Bayi dan kanak-kanak kebiasaannya akan tidur dan minum dengan banyak. Tetapi sekiranya anak anda tiba-tiba lebih mengantuk atau lebih dahaga daripada biasa, ini boleh menjadi simptom diabetes mellitus Jenis 1.
Diabetes Jenis 1 atau disebut sebagai diabetes juvana biasanya dialami kanak-kanak kecil. Seorang kanak-kanak boleh mendapat diabetes Jenis 1 semasa bayi atau apabila semakin membesar sehingga peringkat remaja. Ia terjadi selepas mereka berumur lima tahun, namun terdapat juga individu yang mendapatnya selepas mencapai usia lewat 30-an.
Pangkalan Data Kebangsaan Kanak-kanak dan Remaja dengan Diabetes, menyebut diabetes Jenis 1 adalah suatu keadaan paling lazim dialami kanak-kanak. Ia merangkumi 73 hingga 77 % daripada semua kes diabetes kanak-kanak di negara ini.
Memahami Diabetes Jenis 1
Pakar Pediatrik dan Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Sunway, Dr Ch’ng Tong Wooi berkata, tanggapan umum bahawa diabetes Jenis 1 berpunca daripada makan gula berlebihan adalah tidak benar.
Katanya, bagi kebanyakan penghidapnya, diabetes Jenis 1 adalah penyakit autoimun di mana pankreas berhenti menghasilkan insulin sama ada secara sebahagian atau keseluruhannya. Sementara itu, diabetes jenis 2 sering dikaitkan dengan obesiti dan banyak berlaku terhadap golongan dewasa.
“Walaupun berbeza, perlu diingatkan bahawa kedua-duanya adalah serius kerana setiap satunya boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang lebih serius seperti penyakit kardiovaskular, kegagalan buah pinggang, kehilangan penglihatan dan masalah luka lambat sembuh,” katanya.
Petanda 4T
Simptom awal diabetes Jenis 1 adakalanya tidak begitu ketara dan sukar dikesan kerana kanak-kanak kecil tidak dapat mengetahui sama ada mereka mempunyai kadar gula dalam darah yang rendah atau tinggi, tidak seperti orang dewasa.
Tanda amaran lain termasuklah nafas berbau buah (bau buah yang manis), masalah pernafasan dan perubahan penglihatan secara tiba-tiba yang boleh menjadi petanda lewat kadar gula tinggi dalam darah.
Gejala-gejala ini cenderung muncul dengan cepat dalam tempoh beberapa hari atau minggu sahaja, terutamanya bagi kanak-kanak.
“Ibu bapa perlu segera berjumpa dengan doktor sekiranya mendapati terdapat mana-mana tanda 4T pada anak mereka.
“Diagnosis diabetes Jenis 1 hanya memerlukan pemeriksaan glukosa darah yang ringkas dan cepat. Pengesanan awal boleh mengurangkan risiko ketoasidosis diabetik (DKA) secara mendadak, sekali gus mengelakkan komplikasi diabetes serius yang boleh mengancam nyawa,” tegasnya.
PengUrusan anak dengan Diabetes Jenis 1
Menguruskan kanak-kanak yang menghidap diabetes Jenis 1 merupakan cabaran kepada ibu bapa.
Selain membesarkan anak-anak, ibu bapa juga perlu membantu mereka mengharungi kehidupan dengan penyakit kronik.
Adakalanya mereka perlu berjaga malam untuk memeriksa paras gula dalam darah anak mereka. Pada siangnya pula risau memikirkan makanan ringan yang anak mereka makan di sekolah.
Walaupun kini masih tiada cara untuk mencegah diabetes Jenis 1, terdapat pelbagai kaedah membantu menguruskan gejalanya.
Ibu bapa bukan sahaja bertanggungjawab memastikan anak anda selamat dengan membina rutin baharu yang praktikal, tetapi mereka juga perlu menjadi sistem sokongan yang penting kepada anak.
Kanak-kanak dengan diabetes Jenis 1 mengharapkan sokongan ibu bapa secara fizikal, misalnya membantu mereka memberi suntikan insulin.
“Dari segi emosi, bercakaplah tentang perasaan mereka mengenai penyakit yang akan berkekalan bersama mereka itu.
“Bagi menunjukkan sokongan, ibu bapa perlu menjadi lebih prihatin dengan melibatkan diri secara aktif dalam penjagaan harian anak mereka dan mulakan perbualan terbuka sejurus selepas didiagnosis,” katanya.
Tegasnya, sikap berlapang mampu menyiapkan diri mereka untuk berkomunikasi tentang sebarang cabaran yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
“Biar apa pun tahap diagnosis diabetes anak anda, perlu diingatkan bahawa mereka masih mempunyai pilihan dan tidak seharusnya disekat.
“Anak masih boleh menjalani hidup dengan sempurna dan mencapai segala yang diinginkan. Apa yang perlu mereka lakukan ialah mengambil tindakan dan konsisten dengannya,” katanya.










