohammad Aliy Hanafiah,28, tampil segak dalam persalinan berona hitam dan keemasan.

Majlis perkahwinan dijalankan dengan penuh adat dimulakan dengan ketibaan pengantin lelaki dengan menaiki kuda berhias.

Kuda berkenaan dipakaikan baju yang dihiaskan dengan kain berwarna-warni.

Tidak lama selepas itu, pengantin perempuan pula tiba dengan menaiki trak pick-up yang dihiaskan dengan hiasan bermotifkan sulaman kain berwarna-warni.

Trak itu juga digubah khas seperti sebuah perahu untuk dijadikan sebagai pengangkutan pengantin perempuan dan para pengapitnya.

SEPAK MANGGIS TANDA DIMILIKI

Lebih menarik, apabila tiba di dewan perkahwinan, kedua pasangan mempelai disambut oleh Ketua Adat, Penolong Ketua Adat dan beberapa pembantu Ketua Adat.

Pasangan pengantin seterusnya diminta untuk berdiri di hadapan sebuah rumah kecil yang dikenali sebagai Sepak Manggis.

Dalam acara berkenaan, pasangan pengantin dan pengapit membuat bulatan mengelilingi Sepak Manggis tersebut yang terikat di atas sebatang buluh setinggi lima meter.

Acara dimulakan dengan pengantin perempuan melambungkan bola raga ke arah pengantin lelaki bagi membolehkan pengantin lelaki menyepak bola raga menuju ke arah Sepak Manggis yang tergantung.

Simboliknya adalah untuk memulakan sesebuah acara perkahwinan. Apabila bola terkena pada Sepak Manggis bermakna ia telah dimiliki.

Antara barangan diletakkan dalam Sepak Manggis adalah wang ringgit, sapu tangan dan barangan kecil.

Menurut Aliy yang berasal dari Banting, Selangor, acara sebegitu amat asing pada dirinya namun dia teruja menyelesaikannya.

“Banyak benda baharu yang saya belajar sepanjang membuat persiapan perkahwinan ini.

“Sangat menarik dan unik walaupun agak mencabar untuk membuat segala persiapan,” katanya yang turut berkongsi majlis berkenaan menelan belanja sebanyak RM80,000.

Selesai acara berkenaan, pengantin dibawa ke pelamin yang dihias indah bertemakan kaum Dusun Tindal sambil diiringi pemain-pemain Gong dan Kulintangan.

Sebelum naik ke atas pelamin yang merupakan simbolik sebuah rumah, Ketua Adat akan membasuh kedua-dua belah kaki pengantin dengan air bersih.

Ia didahului pengantin lelaki bertujuan membersihkan kotoran yang dibawa pengantin lelaki dan perempuan.

Ketua Adat membaca beberapa mentera kononnya bertujuan menghalau hantu atau makhluk halus agar tidak masuk ke dalam rumah bagi menghuru-harakan orang yang ada di dalam rumah berkenaan.

MAKAN BERADAT

Bagi acara makan beradab pula, pengantin duduk makan atas Tikar Mengkuang yang diperbuat daripada kain sulaman berwarna-warni atas lantai.

Si lelaki menyuapkan makanan dahulu kepada pengantin perempuan dan begitu juga sebaliknya.

Ibu Bapa Pengantin Lelaki pula memberikan sebuah ‘luping’ (tempaian kecil) yang berisi ‘lihing’ (air tapai) sebagai tanda termetrainya persaudaraan melalui ikatan perkahwinan di antara kedua-dua keluarga pengantin.

Apabila selesai acara penyampaian luping, kedua-dua mempelai dan pengapit turun semula ke bawah bagi Acara ‘Maligai’.

Maligai diperbuat daripada buluh kecil yang diikat memanjang ke atas setinggi satu setengah meter dan dipacakkan ke dalam sebuah ‘Languai’. Ia merupakan tempat menyimpan barang berharga pada zaman dahulu, diperbuat daripada tembaga.

Berat perkakas sekitar 10 kilogram itu ditatarias dengan pelbagai hiasan menarik.

‘Maligai’ simbolik tanda ikatan kekeluargaan dan kegembiraan di atas ikatan perkahwinan tersebut.

Barangan tergantung di sekeliling Maligai seperti wang ringgit dan daun sirih menjadi rebutan jemputan bagi mendapatkannya.

Kononnya, siapa yang berjaya mendapat wang tersebut, orang itu dimurahkan rezeki dan akan sentiasa mendapat wang yang banyak atau dengan erti kata lain ia akan dijadikan sebagai ‘Ibu Duit’.

Sesiapa yang mendapat daun sirih atau daun tembakau, jika ia di bawa untuk memancing atau menjala ikan, ia digunakan sebagai pemikat ikan supaya banyak ikan akan menghampiri orang yang sedang memancing atau menjala ikan tersebut.

Penutup majlis menyaksikan mempelai duduk di pelamin dan menerima kedatang kedua ibu bapa dan adik-beradik masing-masing.

Ia bertujuan mengeratkan silaturahim terjalin di antara kedua-dua keluarga pengantin berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN