DEMAM bola sepak kembali melanda. Ibu dan isteri sudah pasti antara yang paling sibuk di dapur menyediakan kudapan untuk suami melayan bola.
Lebih-lebih lagi menonton sememangnya sinonim dengan sesi makan-makan sama ada bersama keluarga atau rakan.
Anda jenis tidak kisah makan apa yang ada di dapur atau perlu ada jadual khusus sajian untuk orang tersayang?
Kajian mendedahkan individu cenderung makan secara berlebihan apabila kurang memberi perhatian, bosan atau tertekan.
Justeru, semasa musim Piala Dunia ini, dalam gigih bersorak untuk pasukan kegemaran, jangan lupa beri perhatian kepada apa yang kita makan dengan mengetahui apa yang tubuh kita perlukan.
Kudapan bukanlah sesuatu yang baharu, namun cara menikmatinya sangat penting supaya apa yang kita makan tidak mendatangkan mudarat pada tubuh.
Amalan snek bijak merupakan cara mudah memenuhi keperluan tubuh anda tanpa rasa bersalah.
Ia boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja, tidak kira di mana jua, bentuk makanan yang diambil dan di setiap julat usia.
Ia turut membantu kita menjalin hubungan positif tubuh dengan makanan menerusi pilihan lebih proaktif dan bijak.
Ini kerana setiap tabiat memerlukan masa untuk dipupuk dan diubah. Jadikan panduan mudah ini di musim demam bola sepak FIFA 2022 sebagai titik permulaan anda untuk menuju ke arah kehidupan lebih sihat.
Berikut petua tabiat snek bijak mudah diamalkan sepanjang musim bola ini:
bahagikan snek kepada beberapa bahagian.
Bahagikan snek kepada dua atau tiga bahagian.
Peka kepada keperluan tubuh dan perasaan anda. Tanya pada diri sama ada anda sudah berasa kenyang dan berpuas hati sebelum menghabiskan bahagian yang lain.
Pastikan anda juga peka terhadap saiz hidangan setiap bungkusan snek dan isi snek dalam mangkuk atau di atas pinggan untuk mendapatkan klu visual.
Ubah pilihan snek anda
Makan lewat menyebabkan tubuh perlu bekerja keras memprosesnya.
Pilih snek lebih ringan yang dapat memberikan tenaga namun tidak susah dihadam seperti kekacang atau buah.
Nikmati setiap kunyahan
Menikmati kudapan sambil menonton perlawanan boleh sepak boleh membawa kepada tabiat makan berlebihan.
Bagi meningkatkan kepuasan menikmati snek, tumpukan perhatian pada bau, rasa, tekstur, bentuk dan warna makanan.
Kunyah perlahan-lahan dan dengan suapan kecil, sebelum kunyahan seterusnya.
Jauhkan dari pandangan dan capaian
Elak meletakkan kudapan di lokasi mudah capai.
Ia dapat mengelakkan anda daripada terus makan tanpa henti dan akhirnya tanpa sedar, terlebih makan.
Minum banyak air
Otak sentiasa memperdayakan kita untuk makan lebih, namun, ia mungkin sekadar tindakbalas tubuh terhadap rasa dahaga.
Jadi, minum segelas air, tunggu beberapa minit sebelum menentukan sama ada anda lapar atau sebaliknya.









