Batik cetakan eko warisan dua generasi - Utusan Malaysia

Batik cetakan eko warisan dua generasi

Daun-daun perlu dimatikan warna dengan direndam di dalam air tawas terlebih dahulu sebelum proses mengetuk pada fabrik dilakukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Industri batik di Sabah mungkin tidak serancak di Pantai Timur, namun itu bukan penghalang buat seorang penggiat fesyen di negeri ini untuk terus memartabatkan seni berkenaan.

Berbekalkan empat tahun pengalaman dalam bidang ini, Immah Palmbang, 52, dari Kampung Tabanak di Lahad Datu mengambil langkah berani memulakan penghasilan batik menggunakan teknik baharu iaitu cetakan eko.

Teknik tersebut mula dipelajari pemilik Alnisya Collection itu sejak 2020, hasil tunjuk ajar anak angkatnya yang berasal dari Indonesia.

Immah berkata, cetakan eko lebih popular di negara jiran kerana bersifat mesra alam apabila menggunakan tumbuhan semula jadi seperti daun, bunga dan kulit pokok tanpa melibatkan bahan kimia.

Katanya, keunikan itu sekali gus mendorongnya untuk mengaplikasikan teknik tersebut dalam rekaan tudung dan baju selain masih mengekalkan pembuatan batik blok dan ikat celup.

“Saya merupakan pembatik terawal di Sabah yang menghasilkan batik cetakan eko, walaupun prosesnya rumit dan mencabar tetapi saya menemui keseronokan sepanjang membuatnya.

“Malah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Hampir setiap bulan kira-kira 50 helai tudung bawal dan selendang batik cetakan eko berharga antara RM45 hingga RM70 laris terjual,” katanya ketika ditemui di bengkelnya baru-baru ini.

Menurut Immah, selain Sabah, produknya turut mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan di Semenanjung Malaysia menerusi jualan secara dalam talian di Facebook milik suami­nya, Al-Amin Mantihaji, 53.

Sebagai kelainan rekaan batik yang ditampilkan, turut menggabungkan cetakan eko dengan blok dan ikat celup.

Bakat diwarisi anak-anak
Minat terhadap batik cetakan eko itu turut dikongsi bersama dua permata hatinya, Mohd. Syazwi Syazwan Al-Amin, 28, dan Ayu Afiqawani Alnisya, 21.

Malah Mohd. Syazwi Syazwan nekad berhenti kerja sebagai juruteknik di Sarawak bagi mengikut jejak langkah ibunya sebagai pembatik sepenuh masa.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, keputusan itu dibuat bagi menyambung legasi ibunya, selain memang meminati batik.

“Sebelum ini saya cuma membantu emak membuat batik ketika pulang bercuti di kampung, tetapi kini ia merupakan kerjaya tetap saya sejak lima bulan lalu.

“Sebagai orang muda saya terpanggil untuk memperkenalkan pembuatan batik ini kepada masyarakat terutama penggemarnya sekali gus mengembangkan lagi produk keluaran Alnisya Collection,” katanya.

Mohd. Syazwi Syazwan berkata, dia tertarik untuk menguasai cetakan eko kerana keunikan teknik itu yang dibuat dengan cara mengetuk daun pada fabrik bagi mendapatkan bentuk dan warna yang diinginkan.

Katanya, kesemua proses berkenaan dilakukan di bengkel milik ibunya yang terletak di rumah mereka.

Antara daun digunakan ialah daun jati dan telang di samping bahan-bahan lain seperti pemati warna, air tawas, tukul dan kayu.

Matikan warna, elak luntur
Setiap daun, bunga, kulit mahupun ranting perlu dimatikan warna dengan direndam di dalam air tawas.

Immah berkata, tumbuhan yang direndam itu kemudian diletakkan di atas fabrik mengikut corak atau rekaan diingini.Proses mengetuk lazimnya mengambil masa sehingga 30 minit bagi setiap helaian tudung sebelum kesemuanya dimasak di dalam air panas selama lapan jam.

“Selepas itu, fabrik akan dibilas dan dicuci dengan sabun serta pelembut sebelum dijemur.

“Kebiasaannya saya akan menyimpan fabrik selama sebulan bagi memastikan kecantikan warna dan kualitinya,” katanya.

Dalam tempoh sebulan itu, proses mematikan warna dilakukan sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali agar cetakan tidak luntur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN