Untuk istiqamah perlu ilmu – Lisa Surihani - Utusan Malaysia

Untuk istiqamah perlu ilmu – Lisa Surihani

Lisa akan muncul dalam episod pertama Next To Neelofa musim kedua Sabtu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak mula berhijab pada 2019, kisah penghijrahan pelakon cantik, Lisa Surihani menjadi topik yang sering diperkatakan umum.

Peminat menyambut baik perubahan ditampilkan, tidak kurang menjadikan penghijrahan pelakon itu sebagai inspirasi.

Ketika ditemui pada majlis sidang media rancangan Next To Neelofa musim kedua, Lisa pada awal agak keberatan untuk mengulas tentang perubahan diri kerana tidak mahu disalah erti sebagai riak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, ibu tiga anak ini bersyukur dan lega apabila kisah hijrahnya menjadi teladan dan inspirasi untuk orang lain.

“Kita samua lalui perjalanan (hidup) yang berbeza. Apa yang kita perlu buat adalah mendoakan antara satu sama lain.

“Kalau ada yang mengambil kisah penghijrahan saya sebagai contoh, Alhamdulillah. Saya doakan mereka.

“Perjalanan saya masih panjang, banyak lagi perkara yang perlu saya fahami. Untuk istiqamah dalam kebaikan perlu ilmu,” katanya.

Mengulas lanjut, pelakon filem Ombak Rindu ini mengakui, ilmu agamanya masih perlu ditambah baik.

Katanya, fokus hidupnya sekarang tertumpu kepada memperbaiki kefahaman agama dan al-Quran.

“Banyak ilmu yang perlu saya dalami. Misalnya, saya belum lagi selesai menelaah terjemahan setiap muka surat di dalam al-Quran.

“Begitu juga hadis, tafsir dan taddabur, kaedah untuk saling berhubung dengan al-Quran. Saya kena belajar semuanya.

“Mungkin banyak lagi perkara tentang agama yang perlu saya cari dan fahami,” ujarnya.

HANYA MAMPU BERDOA
Menjawab tentang lakonan lama yang masih boleh ditonton di Internet, Lisa mengakui perkara tersebut di luar kawalannya.

Katanya, dia hanya mampu berdoa agar segala urusan dipermudahkan dan sejarah lama yang tidak bermanfaat ditutup Allah SWT.

“Ada perkara yang kita mampu kawal dan ada juga yang tidak. Jadi, saya hanya mampu berdoa.

“Mungkin saya belum arif untuk hadapi perkara sebegini dan setakat ini, saya belum bertemu mana-mana ustaz untuk bertanyakan tentang hal tersebut,” tambahnya.

BUKAN BERHENTI, CUMA PERLAHANKAN
Menjawab tentang lakonan, Lisa menafikan, dia sudah melupakan bidang tersebut. Katanya, dia masih berlakon, cuma penglibatannya dalam bidang itu kini diperlahankan.

“Nak kata berhenti tidak, sebab saya masih membawa watak kecil. Saya akui, memang aktiviti lakonan saya sekarang perlahan. Kebetulan, ada juga tawaran yang sesi penggambarannya belum bermula,” katanya.

Disoal sama ada dia lebih selektif dalam memilih naskhah, Lisa menafikan perkara tersebut.

“Sejak dulu, saya nilai dahulu tawaran sebelum menyatakan persetujuan. Amalan itu tidak pernah saya tinggalkan.

“Sebagai isteri, saya terlebih dahulu akan berbincang dengan suami, meskipun beliau tidak campur tangan.

“Alhamdulillah, beliau percaya kepada keputusan yang saya dan pihak pengurusan ambil,” jelasnya.

NEXT TO NEELOFA MUSIM KEDUA
Kemunculan Lisa dalam episod pertama Next To Neelofa musim kedua adalah perkara yang dinanti-nantikan peminat.

Bercerita mengenainya, Lisa memaklumkan, persetujuan tampil dalam program itu adalah untuk berkongsi kebaikan menerusi pengalaman yang dilaluinya.

“Saya telah diberitahu awal tentang soalan yang akan ditanyakan Neelofa dalam rancangan tersebut.

“Perbualan kami tidak terus pergi kepada pengalaman hidup. Ia bermula dengan sesi ice breaking untuk membuat saya selesa, seakan-akan berborak dengan seorang kawan.

“Kehadiran Neelofa membuat saya lebih senang dan terbuka menceritakan pengalaman yang belum pernah saya kongsikan,” ujarnya.

Kata Lisa lagi, dia berharap segala yang diceritakannya dalam program tersebut dapat memberi kebaikan buat dirinya dan orang lain.

“Apabila kita bercerita tentang perkara begini kepada umum, ia bukan hanya perlukan keberanian.

“Saya kena tahu, cerita yang saya kongsikan itu turut menjadi peringatan kepada diri sendiri.

“Apabila saya membuka cerita tentang pengalaman kehilangan bapa contohnya, ia membuka mata dan mengingatkan saya tentang kelakuan di dunia, pengakhiran hidup, hubungan kekeluargaan serta banyak perkara lain,” katanya.

Next To Neelofa musim kedua bakal bersiaran di saluran Astro Ria, setiap Sabtu pukul 10 malam bermula 22 Oktober ini.

Selain Lisa, program ini turut akan menampilkan barisan selebriti termasuk Ziana Zain, Tya Ariffin, Diana Amir, Puteri Sarah, ibu Neelofa iaitu Noor Kartini dan tetamu istimewa dari seberang, Ustazah Oki Setiana Dewi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×