18 tahun perjuangan memartabatkan bekam - Utusan Malaysia

18 tahun perjuangan memartabatkan bekam

Nafisah (dua dari kanan, belakang) bersama keluarga yang banyak memberi sokongan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik Covid-19 membantu meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan bekam khususnya dalam kalangan individu yang mementingkan kesihatan.

Pengusaha Bekam D’Spa, Pulau Langkawi, Sayyidah Nafisah Abdullah berkata, sambutan luar biasa bekam selepas kes Covid-19 membuka mata ramai dan timbul kesedaran terhadap pentingnya penjagaan kesihatan sunah nabi itu.

“Saya bagaikan tidak menang tangan. Bekam menjadi alternatif paling tepat untuk detoks kuman yang masih tersisa terutamanya di bahagian paru-paru dan jantung di samping membersihkan darah dan menguatkan sistem organ sekali gus meningkatkan imuniti badan,” katanya.

Berpengalaman lebih 18 tahun dalam bidang berkenaan, Nafisah mahu terus memartabatkan bekam agar dikenali ramai demi kesihatan yang lestari.

Nafisah mengibaratkan bekam penting kepada manusia ibarat kereta yang penting dalam penggunaan minyak hitam untuk terus berfungsi dengan baik.

“Ibarat kereta, setiap 5,000 kilometer kena tukar minyak hitam tetapi kita kena buang minyak lama terlebih dahulu sebelum mengisi minyak yang baharu.

“Begitu juga badan kita, adakalanya ubat sudah tidak memberi kesan akibat terlalu banyak toksik yang terkumpul di dalam badan, jadi buang darah kotor terlebih dahulu baru ubat dapat bertindak balas,” ujarnya memberi analogi mudah.

Niaga sejak usia 17
Memulakan karier seawal usia 17 tahun ketika masih di bangku sekolah, Nafisah mengakui perjalanan ini dilakar indah ibu tercinta, Asiah Din yang menghantarnya menyertai Kursus Perubatan Jawi di bawah bimbingan HPA Sdn. Bhd. bagi melahirkan herbalis muda pada 2005 selama 2 bulan di HPA Jejawi, Perlis.

Beliau yang ketika itu baru sahaja menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menjadi peserta termuda mendapat pendedahan teori, kajian ilmiah, saintifik serta praktikal bersama doktor konvensional dan peserta luar negara mengenai ilmu berkenaan.

“Saya menimba ilmu berharga bukan sekadar bekam kerana ilmu lain turut diajar bagi memperkasakan kemahiran seperti ilmu nutrisi, iridologi (diagnosis penyakit melalui mata), ilmu membaca saraf tapak tangan, mata, lidah, kuku, ilmu kiropraktik (rawatan tulang belakang), perubatan Islam, refleksologi, urutan tradisional, akupuntur, ilmu mengenali dan mengamalkan herba.

“Saya sedar dari banyak cabang ilmu tersebut saya perlu fokus pada satu bidang yang benar-benar melekat di jiwa. Saya memilih bekam sebab tertarik dengan sebuah hadis.

“Bekam ada adabnya, bermula dengan bismillah, selawat, doa, kita juga perlu ingatkan pesakit supaya yakin pada Allah yang menyembuhkan selain menjaga batas syariat,” katanya.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini menjalankan perniagaan sejak di bangku sekolah lagi.

“Ia menjadi darah daging, sebati dengan jiwa dan akan terus konsisten meneruskan amalan sunah ini, insya-Allah,” luahnya.

Biarpun lari bidang, ilmu yang ditimba selama tiga tahun menjadi garis panduan memahami selok-belok pentadbiran dalam perancangan perniagaan yang direalisasikan dalam karier sebagai Juru Bekam.

Nafisah turut menyertai program keusahawanan anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bertujuan membantu usahawan mengembangkan perusahaan yang diceburinya.

Selain DPMM, Nafisah turut menyertai kursus e-usahawan, facebookapps dan googleapps yang menjadi batu loncatan untuk memajukan lagi bisnes selain meneroka perniagaan baru dengan meraih pelanggan berganda.

“Kini sudah 18 tahun saya menceburi bidang ini. Ia suatu proses pembelajaran yang panjang dalam mengasah kemahiran bagi memantapkan ilmu bekam untuk membantu orang lain. Saya berasa puas melihat senyuman terukir di wajah pesakit,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×